PENGAMBILAN makanan bergula tinggi dikaitkan dengan peningkatan hiperaktif. - FOTO Google
PENGAMBILAN makanan bergula tinggi dikaitkan dengan peningkatan hiperaktif. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


GANGGUAN hiperaktif defisit tumpuan atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) antara gangguan kesihatan mental yang boleh berlaku sama ada dalam kalangan kanak-kanak atau golongan dewasa.

Individu yang mengalami isu ADHD didapati menghadapi masalah seperti kurang daya perhatian, menunjukkan tingkah laku yang impulsif (bertindak tanpa memikirkan akibat) atau terlalu aktif.

Kajian yang dijalankan menunjukkan antara ciri-ciri ADHD adalah kurang tumpu perhatian, banyak mengelamun, agak lalai, terlupa atau kehilangan banyak benda, kerap menggerak-gerakkan badan atau gelisah, terlalu banyak bercakap, kerap melakukan kesilapan kerana terlalu sambil lewa atau membuat perangai berisiko tinggi, susah menunggu giliran dan sukar bergaul dengan orang lain.

Namun, sehingga kini punca dan faktor risiko ADHD tidak diketahui, namun penyelidikan perubatan menunjukkan unsur genetik memainkan peranan yang penting.

ADHD turut dikaitkan dengan kecederaan otak ketika lahir, pendedahan kepada risiko alam sekitar ketika ibu yang mengalami kencing manis atau darah tinggi ketika mengandung dan penggunaan alkohol serta merokok ketika hamil.

Kanak-kanak yang lahir pramatang dan kurang berat lahir juga lebih tinggi risiko mengalami ADHD. Kajian sains sehingga kini tiada bukti kukuh menyokong pandangan umum bahawa ADHD disebabkan mengambil terlalu banyak makanan bergula atau makanan pengawet.

Bagaimanapun, dipercayai bahawa makanan tertentu boleh memburukkan gejala ADHD. Malah terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan ADHD mungkin mempunyai tahap asid lemak penting yang rendah.

Makanan tertentu boleh memburukkan gejala atau menyebabkan tingkah laku yang serupa dengan seseorang yang mempunyai ADHD.

Edison Institute Of Nutrition berkongsi beberapa panduan dalam pemilihan makanan sesuai untuk mengurangkan gejala ADHD.

1. Mulakan dengan diet penghapusan

  • Pakar pemakanan biasanya akan bermula dengan diet penyingkiran dengan mengambil makanan tertentu daripada diet anda untuk melihat sama ada ia meningkatkan gejala ADHD atau sebaliknya.

  • Sebagai contoh, anda boleh mulakan dengan menghapuskan gula tambahan atau makanan dengan pewarna merah, untuk melihat sama ada ia akan membantu mengurangkan gejala ADHD.

  • Diet penyingkiran boleh membantu anda menganalisis sama ada makanan tertentu mencetuskan tingkah laku dan memburukkan gejala ADHD.

  • Diet ADHD yang ideal boleh membantu otak anda berfungsi dengan lebih baik sambil mengurangkan gejala anda.

    ANTARA ciri-ciri ADHD adalah kurang tumpu perhatian dan banyak mengelamun. - FOTO Google
    ANTARA ciri-ciri ADHD adalah kurang tumpu perhatian dan banyak mengelamun. - FOTO Google

    ASID lemak Omega 3 baik dari ikan baik untuk otak. - FOTO Google
    ASID lemak Omega 3 baik dari ikan baik untuk otak. - FOTO Google

    2. Kurangkan pengambilan gula tambahan

  • Salah satu makanan terawal yang perlu dihapuskan daripada diet anda ialah gula-gula yang penuh dengan gula dan pewarna tiruan.

  • Beberapa kajian yang dijalankan membuktikan gula dikaitkan dengan peningkatan hiperaktif.

    3. Tingkatkan pengambilan omega 3

  • Asid lemak Omega 3 berguna untuk otak anda dan apa yang baik untuk otak anda mungkin berguna apabila ia berkaitan dalam menguruskan gejala ADHD.

  • Teknik terbaik untuk mendapatkan khasiat dalam diet anda adalah dengan makan pelbagai jenis makanan.

  • Omega 3 boleh didapati dalam walnut, biji rami, minyak zaitun dan ikan laut dalam seperti ikan tuna, ikan parang, ikan sardin, ikan kembung dan ikan bilis.

    4. Berwaspada dengan paras merkuri yang tinggi dalam ikan

  • Walaupun ikan adalah cara semula jadi untuk mendapatkan lebih banyak asid lemak omega 3 dalam diet anda, namun ia juga mengandungi paras merkuri yang tinggi terutama membabitkan ikan laut dalam.

  • Merkuri sukar dihadam oleh badan dan boleh terkumpul di dalam otak anda yang berpotensi meningkatkan gejala ADHD hiperaktif.

  • Oleh kerana itu, berhati-hati dengan jumlah ikan yang diambil.

    5. Sediakan rancangan makanan

  • Menerusi perancangan makan, anda boleh mengelakkan makan di luar secara impulsif.

  • Apabila anda banyak makan di luar, anda tidak tahu dengan tepat apa yang terkandung dalam makanan. Oleh itu penyediaan makanan dari rumah akan memastikan anda mengikut pelan diet yang ditetapkan.

  • Kawalan diet ini penting untuk melihat kesan terhadap gejala ADHD.
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 6:45 AM