IBU bapa atau penjaga sudah pasti tidak sabar menunggu pertumbuhan gigi pertama bayi mereka.
IBU bapa atau penjaga sudah pasti tidak sabar menunggu pertumbuhan gigi pertama bayi mereka.
IBU, bapa atau penjaga perlu peka dengan pertumbuhan gigi anak-anak.
IBU, bapa atau penjaga perlu peka dengan pertumbuhan gigi anak-anak.
Hafiz Ithnin


PERTUMBUHAN gigi si kecil sememangnya momen yang ditunggu-tunggu ibu bapa atau penjaga memandangkan ia menjadi penanda aras kesihatan bayi.

Malah, pertumbuhan gigi juga membantu si kecil anda untuk menikmati makanan yang lebih berkhasiat sesuai dengan peringkat usianya.

Pakar Pergigian Pediatrik, Jabatan Pergigian Pediatrik Dan Ortodontik, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa berkata, gigi manusia berbeza dari saiz, bentuk, jenis dan kedudukan dalam mulut.

"Manusia mempunyai dua set gigi iaitu gigi susu dan gigi kekal. Set gigi susu mempunyai 20 batang gigi dan gigi kekal mempunyai kira-kira 32 batang gigi.

"Gigi susu mula tumbuh sekitar umur enam bulan dan lengkap tumbuh sekitar pada usia tiga tahun. Gigi kekal pertama tumbuh pada enam tahun dan tumbuh lengkap pada usia 21 tahun," katanya.

Katanya, gigi susu terdiri daripada lapan gigi kacip, empat gigi taring, empat gigi geraham pertama dan empat gigi geraham kedua.

CARTA pertumbuhan gigi susu dan gigi kekal.
CARTA pertumbuhan gigi susu dan gigi kekal.

Manakala, gigi kekal pula terdiri daripada lapan gigi kacip, empat gigi taring, empat gigi geraham kecil pertama, empat gigi geraham kecil kedua, empat gigi geraham besar pertama, empat gigi geraham besar kedua dan empat gigi geraham bongsu.

Jelasnya, ketika pertumbuhan dan susunan gigi setiap individu adalah berbeza. Ia boleh dipengaruhi beberapa faktor seperti genetik, kesihatan, persekitaran, jantina dan etnik.

"Begitu juga dengan bilangan gigi, ada yang mempunyai bilangan gigi kurang atau lebih daripada biasa.

"Sering kali ibu bapa berasa agak risau apabila gigi susu tidak tumbuh pada umur enam bulan atau agak lewat.

DR SHARIFAH WADE’AH WAFA
DR SHARIFAH WADE’AH WAFA

"Merujuk kepada carta pertumbuhan gigi, julat umur gigi pertama tumbuh adalah dari umur enam hingga 12 bulan," katanya.

Tambahnya, pertumbuhan gigi lewat secara umum boleh dilihat pada bayi lahir pramatang, bayi lahir dengan berat badan rendah, malnutrisi atau mempunyai masalah kelainan genetik seperti sindrom Down atau masalah endokrin seperti hipotiroidisme.

"Sekiranya bayi berumur 12 bulan dan belum ada tanda-tanda pertumbuhan gigi, boleh bawa berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan pemeriksaan dan nasihat.

"Tetapi, sekiranya gigi tumbuh sangat lewat (lebih dari 15 hingga 18 bulan), doktor gigi perlu menasihatkan ibu bapa untuk membawa bayi mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut," katanya.

PERTUMBUHAN gigi kanak-kanak menjadi salah satu tanda aras kesihatan.
PERTUMBUHAN gigi kanak-kanak menjadi salah satu tanda aras kesihatan.

Jelasnya, ia adalah bagi memastikan bahawa anak mereka tidak mempunyai masalah kesihatan atau kelainan genetik yang boleh mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan bayi.

"Selain masalah lambat tumbuh gigi, ada juga bayi yang tumbuh gigi terlalu awal. Ada bayi yang mempunyai gigi ketika lahir, ini dipanggil 'gigi natal.'

"Manakala gigi yang tumbuh dalam bulan pertama selepas kelahiran dipanggil 'gigi neonatal.' Selalunya gigi ini tumbuh di rahang bawah depan," katanya.

Pakar itu berkata, jika pertumbuhan gigi menyebabkan masalah penyusuan pada ibu atau bayi, gigi ini akan dicabut walaupun ia adalah gigi susu.

GIGI susu mula tumbuh sekitar umur enam bulan dan lengkap tumbuh sekitar usia tiga tahun.
GIGI susu mula tumbuh sekitar umur enam bulan dan lengkap tumbuh sekitar usia tiga tahun.

"Pada umur enam tahun gigi susu akan mula diganti dengan gigi kekal. Gigi kekal pertama tumbuh adalah gigi geraham besar pertama. Ketika ini fasa pertumbuhan gigi dikenali sebagai 'mixed dentition.'

"Gigi susu akan tanggal satu persatu dan digantikan dengan gigi kekal. Sekitar umur 13 hingga 14 tahun, hampir semua gigi kekal sudah tumbuh, kecuali gigi bongsu yang keluar pada umur 17 hingga 21 tahun," katanya.

Tambahnya, seperti gigi susu, pertumbuhan gigi kekal juga adalah berbeza. Terdapat juga masalah pertumbuhan gigi kekal seperti tumbuh lewat, gangguan kualiti, kuantiti dan kelainan bentuk serta saiz gigi.

"Adalah amat penting untuk ibu bapa membawa anak-anak berjumpa doktor gigi secara berkala. Ini adalah untuk memastikan pertumbuhan gigi kanak-kanak dapat dipantau.

MAKLUMAT mengenai pertumbuhan gigi kanak-kanak boleh memberi pengetahuan asas kepada penjaga.
MAKLUMAT mengenai pertumbuhan gigi kanak-kanak boleh memberi pengetahuan asas kepada penjaga.

"Sekiranya terdapat kelainan yang ketara dan gangguan pertumbuhan gigi, ia dapat dikesan lebih awal dan nasihat serta rawatan yang sesuai boleh diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:20 AM