AZRENE mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang dan hak asasi kemanusiaan sebelum beralih ke bidang perunding imej.
AZRENE mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang dan hak asasi kemanusiaan sebelum beralih ke bidang perunding imej.
Hafiz Ithnin


PESONA wanita berusia 44 tahun ternyata begitu mudah untuk disapa penulis sebaik sahaja dia membalas pesanan ringkas untuk tujuan temu bual.

Jarang sekali seorang figura berstatus datin dan mempunyai empayar perniagaan besar menjawab salam sambil terus bertanya khabar.

Ibaratnya penulis dianggap seorang kawan lama yang sudah lama tidak ketemu. Padahal, itu adalah kali pertama kami berkomunikasi.

Sebaik sahaja setuju menetapkan masa untuk ditemu bual, Datin Azrene Ahmad begitu menepati masa.

"Hafiz, dunia fesyen bukan glamor. Kami pereka fesyen sebenarnya bergelut dengan dunia yang sukar. Orang hanya lihat zahir kelipan bintang dan serba mewah. Di sebaliknya, pelbagai cabaran yang perlu kita lalui," jelasnya kepada penulis.

Sebenarnya Datin Azrene bukan mempunyai latar belakang dalam dunia fesyen secara formal. Sebaliknya dia mempunyai pendidikan tinggi di dalam undang-undang dan hak asasi manusia. Malah, pernah berkhidmat di dalam sebuah firma undang-undang antarabangsa di London selama lima tahun.

Selepas berkahwin dengan selebriti dan penyanyi Datuk Fazlee Yaakob pada 2007, dia mengakhiri kerjaya di dalam dunia undang-undang dan mula menceburi bidang perunding imej secara profesional.

Selama 11 tahun Datin Azrene di dalam dunia perunding imej. Peliknya, meskipun sentiasa bergelumang dalam dunia fesyen dan glamor, dia sedikit pun tidak mempunyai kecintaan di dalam fesyen.

Katanya, ketika berada di dalam kerjaya perunding imej, kehadirannya di dalam pertunjukan fesyen hanya bagi mencari gaya sesuai untuk pelanggan dan tidak lebih dari itu.

KOLEKSI pakaian keluarga yang dihasilkan Datin Azrene.
KOLEKSI pakaian keluarga yang dihasilkan Datin Azrene.

"Segala-galanya bermula apabila saya melahirkan anak ketiga. Saya menghadiri pelbagai pertunjukan fesyen dan menyedari kebanyakan busana yang diperagakan di atas pentas itu tidak semuanya sesuai untuk khalayak dan mempunyai sempadan dari segi terutama saiz serta usia.

"Kemudian, saya menyertai satu persidangan di Mexico. Di situ saya bertemu dengan seorang kanak-kanak istimewa yang bercerita kepada saya mengenai ketidakadilan dunia fesyen untuk kanak-kanak sepertinya. Perkara itu memberi tamparan hebat kepada saya sebagai seorang perunding imej dan saya terus merancang untuk menyediakan pakaian untuk kanak-kanak termasuk mereka yang istimewa," katanya.

Katanya, dia mengeluarkan modal peribadi sekitar RM12,000 untuk membina jenamanya pada peringkat awal. Enam bulan kemudian, permintaan begitu positif.

"Pada peringkat awal jujur saya katakan bukan mudah. Saya tidak mempunyai latar belakang fesyen secara formal. Mujur saya pernah mengikuti kursus perunding imej dan ia sebenarnya banyak membantu saya di peringkat awal membina jenama ini.

"Saya pada peringkat awal hendak menjadi tukang jahit, mencari fabrik yang sesuai dan rujukan begitu sukar. Segala-galanya dilakukan sendiri. Walaupun saya mempunyai kenalan di dalam dunia fesyen sebelum itu, bukan semua ingin membantu," katanya.

SENTIASA menjalani gaya hidup sihat untuk kekal cergas.
SENTIASA menjalani gaya hidup sihat untuk kekal cergas.

Tambahnya, melihat kepada perkembangan baik pakaian kanak-kanak di dalam segmen kasual dan tradisional dia mula bercadang untuk mengembangkan kepada set busana keluarga.

"Ketika ingin mengembangkan kepada koleksi keluarga, saya berdepan dengan cabaran modal. Jadi saya menyertai satu pertandingan inovasi yang dianjurkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan saya berjaya mendapat geran.

"Geran itu saya bukan sekadar gunakan untuk mengembangkan koleksi jenama, tetapi perkara paling penting ialah dapat membantu rantaian industri fesyen tempatan seperti tukang jahit. Jujurnya tenaga kerja jenama saya adalah tempatan sepenuhnya dan mereka juga terdiri daripada ibu tunggal. Bagi saya perkara ini penting bagi memberi kesan ekonomi baik kepada negara," katanya.

Katanya, kini sudah tujuh tahun jenamanya bertapak dan dia sudah mengeksport koleksi jenamanya di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Singapura dan Indonesia.

"Sebenarnya membina jenama fesyen kanak-kanak lebih mencabar kerana kuasa membeli tidak besar seperti pakaian orang dewasa.

AZRENE fokus pakaian kanak-kanak selepas dengar rintihan  anak istimewa, jenam tembusi pasaran dunia.
AZRENE fokus pakaian kanak-kanak selepas dengar rintihan anak istimewa, jenam tembusi pasaran dunia.

"Di Malaysia khasnya, kebanyakan ibu bapa mempunyai perspektif pakaian anak murah tidak mengapa kerana ia hanya dipakai sekejap sahaja. Namun, kita tidak fikir mengenai keselesaan si anak itu sendiri. Jadi, jenama saya amat mementingkan kualiti dan juga rekaan," katanya.

Tambahnya, meskipun tidak mempunyai latar belakang di dalam dunia fesyen secara formal, tetapi dia sendiri yang akan melakar rekaan untuk dijadikan satu busana lengkap.

"Saban hari saya mempelajari mengenai kehendak pengguna. Bukan sahaja pasaran tempatan, malah antarabangsa kerana ia penting untuk mengukuhkan perniagaan," katanya.

Nasihatnya, meskipun seseorang itu tidak mempunyai latar belakang formal di dalam sesuatu bidang, tetapi ia bukan menjadi penghalang selagi mempunyai minat dan usaha.

"Selain itu, jangan bergantung harap kepada orang lain. Saya menolak jika ada yang mengatakan saya isteri kepada usahawan yang mudah mendapat bantuan modal kerana jenama ini dibangunkan saya sendiri hasil tabungan ketika bekerja di dalam bidang perunding imej.

"Kekuatan mental ketika mula mencipta jenama juga penting kerana ia langkah awal sama ada ia mampu diteruskan atau sebaliknya," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 6:20 AM