MENDAPATKAN nasihat dan rawatan daripada doktor gigi sekiranya anak-anak mempunyai masalah gigi.
MENDAPATKAN nasihat dan rawatan daripada doktor gigi sekiranya anak-anak mempunyai masalah gigi.
Oleh Hafiz Ithnin


"JANGAN bagi lama sangat budak-budak pakai puting, jongang nanti!," antara bebelan yang sering didengari mengenai situasi ibu bapa yang khuatir apabila si kecil mereka menggunakan puting susu palsu atau puting getah terlalu lama menyebabkan gigi menjadi jongang atau terkedepan.

Malah, ada yang beranggapan memberi susu ibu kepada si kecil selepas usia dua atau tiga tahun tidak akan menyebabkan gigi anak mereka rosak.

Perkara ini antara situasi yang kadangkala berlaku dalam masyarakat kerana khuatir gigi anak mereka tidak tumbuh dengan baik. Mana tidaknya, anak sendiri, pasti mahukan yang terbaik bukan?

Mengulas mengenai perkara ini, Pensyarah dan Pakar Pergigian Kanak-kanak, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Noorhidayah Zainal Aalam berkata, sebenarnya terdapat banyak perkara tidak tepat dari segi pemahaman ibu bapa mengenai isu pertumbuhan gigi kanak-kanak dan penjagaannya dengan baik.

Beliau berkata, penggunaan puting tiruan adalah sebagai salah satu cara untuk bayi menenangkan diri. Namun jika ia berterusan hingga umur lebih daripada tujuh tahun, tabiat itu boleh menjejaskan pertumbuhan dan pembentukan mulut serta gigi.

Bagaimanapun, tidak menyebabkan jongang jika dicegah pada peringkat awal.

"Bentuk lelangit kanak-kanak akan menjadi semakin runcing dari bentuk normal. Hal ini boleh mengganggu susunan gigi yang normal dan lurus. Penggunaan puting tiruan yang tidak betul juga boleh menyebabkan masalah penyusuan badan, menganggu pemakan dan gigi berlubang. Elakkan juga mencelup puting tiruan dalam madu atau manisan.

"Sebaiknya, cuba hentikan penggunaan puting tiruan apabila kanak-kanak mencecah umur satu tahun. Mulakan dengan mengurangkan penggunaan puting tiruan dan sebagai penenang sahaja. Hal ini kerana ia lebih mudah untuk menghentikan tabiat ini di usia lebih muda," katanya.

Tambahnya, penyusuan susu ibu ketika bayi adalah paling terbaik dalam membentuk gigi si kecil yang baik kerana ia dapat membantu pertumbuhan rahang dengan sempurna.

"Ketika bayi menghisap susu ibu, lidah akan menolak ke atas lelangit yang masih lembut. Pergerakan ini dapat membantu melebarkan lelangit dan tulang rahang atas. Ia akan menghasilkan ruang di bahagian rahang atas yang cukup untuk susunan gigi sebelah atas," katanya.

MAKANAN manis bukan faktor utama kerosakan gigi kanak-kanak.
MAKANAN manis bukan faktor utama kerosakan gigi kanak-kanak.

Mengenai persepsi bahawa susu ibu tidak menyebabkan gigi berlubang adalah tidak tepat.

Jelas Dr Noorhidayah, susu ibu amat penting bagi memastikan kesihatan badan dan gigi.

Ia amat berkait rapat dengan kalsium terkandung dalam susu ibu di peringkat awal tumbesaran bayi.

Namun terdapat kajian yang menunjukkan kadar gigi berlubang adalah lebih tinggi jika penyusuan badan diteruskan melebihi usia dua tahun berbanding bayi yang disusukan hanya sehingga usia satu tahun.

Katanya, pemahaman ibu bapa mengenai hanya pemberian makanan yang manis kepada anak-anak adalah penyebab gigi menjadi rongak juga tidak tepat dalam berlakunya kerosakan gigi kepada kanak-kanak.

"Pengambilan gula terlalu banyak dalam makanan secara amnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, tetapi persepsi bahawa hanya pengambilan gula sebagai faktor utama gigi berlubang atau rongak kepada si kecil adalah tidak tepat," katanya.

Jelasnya lagi, asid dihasilkan bakteria yang terdapat dalam mulut mula aktif apabila terdapat gula semula jadi yang terkandung dalam sisa makanan yang terperangkap di permukaan atau celah gigi dalam tempoh tertentu terutama ketika tidur.

"Apabila kita tidur, sisa makanan yang masih berada dalam gigi tidak dibersihkan terutama bergula membentuk plak yang akan menjadi tarikan bakteria dalam mulut untuk aktif menghasilkan asid yang merosakkan gigi.

"Ketika berjaga, otot lidah dan pipi kita akan membersihkan permukaan gigi secara semula jadi dan kita juga kerap minum atau berkumur, jadi bakteria yang berada dalam mulut tidak mudah untuk merosakkan gigi," katanya.

Oleh itu, penjagaan kebersihan dan kesihatan gigi adalah penting di samping mengurangkan pengambilan gula tambahan dalam makanan dan minuman si kecil.

MEMBERUS gigi kanak-kanak sekurang-kurangnya dua kali sehari.
MEMBERUS gigi kanak-kanak sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Katanya, perkara lebih penting ialah ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak-anak membersihkan mulut mereka dengan memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida yang sesuai dua kali sehari terutama sebelum tidur.

"Untuk bayi yang minum susu sebelum tidur, ibu bapa atau penjaga boleh menggunakan kain lembut basah yang dibalut sekeliling jari telunjuk untuk membersihkan permukaan gigi. Mula berus gigi bayi apabila gigi pertama sudah tumbuh dan gantikan penyusuan susu dalam botol dengan menggunakan cawan seawal usia enam bulan," katanya.

Selain itu, corak pemakanan yang sihat juga perlu ditekankan. Amalkan pengambilan makanan dan minuman hanya ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Elakkan makanan yang melekit atau minuman bergas antara wakt

u makan utama. Galak anak meminum air kosong melalui cawan lepas bayi berusia enam bulan.

Tambahnya, antara fakta yang kurang tepat mengenai penjagaan gigi kanak-kanak juga terdapat persepsi penjagaan gigi susu adalah tidak penting kerana ia akan tanggal dan digantikan dengan gigi dewasa.

"Gigi susu adalah penting untuk menjaga ruang untuk pertumbuhan gigi kekal. Jika gigi susu dicabut terlalu awal, gigi bersebelahan akan bergerak menutupi ruang itu menyebabkan gigi kekal tumbuh secara berlapis atau tidak tersusun cantik.

"Cabutan gigi susu terlalu awal juga boleh menyebabkan pertumbuhan gigi kekal menjadi lambat kerana gigi susu bertindak sebagai panduan untuk pertumbuhan gigi. Gigi yang berlubang masih boleh dirawat, tetapi pencegahan daripada gigi berlubang adalah lebih penting," katanya.

Tegasnya, sekiranya ibu bapa atau penjaga mendapati sesuatu yang luar biasa keadaan gigi anak mereka amat disarankan untuk berjumpa pakar pergigian kanak-kanak bagi mengelakkan daripada melakukan tindakan yang tidak tepat kepada si kecil.

Pencegahan masalah pergigian adalah lebih utama keran

a ia akan lebih mudah dirawat jika dikesan lebih awal. Bawa si kecil untuk pemeriksaan gigi apabila tumbuhnya gigi pertama atau sebelum hari lahirnya yang pertama seterusnya, satu atau dua kali setahun sehingga anak dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 7:00 AM