IBU bapa perlu memahami kanak-kanak kinestetik.
IBU bapa perlu memahami kanak-kanak kinestetik.
Muhamaad Razis Ismail


JIKA anak anda menyatakan 'biar saya pegang itu' mereka berkemungkinan mempunyai karakter kinestetik.

Ketua Jabatan Pendidikan & Psikologi, Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, kanak-kanak kinestetik dipengaruhi dunia fizikal dan perasaan emosi mereka.

Katanya, mereka juga mempunyai gerak hati yang kuat dan kanak-kanak ini perlu bergerak untuk memproses maklumat.

"Gaya pembelajaran kinestetik adalah salah satu daripada lapan jenis gaya pembelajaran yang ditakrifkan dalam teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner.

"Gardner menyatakan bahawa kecerdasan kinestetik merujuk kepada keupayaan seseorang untuk memproses maklumat secara fizikal melalui pergerakan tangan dan badan, kawalan dan ekspresi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kanak-kanak yang memiliki karakter kinestetik paling ingat apa yang sudah mereka dilakukan.

"Mereka lebih suka pembabitan langsung dalam apa yang mereka pelajari. Mereka mudah terganggu dan sukar untuk memberi perhatian kepada bentuk aktiviti berteraskan pendengaran atau visual.

"Kanak-kanak yang mempunyai personaliti kinestetik belajar dengan melakukan, bukan dengan mendengar sahaja atau membaca buku teks. Kanak-kanak kinestetik akan sentiasa bergerak bebas dan tidak terikat dengan aktiviti setempat tanpa sebarang pergerakan," katanya.

KAEDAH pembelajaran kanak-kanak kinestetik memerlukan mereka sentiasa perlu bergerak untuk memproses maklumat.
KAEDAH pembelajaran kanak-kanak kinestetik memerlukan mereka sentiasa perlu bergerak untuk memproses maklumat.

Jelasnya, kanak-kanak ini mempunyai banyak kekuatan yang akan membantu mereka mencapai kejayaan dalam proses perkembangan dan pembelajaran.

"Antaranya, mempunyai koordinasi tangan-mata yang baik, reaksi pantas dan memori motor yang sangat baik (boleh mengulang semula dalam melakukan sesuatu selepas melakukannya sekali).

"Selain itu, kanak-kanak ini seorang penguji yang baik, aktif bersukan, mempunyai prestasi baik dalam seni dan drama serta mempunyai tahap tenaga yang tinggi," katanya.

Tambahnya, tidak dinafikan wujud pelbagai salah tanggapan terhadap kanak-kanak kinestetik yang dianggap sebagai nakal.

"Tanggapan ini tidak akan berlaku jika kita memahami bahawa setiap kanak-kanak itu adalah unik.

"Setiap keunikan kanak-kanak dalam proses perkembangan mereka perlu di fahami. Ini jelas ditunjukkan dalam teori kepelbagaian kecerdasan yang diperkenalkan Howard Gardner yang menyenaraikan kepelbagaian kecerdasan perlu difahami dan diraikan," katanya.

KANAK-kanak kinestetik sentiasa ingin melakukan sesuatu.
KANAK-kanak kinestetik sentiasa ingin melakukan sesuatu.

Katanya, satu kebiasaan yang kita dengar adalah melabelkan kanak-kanak kinestetik sebagai seseorang yang mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

"Ini kerana banyak ciri-ciri mereka serupa dengan kanak-kanak ADHD. Sebenarnya kita hanya perlu memberi mereka peluang. Kanak-kanak kinestetik tidak perlu menjalani ujian ADHD atau ubat, mereka hanya memerlukan mod pembelajaran yang berbeza," katanya.

Justeru itu, dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami konsep perbezaan gaya pembelajaran mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.

"Ini bagi mengelakkan kita terus-menerus melabel kanak-kanak dengan pelbagai label yang akhirnya membuatkan kita sendiri tertekan.

"Setiap kanak-kanak mempunyai cara pembelajaran yang berbeza. Ini adalah asas yang perlu difahami oleh semua. Ia adalah keutamaan individu bagaimana seseorang memahami, memproses dan mengekalkan maklumat," katanya.

Bagi ibu bapa yang menyedari bahawa karakter anak mereka adalah sebagai kinestetik perlu meraikan keperluan ini.

JANGAN marahi anak tanpa memahami keperluan anak.
JANGAN marahi anak tanpa memahami keperluan anak.

"Kebiasaannya, kanak-kanak ini memerlukan integrasi dalam proses memahami sesuatu yang di luar daripada karakter mereka seperti berada dalam pembelajaran formal.

"Kefahaman ibu bapa dan pendidik akan membantu kanak-kanak ini terbabit aktif mengikut kesesuaian karakter mereka," katanya.

Mengulas lanjut, perkara utama yang perlu dielakkan adalah melabel dan memarahi anak kinestetik tanpa memahami keperluan mereka.

"Ibu bapa perlu menyediakan persekitaran yang menyokong keunikan dan keperluan perkembangan mereka. Jika asas ini difahami, ibu bapa akan dapat memberikan peluang untuk kanak-kanak melalui fasa zaman awal kanak-kanak yang baik.

"Keseimbangan dalam semua proses ini dapat membantu kanak-kanak untuk lebih bersedia dalam setiap proses yang dilalui. Lebih utama, ibu bapa tidak berada dalam tekanan untuk memenuhi kehendak sendiri sahaja," katanya.

Beliau berharap supaya ibu bapa raikan keunikan anak-anak kerana menjadi kinestetik adalah anugerah, bukan kutukan.

"Ia adalah keupayaan yang sangat berguna dan mengetahui cara menggunakannya dengan betul boleh menjadi sangat baik untuk kanak-kanak dalam berhubung dengan orang ramai, membuat keputusan, melakukan aktiviti fizikal dan mengurus perasaan.

"Ingat, anak-anak kita dan kita hanya lalui satu zaman kanak-kanak. Jadikan ia fasa yang menggembirakan dan sentiasa dihormati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 7:01 AM