PERTAMA kali memperagakan koleksi peribadi di pentas akhir Mara in Fashion di Kuala Lumpur.
PERTAMA kali memperagakan koleksi peribadi di pentas akhir Mara in Fashion di Kuala Lumpur.
Hafiz Ithnin


DANIAL Arif Shah Budin, 31, tidak terfikir satu hari nanti dia bergelar pereka fesyen kerana anak kelahiran Kuantan, Pahang itu sebenarnya bercita-cita mencipta nama dalam bidang penyiaran.

Selepas menamatkan zaman persekolahan, jurusan fesyen bukan menjadi idamannya. Namun, si ibu hanya memberi galakan untuk meneruskan apa jua bidang pendidikan yang ditawarkan kerana pendidikan adalah teras untuk mencipta karier.

Ternyata 'strategi' ibunya menjadi kerana Danial mula mencintai dunia fesyen ketika melanjutkan pengajian di universiti. Apatah lagi, dikelilingi rakan-rakan rapat yang sentiasa memberi galakan.

Ketika ini, Danial bukan sahaja menjadi pereka fesyen dengan memiliki jenama peribadi. Malah, bergelar pensyarah dalam bidang itu.

Danial mengakui walaupun cita-cita untuk berada dalam bidang penyiaran khususnya sebagai pembaca berita ibarat sudah terkubur, namun dia tidak menyesal kerana industri fesyen juga adalah satu bidang yang menarik untuk diceburi.

"Apabila saya belajar dalam bidang fesyen, saya bukan sahaja perlu tahu mengenai kerja kreatif yang teknikal untuk mencipta pesona sesuatu busana, tetapi perlu menjadi identiti tersendiri.

"Dunia fesyen ini luas walaupun ada yang lihat ia hanya mencipta busana semata-mata, tetapi sebenarnya lebih daripada itu misalnya dalam bidang rekaan fabrik," katanya.

Danial yang turut mempunyai minat dalam rekaan fabrik cetakan digital itu berkata, di Malaysia bidang itu masih baharu.

MENGADAKAN sesi fotografi untuk koleksi di London.
MENGADAKAN sesi fotografi untuk koleksi di London.

"Saya mempunyai impian untuk menjadi pengeluar fabrik cetakan digital kerana pasaran dalam bidang ini belum banyak diterokai.

"Jika ada pun seperti saya sekarang ini mengeluarkan helaian siap untuk dipakai yang menggunakan cetakan digital eksklusif," katanya.

Sebelum menubuhkan jenamanya secara rasmi pada 2020, Danial pernah menjadi ketua pereka fesyen di sebuah firma fesyen tempatan.

Peranan sebagai ketua pereka fesyen memberi pengalaman kepadanya untuk menubuhkan jenama sendiri.

"Apabila bekerja dengan firma yang sudah mempunyai pengaruh dalam pasaran, kita secara tidak langsung dapat mempelajari bukan sahaja cara untuk menyediakan rekaan busana yang mempunyai pesona kepada peminat jenama itu, malah strategi dalam pasaran.

"Perkara ini penting kepada pereka fesyen yang mahu mempunyai jenama sendiri kerana di akhirnya kita perlu berkira mengenai modal dan pulangan," katanya.

BERSAMA model dalam koleksi kapsul ‘Antartica’ ketika menyertai acara di Medan Mara 2019.
BERSAMA model dalam koleksi kapsul ‘Antartica’ ketika menyertai acara di Medan Mara 2019.

Dia juga yang pernah mempersembahkan koleksi peribadi dalam pertunjukan fesyen, Modest Lifestyle di London pada 2016 berkata, sejak menubuhkan jenama Danial Arif pada tahun lalu sebanyak empat koleksi sudah diperkenalkan.

Jelasnya, dalam membuat keputusan mencipta pakaian untuk di pasaran kadangkala dia berasakan ciptaan itu menarik dan mampu terjual, tetapi berlaku sebaliknya.

"Saya mempunyai pengalaman dalam membuat satu pakaian apabila berasakan ia mampu menarik perhatian kerana saya secara peribadi suka, tetapi sebenarnya tidak mampu terjual sehingga hari ini.

"Disebabkan itu saya suka kongsikan, sebagai pereka fesyen kita tidak boleh ada perasaan syok sendiri dalam membuat pakaian kerana situasi tidak terjual boleh berlaku dan akhirnya merugikan modal yang sudah dilaburkan," katanya.

Berkongsi mengenai rekaan, katanya, dia gemar mencipta dan menawarkan konsep pakaian kasual sedia untuk dipakai dengan rekaan corak digital eksklusif.

SESI fotografi akhir koleksi kapsul ‘metropol parasol’ ketika di kota London.
SESI fotografi akhir koleksi kapsul ‘metropol parasol’ ketika di kota London.

Katanya, pakaian kasual yang boleh disarungkan lelaki dan perempuan ketika ini menjadi trend. Apatah lagi, jika menawarkan fabrik yang sesuai dengan pembeli.

"Apabila saya belajar dalam bidang fesyen saya sendiri dapat mengetahui jenis fabrik dan ketika ini saya gemar menawarkan jenis yang tidak perlu digosok.

"Selain itu, helaian yang saya tawarkan juga bersifat tanpa persempadanan jantina, malah boleh dijadikan gaya asas dalam segmen fesyen 'modest'," katanya.

Katanya, pakaian dalam 'modest' iaitu sopan menjadi satu daripada strateginya dalam pasaran kerana ia semakin menjadi perhatian kebanyakan pembeli.

"Pasaran 'modest' semakin luas kerana kita boleh lihat terutama wanita pada hari ini lebih gemar untuk memiliki pakaian yang sopan. Namun, ia mampu digayakan dengan begitu menarik," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 7:01 AM