Hafiz Ithnin


ISU buli bukan perkara baharu. Malah, ketika ini perbuatan buli tidak lagi hanya membabitkan sentuhan fizikal yang mungkin bersifat 'tradisional' ketika di zaman kanak-kanak atau remaja.

Lebih membimbangkan buli memberi kesan yang buruk kepada si mangsa untuk jangka masa panjang sehingga berlakunya masalah kesihatan mental apabila mereka menjenggah ke alam dewasa.

Pengasas dan Presiden, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar berkata, pengalaman mengendalikan pelbagai isu kesihatan mental mendapati remaja yang terbabit dalam isu buli termasuk si pembuli adalah mereka yang mengalami mungkin masalah kurang mendapat perhatian daripada orang di sekeliling mereka terutama keluarga.

Jelasnya, selain itu persekitaran juga boleh menjadi faktor berlakunya isu itu dalam kalangan remaja atau kanak-kanak antaranya tekanan dalam pembelajaran, berdepan dengan situasi terkurung akibat berlakunya pendemik Covid-19 atau berdepan dengan tragedi yang di luar jangka seperti menjadi mangsa banjir.

"Apabila berlakunya perkara ini, kanak-kanak atau remaja ini mungkin tidak tahu cara untuk menyalurkan emosi mereka di tempat yang betul supaya perasaan tertekan itu dapat diluahkan dengan baik.

"Akhirnya perasaan terpendam atau tersimpan itu meletus menjadi satu perasaan yang mungkin menjadi cepat marah atau emosi yang tidak stabil," katanya.

Katanya, sebagai orang terdekat dengan kanak-kanak atau remaja, perlu memainkan peranan untuk mendengar luahan mereka supaya emosi yang tertekan itu dapat disalurkan di tempat yang betul dan mampu menyelesaikannya.

MEMBERI pengajaran kepada kanak-kanak menerusi cara yang berhemah.
MEMBERI pengajaran kepada kanak-kanak menerusi cara yang berhemah.

"Institusi kekeluargaan sendiri memainkan peranan yang penting kerana kanak-kanak dan remaja ini memerlukan ahli keluarga untuk menjadi pendengar serta mampu memberi kepercayaan dalam berkomunikasi.

"Sekiranya emosi kanak-kanak atau remaja yang belum cukup matang menyelesaikan masalah pastinya mereka akan berasa tertekan dan meluahkan dalam mungkin menjadi penyakit mental, penyakit fizikal atau kemarahan.

"Seterusnya kita tidak mahu keadaan ini memberi kesan kepada kanak-kanak atau remaja seumur hidup iaitu penyakit mental akibat trauma yang mereka lalui," katanya.

PEMBULI juga sebenarnya mempunyai isu kesihatan mental.
PEMBULI juga sebenarnya mempunyai isu kesihatan mental.

Katanya, bantuan awal dari segi psikologi kepada remaja atau kanak-kanak penting kerana dikhuatiri berlakunya kitaran isu kesihatan mental apabila si pesakit itu sudah dewasa yang membabitkan pasangan atau anak-anak sekiranya mereka sudah berkahwin.

"Penyakit mental ini berlaku akibat sumbangan pelbagai faktor. Maknanya, hanya satu faktor sahaja berkemungkinan tidak boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kesihatan mental.

"Malah, memerlukan sesuatu tempoh menyebabkan isu kesihatan ini berlaku.

BULI di sekolah beri kesan buruk kepada kesihatan mental mangsa.
BULI di sekolah beri kesan buruk kepada kesihatan mental mangsa.

"Jadi, apabila remaja yang datang ke Miasa untuk mendapatkan pertolongan mungkin terdapat sekitar lima peratus akibat menjadi mangsa buli di sekolah dari segi fizikal dan dalam bentuk lisan," katanya.

Anita berkata, ibu bapa mungkin tidak menyedari punca sebenar anak-anak mendapat penyakit mental adalah didorong oleh kejadian buli ketika mereka berada di sekolah.

"Bagi menghukum juga kita tidak boleh hanya melakukan secara fizikal tetapi lebih kepada manusiawi. Bukannya kita memberi reaksi yang keras kepada pesalah kanak-kanak atau remaja kerana mereka ini masih belum matang.

"Berikan kanak-kanak atau remaja yang bersalah itu ruang dan peluang. Malah, wujudkan perasaan mereka berasa selamat kerana jika tidak, golongan ini tidak akan mempercayai golongan dewasa dan akhirnya menyimpan masalah itu bersendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 6:35 AM