REKAAN comel karakter kartun menambahkan kecomelan si manja.
REKAAN comel karakter kartun menambahkan kecomelan si manja.
Yusliza Yakimir Abd Talib

KAREKTER comel untuk koleksi kanak-kanak sememangnya sudah sinonim diabadikan dalam rekaan pakaian. Tidak kira untuk orang dewasa atau kanak-kanak, elemen kartun biasanya menyuntik gaya santai si pemakai.

Butik Ameera Aisyah For Kids antara jenama koleksi pakaian si comel yang menampilkan rekaan terkini dan menarik untuk memastikan mereka tampil bergaya.

Pengasasnya, Shahliza Azreen A Aziz berkata, butik itu menawarkan pelbagai rekaan untuk kanak-kanak dan antara rekaan terkini adalah kaftan batik bermotifkan karakter kartun.

Menariknya, kaftan atau baju kelawar yang kebiasaannya dipakai wanita pada waktu malam namun bagi kanak-kanak pula, ia tampak menarik, lebih-lebih lagi dengan rekaan corak kartun dan haiwan comel seperti rama-rama.

Selain itu katanya, aspek keselesaan dititikberatkan dalam setiap kaftan yang dihasilkan agar si comel tidak berasa panas dan fabriknya mudah menyerap peluh.

Menggunakan material Fuji iaitu seakan-akan kain kapas, namun sedikit keras dan berkilat yang sesuai digunakan untuk tujuan santai, Shahliza turut menekankan penggunaan warna yang menarik hati dan sesuai untuk si manja berusia satu hingga 12 tahun.

SELESA dengan fabrik sejuk dan menyerap peluh.
SELESA dengan fabrik sejuk dan menyerap peluh.

“Kain jenis itu juga lebih tahan lasak, warna tidak luntur dan tidak mudah mengecut biarpun dibasuh beberapa kali. Selain itu, teknik mencanting digunakan bagi menyiapkan setiap helaian kaftan ini.

“Saya tidak mahu terikat dalam satu-satu gaya kerana kanak-kanak ini sifatnya aktif. Setiap kali menghasilkan rekaan, saya mengambil berat aspek fungsi dan keselesaannya pada kanak-kanak.

“Untuk pilihan warna pula, butik ini mengambil pendekatan berani dengan menggunakan gabungan rona terang dan pastel untuk hasil lebih sofistikated.

“Bagi saya, pilihan warna merah jambu untuk kanak-kanak perempuan dan biru buat lelaki terlalu tipikal. Ia juga menimbulkan kebosanan pada kanak-kanak yang memakainya,” katanya.

Menurutnya, disebab­kan permintaan yang semakin meningkat di pasaran tempatan, dia kini merancang mengeluarkan lebih banyak produk baru malah dalam usaha menempatkan jenama ini setanding jenama fesyen kanak-kanak di pasaran

“Idea membuka butik ini tercetus apabila saya menghadapi kesukaran mencari pakaian sesuai untuk anak yang semakin membesar.

“Memang tidak dinafikan terdapat pelbagai jenis pakaian dan jenama baju kanak-kanak di pasaran, tetapi banyak yang tidak memenuhi cita rasa saya.

“Saya terfikir baju yang dihasilkan sendiri sudah tentu memberi kepuasan kerana rekaannya lebih eksklusif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 4:30 AM