PENGAMBILAN makanan bergula bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah undang karies gigi.
PENGAMBILAN makanan bergula bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah undang karies gigi.
Hafiz Ithnin


TIDAK dinafikan makanan adalah sumber penting untuk tubuhlebih sihat kerana ia membekalkan pelbagai khasiat.

Pemakanan yang baik sememangnya memberi kesan positif untuk manusia seperti lebih bertenaga dan meningkatkan imunisasi badan melawan sebarang penyakit.

Dalam hal yang sama, pemakanan seimbang juga mampu memberi kesan kepada kesihatan gigi.

Pakar Pergigian Pediatrik, Jabatan Pergigian Pediatrik Dan Ortodontik, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa berkata, pemakanan yang sihat dan seimbang adalah penting untuk tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak.Bukan sahaja untuk kesihatan tubuh, tetapi jugapenjagaan dan kesihatan gigi.

Jelasnya, makanan yang mengandungi gula yang tinggi boleh menyebabkan pelbagai masalahseperti obesiti, diabetes dankaries gigi (gigi berlubang).

"Setiap kali kita makan atau mengambil minuman manis, gigi akan terdedah kepada risiko mendapat karies gigi. Gula ini akan bertindak balas dengan bakteria di dalam mulut dan menghasilkan asid.

"Asid ini menyebabkan permukaan gigi menjadi lemah dan mengalami demineralisasi, iaitu proses kehilangan mineral.

"Jika keadaan ini berterusan, lama kelamaan karies gigi akan terjadi. Makanan dan minuman berasid seperti minuman berkarbonat dan jus buah-buahan pula boleh menyebabkan permukaan gigi terhakis," katanya.

MAKANAN bergula tinggi perlu dielakkan untuk menjaga kesihatan gigi.
MAKANAN bergula tinggi perlu dielakkan untuk menjaga kesihatan gigi.

Tambahnya, permukaan gigi akan menjadi nipis dan sekiranya tidak dirawat menyebabkan gigi sensitif. Sekali gus memberi kesan buruk kepada kesihatan gigi seseorang.

"Kurangkan pengambilan makanan bergula tinggi. Tambahan pulasemua jenis gula boleh menyebabkan karies gigi kepada seseorang.

"Selain itu, hadkan pengambilan makanan manis ketika menikmati makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam. Ia adalah untuk mengurangkan kekerapan pengambilan gula," katanya.

Pakar itu berkata, kurangkan juga pengambilan snek dan pilih snek yang sihat. Snek adalah pengambilan makan atau minum di antara waktu makan utama.

Dr Sharifah Wade’ah Wafa
Dr Sharifah Wade’ah Wafa

"Ini adalah bagi memberikan lebih banyak masa untuk proses remineralisasi (penambahan mineral) iaitu baik pulih permukaan gigi.

"Pemilihan snek sihat atau rendah gula seperti buah-buahan, kekacang, keju, susu segar, biskut krakers, yogurt tidak berperisa adalah digalakkan," katanya.

Jelasnya, elakkan pengambilan snek tinggi gula seperti kek, biskut manis, air berperisa atau berkarbonat dan buah- buahan kering.

PENJAGAAN makanan seimbang penting untuk gigi kanak-kanak.
PENJAGAAN makanan seimbang penting untuk gigi kanak-kanak.

"Selain itu, elakkan untuk makan atau minum (kecuali air kosong) pada waktu malam sebelum tidur. Ini kerana pada sebelahmalam penghasilan air liur berkurangan dan menyebabkan gigi lebih cepat rosak. Air liur memainkan peranan penting dalam mengimbangi pH di dalam mulut.

"Berkumur-kumur selepas mengambil snek bagi mengurangkan sisa makanan melekat di permukaan gigi," katanya.

Katanya, masalah gigi sensitif disebabkan permukaan gigi yang terhakis akibat pengambilan makanan dan minum berasid.

"Terdapat cara mengurangkan risiko hakisan gigi iaitu kurangkan pengambilan makanan dan minum berasid, minum menggunakan straw untuk mengelakkan dari makanan atau minuman berasid menyentuh permukaan gigi.

PENGAMBILAN makanan seimbang perlu dijadikan amalan demi kesihatan diri.
PENGAMBILAN makanan seimbang perlu dijadikan amalan demi kesihatan diri.

"Jarang berkumur danmenyimpan makanan atau minuman di dalam mulut. Tabiat ini menyebabkan permukaan gigi terdedah kepada asid," katanya.

Katanya lagi, berkumur-kumur selepas makan atau minum juga boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko berkenaan.

"Jangan gosok gigi serta merta selepas makan atau minum. Tunggu sekurang-kurangnya 30 hingga 60 minit terutama sekali selepas pengambilan makanan dan minum berasid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 7:00 AM