PEMERIKSAAN kerap dengan pakar perubatan boleh membantu memantau tahap vitamin D kanak-kanak.
PEMERIKSAAN kerap dengan pakar perubatan boleh membantu memantau tahap vitamin D kanak-kanak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Usus adalah rumah kepada trilion mikroorganisma termasuk bakteria, kulat dan virus, secara kolektifnya dikenali sebagai mikrobiota usus.

Penghuni mikroskopik ini memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kesihatan kita daripada pencernaan dan penyerapan nutrien kepada sistem imun, juga kesihatan mental yang baik.

Terutama pada kanak-kanak, mikrobiota usus yang seimbang amat penting untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan mental serta fizikal yang sihat.

Pensyarah Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Noor Akmal Shareela Ismail berkata, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan anak. Maka fokus utama lazimnya bertumpu kepada pemakanan dan aktiviti fizikal.

Menurutnya, tumbesaran yang baik banyak bergantung kepada kesihatan usus dan ramai ibu bapa terlepas pandang akan peranan vitamin D dalam menyokong mikrobiota usus sihat.

"Lazimnya, vitamin D sering dikenali dengan peranan penting dalam mengekalkan tulang dan gigi yang kuat dengan membantu penyerapan kalsium.

"Bagaimanapun, manfaatnya adalah lebih daripada itu. Terkini, saintis menemui hubungan penting antara vitamin D dan kepelbagaian mikroorganisma yang hidup dalam sistem pencernaan.

"Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk memahami perkaitan ini bagi memastikan kesihatan optimum anak mereka," katanya.

Beliau berkata, kajian terkini menunjukkan kanak-kanak mempunyai tahap vitamin D rendah mempunyai komposisi mikrobiota usus berlainan daripada kanak-kanak mempunyai tahap vitamin D yang baik. Ini diperincikan oleh kepelbagaian mikrob berkurangan.

"Taksonomi filum Actinobacteria, Bacteroidetes, Firmicutes, dan Proteobacteria adalah yang paling banyak diubah dalam usus dalam keadaan kekurangan vitamin D.

USUS adalah rumah kepada trilion mikroorganisma.
USUS adalah rumah kepada trilion mikroorganisma.

"Perubahan kelompok bakteria ini mengubah laluan biokimia pembantu sel T (T helper, Th1 dan Th2) dan mengubah tindak balas imun badan.

"Ini seterusnya membuatkan sistem imun kanak-kanak terjejas dan tidak mampu melawan serangan patogen," katanya.

Dr Noor Akmal Shareela berkata, ketidakseimbangan bakteria ini boleh membawa kepada peningkatan risiko pelbagai keadaan kesihatan, termasuk alahan, penyakit autoimun dan juga obesiti.

"Sebaliknya, tahap vitamin D yang mencukupi dikaitkan dengan mikrobiota usus yang lebih pelbagai dan bermanfaat kepada tumbesaran baik kanak-kanak.

"Vitamin D juga mempengaruhi kepelbagaian mikrobiota usus melalui mekanisme yang membabitkan keupayaan vitamin D dalam meningkatkan pengeluaran peptida antimikrob.

GALAKKAN kanak-kanak bermain di luar pada sebelah pagi untuk meningkatkan tahap vitamin D.
GALAKKAN kanak-kanak bermain di luar pada sebelah pagi untuk meningkatkan tahap vitamin D.

"Ia adalah molekul pertahanan semula jadi yang membantu dalam pengawalan bakteria berbahaya dalam usus," katanya.

Katanya, selain itu, vitamin D didapati mampu mengawal ekspresi gen yang membabitkan dalam tindak balas imun, dengan itu memodulasi sistem imun usus dan menggalakkan keseimbangan bakteria usus sihat.

"Penyelidikan lain juga mencadangkan bahawa vitamin D memainkan peranan dalam hubungan usus dan otak (gut-brain axis). Ia amat penting dalam mempengaruhi pelbagai keadaan neurologi, termasuk gangguan spektrum autisme serta gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD).

"Pengaruh vitamin D pada mikrobiota usus boleh menyumbang kepada komunikasi antara organ usus dan otak. Seterusnya, menekankan kepentingannya dalam kesihatan secara keseluruhan," katanya.

Jadi, bagaimanakah ibu bapa boleh memastikan anak mereka menerima vitamin D yang mencukupi untuk kesihatan mikrobiota usus baik?

Jawab Dr Noor Akmal Shareela, sumber utama vitamin D ialah cahaya matahari kerana badan secara semula jadi menghasilkannya apabila kulit terdedah kepada sinaran ultra ungu B (UVB) matahari.

"Kanak-kanak amat digalakkan untuk bermain di luar, terutama pada waktu pagi apabila matahari tidak terlalu terik, boleh membantu meningkatkan tahap vitamin D.

VITAMIN D berfungsi dengan nutrien lain dalam m enggalakkan kesihatan tulang.
VITAMIN D berfungsi dengan nutrien lain dalam m enggalakkan kesihatan tulang.

"Bagaimanapun, adalah penting untuk mengimbangi pendedahan matahari dengan langkah perlindungan matahari yang sesuai seperti memakai topi dan memakai pelindung matahari.

"Makanan kaya vitamin D seperti salmon, makarel, sardin, telur, produk tenusu yang diperkaya dengan vitamin D dan cendawan adalah sumber nutrien penting ini," katanya.

Jelasnya, menggabungkan makanan ini ke dalam diet kanak-kanak boleh membantu memastikan pengambilan vitamin D yang konsisten.

"Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang cerewet dan memilih makanan, pengambilan suplemen vitamin D boleh menggantikan sumber makanan semula jadi.

"Dos disarankan oleh saranan pengambilan nutrien (RNI) Malaysia bagi kanak-kanak berumur setahun ke atas adalah 600 unit antarabangsa (IU) sehari.

"Namun bagi kanak-kanak yang mempunyai penyakit berkaitan dengan kekurangan vitamin D seperti alahan, ekzema dan riket memerlukan dos vitamin D sebanyak dua atau tiga kali ganda (1000 hingga 2000 IU sehari) bergantung kepada tahap kekurangan vitamin D mereka," katanya.

Kata Dr Noor Akmal Shareela, suplemen vitamin D boleh didapati dalam pelbagai bentuk, termasuk tablet, kapsul dan titisan cecair. Ini menjadikannya lebih mudah untuk diberikan kepada kanak-kanak.

SUMBER makanan mengandungi  vitamin D.
SUMBER makanan mengandungi vitamin D.

"Justeru adalah penting untuk berjumpa dengan pakar perubatan bagi menentukan dos yang sesuai untuk setiap kanak-kanak.

"Vitamin D berfungsi secara sinergi dengan nutrien lain, seperti kalsium dan magnesium dalam menggalakkan kesihatan tulang.

"Ibu bapa perlulah memastikan diet yang seimbang dan pelbagai daripada segi makro serta mikro nutrien bagi memastikan tumbesaran anak-anak yang selari dengan umur mereka," katanya.

Beliau berkata, adalah penting ibu bapa dan penjaga memahami kepentingan vitamin D dalam menyokong mikrobiota usus yang sihat.

"Dengan memastikan kanak-kanak menerima pendedahan cahaya matahari mencukupi, diet seimbang kaya dengan vitamin D dan jika perlu suplemen yang sesuai, ibu bapa boleh membantu dalam kesihatan anak-anak mereka.

"Mikrobiota usus yang sihat menetapkan peringkat untuk pertumbuhan optimum, perkembangan dan pengurangan risiko pelbagai keadaan kesihatan.

"Adalah penting untuk diingat bahawa setiap kanak-kanak adalah unik dan keperluan vitamin D mereka mungkin berbeza-beza.

"Pemeriksaan kerap dengan pakar perubatan boleh membantu memantau tahap vitamin D dan menangani sebarang kebimbangan atau kekurangan vitamin D dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 6:20 AM