CUBA fahami minat anak anda.
CUBA fahami minat anak anda.
Suliati Asri


Apabila kanak-kanak didiagnosis mengalami Gangguan Perhatian Defisit Hiperaktif (ADHD), perjalanan hidup kanak kanak terbabit menjadi sedikit rumit.

Pensyarah Kanan Faculty of Information Sciences & Engineering (FISE) Management and Science University (MSU), Dr Ahgalya Subbiah berkata, menjaga kanak-kanak ADHD memberikan cabaran yang hebat dari segi mental dan emosi.

Menurutnya, masyarakat juga memainkan peranan penting yang boleh memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan dan rasa keseimbangan ibu bapanya.

"Kanak-kanak ADHD sentiasa inginkan perhatian khusus, impulsif dan hiperaktif yang boleh menjejaskan prestasi akademik, interaksi sosial dan kesejahteraan keseluruhan mereka.

"Secara tidak langsung, ibu bapa kanak-kanak ini berhadapan tugas mencari intervensi, terapi dan sokongan yang sesuai untuk memenuhi keperluan anak mereka dengan berkesan," katanya.

Dr Ahgalya berkata, menyaksikan sendiri kanak-kanak ADHD berjuang dalam akademik dan sosial juga antara cabaran yang perlu ditempuhi.

Situasi itu akuinya menyebabkan ibu terutama mengalami emosi yang bercampur baur termasuk berasa bersalah, kecewa dan tidak berdaya. Sekali gus menjadikan pengurusan kesejahteraan emosi ibu dan anak menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka.

"Selain itu, proses perubatan dan terapi juga adalah sesuatu yang mencabar kepada ibu, terutama di kawasan yang mempunyai perkhidmatan kesihatan mental yang terhad.

NALURI kanak-kanak sukakan permainan.
NALURI kanak-kanak sukakan permainan.

"Proses ini mungkin membabitkan pelbagai janji temu, penilaian, dan pilihan rawatan, penambahan beban mental dan emosi ibu.

"Keadaan ini secara tidak langsung memberi cabaran dan kesan kepada kestabilan mental ibu yang mempunyai anak ADHD," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan FISE MSU, Rosidah Rosli berkata, tekanan dan tanggungjawab yang berkaitan menguruskan keadaan anak ADHD, ditambah dengan pandangan masyarakat supaya menjadi 'ibu' yang sempurna hakikatnya boleh memberi kesan kepada ibu itu sendiri.

Antaranya adalah 'burnout' di mana ibu berasa cepat tersentuh, letih dan perasaan yang tidak stabil disebabkan mahu mengimbangi tugas sebagai ibu bapa yang berterusan dan menyokong keperluan anak mereka.

KENAL pasti karakter anak anda.
KENAL pasti karakter anak anda.

"Kedua adalah kebimbangan dan kemurungan. Hal ini boleh berlaku disebabkan tekanan kronik keibubapaan kanak-kanak ADHD. Perasaan menyendiri dan keraguan diri juga boleh memburukkan lagi keadaan ini.

"Pengabaian diri juga boleh berlaku kepada si ibu kerana dalam proses mengutamakan keperluan anak, mereka boleh mengabaikan keselesaan diri sendiri, baik dari secara fizikal dan emosi.

"Oleh itu, adalah penting untuk ibu menyedari kepentingan penjagaan diri supaya lebih bersedia membantu anak mereka dengan berkesan," katanya.

Rosidah berkata, masyarakat sering menyamakan kejayaan keibubapaan dengan perkembangan kanak-kanak dengan perlakuan yang baik.

BERCUTI bersama anak-anak salah satu terapi dalam melegakan tekanan.
BERCUTI bersama anak-anak salah satu terapi dalam melegakan tekanan.

"Oleh itu, ibu kanak-kanak ADHD mungkin menghadapi pertimbangan dan kritikan daripada orang lain yang tidak memahami cabaran yang mereka lalui.

"Tekanan masyarakat ini boleh menjejaskan dan menyebabkan ibu mengasingkan diri daripada masyarakat," katanya.

Seterusnya adalah stigma atau salah faham masyarakat yang menyelubungi kesihatan mental serta gangguan tingkah laku yang boleh menyebabkan ibu berasa dihakimi dan dipersalahkan atas keadaan anak mereka.

"Ibu mungkin berasa tidak disokong rakan-rakan, keluarga dan institusi pendidikan. Sokongan itu penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai ADHD dan menggalakkan empati serta pemahaman," katanya.

DEKATI dan beri perhatian kepada anak anda.
DEKATI dan beri perhatian kepada anak anda.

Menghadapi cabaran membesarkan anak ADHD memerlukan seseorang ibu itu menunjukkan daya tahan dan kekuatan yang luar biasa di hadapan anak mereka.

Dengan menangani isu kesihatan mental kanak-kanak dan memberikan sokongan kepada kestabilan mental ibu juga, kita dapat mewujudkan masyarakat yang lebih penyayang serta inklusif.

Rosidah berkata, walaupun kerajaan prihatin terhadap isu atau cabaran ini dan mengambil pelbagai aktiviti yang boleh membantu ibu, namun ia hanya faktor luaran yang boleh membimbing.

Tetapi, faktor dalaman seorang ibu amat rumit untuk ditangani.

"Oleh itu, mari kita sama-sama membanteras stigma, memupuk pemahaman dan memberikan sokongan kepada ibu untuk menangani segala kerumitan dalam membesarkan anak ADHD.

"Proses ini juga akan menjadikan ibu bapa melalui satu perjalanan ke arah saling menyintai, memahami dan dapat menandingi setiap kesukaran yang dihadapi dalam membesarkan anak ADHD," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 6:29 AM