PENGGUNAAN peranti mengakibatkan anak kurang berkomunikasi.
PENGGUNAAN peranti mengakibatkan anak kurang berkomunikasi.
Muhamaad Razis Ismail


LEMBAGA Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) merekodkan 78.3 peratus ibu bapa di Lembah Klang sahaja membenarkan anak-anak memiliki gajet pada 2019.

Hal ini bertambah kritikal selepas negara berhadapan pandemik Covid-19 apabila penggunaan dan akses digital yang maksimum terutama membabitkan kanak-kanak.

Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pengurusan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, kanak-kanak tidak melihat skrin sebagai satu masalah kepada mereka.

"Ia sebenarnya tanggungjawab kita untuk menilai dan membantu mereka memahami waktu sesuai dan pengurusan masa penggunaan skrin yang efektif.

"Ini termasuk pemantauan berdasarkan kesesuaian perkembangan kanak-kanak itu sendiri," katanya ketika dihubungi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya penggunaan peranti atau masa skrin tidak diberikan kepada kanak-kanak berusia di bawah dua tahun dan tidak lebih daripada satu jam membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun.

Ini juga selari cadangan yang dikeluarkan American Academy of Pediatrics (AAP) pada 2016 mengikut ketetapan yang sama.

Menurutnya, kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih dari dua jam di hadapan skrin atau peranti digital lain lebih cenderung mengalami masalah psikologi dan perkembangan otak mereka yang terganggu.

"Ini termasuk kemurungan, kegelisahan, kekurangan perhatian dan tingkah laku anak yang bermasalah.

"Kanak-kanak terdedah kepada defisit perhatian, berlakunya kelewatan dalam perkembangan kognitif, gangguan kepada pembelajaran dan menyebabkan kemampuan mengurus serta mengawal diri yang terbatas," katanya.

Selain itu, masalah obesiti juga antara kesan besar penggunaan peranti terhadap kanak-kanak berikutan kurangnya pembabitan dalam aktiviti berbentuk fizikal.

"Terdapat banyak kajian terkini yang menyatakan kurangnya aktiviti bermain dalam kalangan kanak-kanak terutama membabitkan aktiviti bermain di luar dikaitkan dengan masalah kesihatan.

"Ia juga menyatakan mengenai kesan hubungan dengan alam semula jadi sebenarnya boleh membantu menghasilkan mood dan tingkah laku yang baik, mengurangkan tekanan selain membentuk kemahiran sosial kanak-kanak," katanya.

Jelasnya, tidak dinafikan, peranti dapat menjadi alat yang membantu pembelajaran kanak-kanak, tetapi peranti tidak mendorong ke arah proses pembelajaran yang bersifat inovatif.

TINGKAH laku ibu bapa sentiasa bersama peranti mempengaruhi anak.
TINGKAH laku ibu bapa sentiasa bersama peranti mempengaruhi anak.

"Kebergantungan yang keterlaluan kepada peranti dari usia kecil dapat membantutkan kreativiti kanak-kanak dalam mencari jalan keluar untuk penyelesaian masalah kerana mereka tidak dibiasakan untuk berfikir dan mengalami realiti di luar kotak peranti digital.

"Menurut Centers for Disease Control and Prevention di Amerika Syarikat lebih 6 juta kanak-kanak berusia antara empat dan 17 tahun mempunyai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)," katanya.

Dalam pada itu, penggunaan peranti berlebihan mewujudkan jurang interaksi antara kanak-kanak dengan ibu bapa.

"Ini berlaku apabila anak anda mungkin menggunakan hanya sedikit masa untuk bercakap berinteraksi dengan anda ketika mereka asyik bermain peranti.

"Perlu diingat, elemen interaksi antara ibu bapa dan anak adalah sesuatu yang perlu dihargai kerana waktu ini akan hilang jika kita terus membiarkan peranti menjadi penghalang kepada ruang interaksi ini," katanya.

Mengulas lanjut, peranti dan masa skrin berlebihan menyebabkan berlaku gangguan tidur kepada kanak-kanak.

LUANGKAN masa dengan anak-anak.
LUANGKAN masa dengan anak-anak.

"Ini boleh berlaku jika kanak-kanak menggunakannya sebelum tidur atau jika kanak-kanak berada dalam bilik dan ibu bapa pula menggunakan peranti.

"Cahaya yang dipancarkan dari peranti akan menganggu fokus tubuh kanak-kanak yang sedang bersiap untuk tidur menyebabkannya bangun atau terjaga dan bermain peranti itu semula sehingga mereka tidak dapat tidur yang mencukupi," katanya.

Beliau berpandangan dalam mengawal penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa perlu perlu memainkan peranan penting.

"Jika ibu bapa sentiasa menggunakan kebanyakan masa bersama peranti, kanak-kanak juga akan meniru tingkah laku ini.

"Ibu bapa bukan sahaja perlu melihat semula aspek pengurusan masa dan kesan kepada kanak-kanak terhadap penggunaan peranti pintar, tetapi perlu menilai semula tingkah laku kita terhadap kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 7:00 AM