DR Norazlin bersama kakitangan dan jururawat Pusat Kesuburan Sophea melakukan perbincangan bersama pelanggan.
DR Norazlin bersama kakitangan dan jururawat Pusat Kesuburan Sophea melakukan perbincangan bersama pelanggan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


MEMILIKI cahaya mata impian setiap pasangan suami isteri dan kehadirannya menjadi pelengkap dalam sebuah keluarga.

Namun, tidak semua yang diimpikan itu semudah disangka, ada pasangan terpaksa berdepan dugaan menanti saban tahun untuk memiliki cahaya mata pertama.

Selain rezeki, masalah kesuburan menjadi punca utama perkara itu terjadi. Jika puluhan tahun lalu, ramai pasangan malu dan seboleh-bolehnya tidak mahu membincangkan isu itu secara terbuka terutama lelaki, namun situasi berkenaan kian berubah dengan kemajuan teknologi perubatan serta peningkatnya kesedaran mendapatkan rawatan.

Beberapa kaedah rawatan moden masa kini berjaya memberi harapan baharu dan membantu pasangan yang berusaha mendapatkan zuriat.

Umum mengetahui antara rawatan kesuburan yang boleh dilakukan adalah pengambilan pil kesuburan, suntikan hormon, kaedah IUI melalui semaian benih di dalam rahim dan IVF iaitu melalui persenyawaan di luar rahim yang memberi harapan kepada pasangan untuk hamil.

Berkongsi pandangan mengenai isu kesuburan yang dilihat berpunca daripada gaya hidup yang semakin tidak sihat, Pengarah Perubatan, Pakar Kesuburan & Sakit Puan Pusat Kesuburan Sophea, Dr Norazlin Rosli berkata, kesibukan harian, tekanan dan kecenderungan memilih makanan segera antara faktor yang perlu diberi perhatian.

“Semua individu masa kini tidak dapat mengelak daripada mengalami tekanan, namun jika dilihat daripada faktor pengambilan makanan segera ditambah dengan kurang bersenam ia sesuatu yang boleh dielak kerana secara tidak langsung perkara ini mengganggu kesuburan tidak kira lelaki mahupun wanita.

“Melalui pemerhatian saya, kadar pasangan yang datang bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat semakin meningkat, namun tidak dinafikan masih ada yang malu atau tidak mahu memberi kerjasama walaupun menyedari mereka berkemungkinan besar mengalami masalah kesuburan,” katanya.

Menurutnya, perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian adalah gaya hidup kerana ada pasangan hamil sebaik saja mengamalkan gaya hidup sihat tanpa perlu menjalani rawatan kesuburan.

“Kepada mana-mana pasangan yang tidak dapat hamil secara semula jadi dalam tempoh setahun selepas berkahwin perlu bertemu pakar untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Ini sekali gus mengesan jika mengalami masalah kesuburan khususnya bagi pasangan yang berkahwin lewat.

“Banyak kes pasangan terpaksa mengambil masa lebih dua tahun sebelum berjaya menimang cahaya mata dan memulakan rawatan agak lewat.

“Mungkin ramai yang menganggap ini soal rezeki dan saya juga bersetuju, namun banyak kes juga berjaya mengesan pasangan lambat hamil disebabkan mengalami masalah kesuburan,” katanya.

Dr Norazlin berkata, lebih membimbangkan apabila hampir kebanyakan pasangan yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berusia 30 tahun ke atas kerana kadar kesuburan pada usia itu sudah semakin menurun.

DR Norazlin menyarankan pasangan suami isteri yang masih tidak dapat hamil selepas setahun berkahwin jalani pemeriksaan.
DR Norazlin menyarankan pasangan suami isteri yang masih tidak dapat hamil selepas setahun berkahwin jalani pemeriksaan.

“Sebelum memulakan rawatan, saya akan mengkaji masalah dialami pasangan dan menjalankan pemeriksaan rahim. Hampir semuanya memberi jawapan sama iaitu terlalu sibuk yang menjadi penyebab kurang masa untuk bersama selain sentiasa berada di bawah tekanan.

“Ramai yang mengakui terpaksa mengambil makanan segera dek kesibukan harian yang turut mengganggu kesuburan.

“Semua ini dianggap remeh, namun ia antara penyebab utama mengapa ramai dalam kalangan masyarakat negara ini mengalami masalah kesuburan,” katanya.

Katanya, sekiranya pemeriksaan kesihatan dilakukan mendapati tiada masalah pada pasangan, khidmat nasihat akan diberikan terutama dengan menyarankan mengubah gaya hidup terlebih dulu dalam usaha mendapatkan zuriat.

“Bukan saja wanita, lelaki juga perlu memberi kerjasama apabila mereka mesti berhenti merokok. Bahkan vape juga perlu dihentikan. Amalkan gaya hidup sihat dan rajinlah bersenam bagi mendapa

tkan tahap kesihatan terbaik.

“Saya amat teruja apabila ramai berjaya hamil dengan sendiri selepas mengubah gaya hidup mereka ke arah lebih positif,” katanya.

JAGA BERAT BADAN

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan setiap wanita yang sukar hamil untuk menjaga berat badan.

“Peningkatan penyakit kronik dalam kalangan golongan muda seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti antara penyebab menurunnya tahap kesuburan.

“Apabila keadaan itu berlaku, organ tidak dapat bekerja secara optimum menyebabkan penghasilan telur yang sihat terbatas (bagi perempuan) begitu juga dengan sperma (lelaki).

“Indeks jisim badan perlu dalam julat normal dengan ukuran pinggang wanita mesti kurang daripada 90 sentimeter. Apabila perut banyak mengumpul lemak ia menyebabkan hormon estrogen dan progesteron tidak seimbang yang menyukarkan ovulasi ovari berlaku,” katanya.

Selain itu, Dr Norazlin turut menasihati mereka yang masih tidak dapat hamil secara semula jadi supaya membendung rasa malu dan tidak perlu menghiraukan pandangan masyarakat sekeliling.

“Segera bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan. Saya faham ada wanita malu untuk menjalani rawatan kesuburan kerana ia membabitkan soal aurat dan disebabkan itu kami menyediakan pusat kesuburan ‘mesra wanita’ iaitu semua doktor juga jururawat kami adalah wanita bagi memberi keselesaan kepada pesakit.

“Jangan bazirkan masa dengan bertangguh-tangguh berjumpa pakar kerana faktor usia juga sangat memainkan peranan dan mempunyai pengaruh besar dalam kejayaan rawatan mendapatkan zuriat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:53 AM