BUSANA karya dua pereka muda berkonsep fesyen kelas mewah.
BUSANA karya dua pereka muda berkonsep fesyen kelas mewah.
KOLABORASI dua pereka, Arun Chee dan Sayfull Eizarm.
KOLABORASI dua pereka, Arun Chee dan Sayfull Eizarm.
Siti Zarinah Sahib


Membelek satu persatu helaian busana karya dua pereka muda ini sememangnya agak unik dan memberikan kelainan. Tampil dengan rona gelap hitam dan kelabu berserta perincian manik pada bahagian baju cukup menyerlahkan gaya elegan si pemakai.

Idea kolaborasi pereka Arun Chee dan Sayfull Eizarm mencetuskan jenama Arun Sayfull dengan mengeluarkan konsep fesyen kelas mewah lebih menumpukan kepada potongan dan perincian yang memberikan kelainan gaya berbanding jenama yang ada di pasaran.

“Sebagai pereka kami tidak hanya menghasilkan busana untuk nampak cantik semata-mata, tetapi sebaliknya menjadikan si pemakai tampil lebih yakin apabila mereka menghadiri acara. Ia juga harus kekal sederhana namun kelihatan mewah serta berada dalam kelas tersendiri,” jelas Arun mengenai konsep yang cuba diketengahkan kali ini.

Bekas graduan seni reka fesyen daripada Universiti City, New York ini banyak dibimbing pereka tersohor Bill Keith ketika mula menceburi bidang fesyen. Banyak yang dipelajari daripada Bill Keith terutama mengekalkan nama biarpun ramai pereka baru muncul saban tahun.

Rakan kongsinya pula, Sayfull Eizarm ialah graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan seni reka fesyen dan mula berjinak-jinak dalam bidang rekaan sejak kecil.

“Disebabkan masing-masing ada kelebihan tersendiri selepas mengutip pengalaman sepanjang tiga tahun dalam industri, akhirnya kami mengambil keputusan melancarkan jenama Arun Sayfull, itupun disebabkan keserasian bersama,” kata Arun.

Jelas Sayfull pula, kekuatan jenama ini apabila kedua-dua mereka memiliki kelebihan dalam bidang fesyen sama ada dari segi pendidikan dan pengalaman.

“Kemahiran dalam jahitan, memotong kain, menghasilkan rekaan sehingga sentuhan manik menjadi kekuatan kepada Arun Sayfull menghasilkan pelbagai jenis rekaan mengikut identiti jenama,” katanya.

Hasilnya selain terdapat di butik yang terletak di Cheras, kebanyakan padanan menjadi pilihan selebriti yang menggayakan ketika majlis permaidani merah atau anugerah, antaranya Ziana Zain, Ayda Jebat dan Datin Alyah.

Selain gaun dengan ciptaan moden enthusiasm serta ciri elegan, Arun Sayfull turut menampilkan pakaian petang dan busana pengantin yang dipamerkan sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2016 yang lalu.

“Kami mahu mencipta kepelbagaian dalam rekaan bermula dengan gaya elegan dan mewah sehingga kepada busana pengantin turut memperjuangkan inspirasi sama. Biar si pemakai tampil anggun dan menawan dalam apa juga acara,” kata Arun yang membuat perancangan untuk menghasilkan rekaan yang lebih unik dan menawan pada tahun depan.

Bagi mereka yang ingin melihat koleksi terkini Arun Sayfull boleh melayari Instagram @arunsayfull atau e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 3:00 AM