PERLU membuat pemeriksaan gigi secara berkala untuk menjamin kesihatannya.
PERLU membuat pemeriksaan gigi secara berkala untuk menjamin kesihatannya.
Hafiz Ithnin


AMALAN memberus gigi sejak usia kanak-kanak sememangnya menjadi perkara yang perlu dititikberatkan kerana ia dapat membantu menjaga kesihatan gigi.

Kita sering juga mendengar mengenai penggunaan ubat gigi berfluorida menerusi iklan penjualan ubat gigi dan sering disebut pakar pergigian mengenainya.

Menurut Pakar Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa, fluorida adalah mineral semula jadi iaitu fluorine.

Jelasnya, fluorida boleh didapati secara semula jadi di dalam makanan, air, daun teh, di kawasan gunung berapi dan air panas.

"Kajian membuktikan memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi berfluorida dua kali sehari dapat mencegah kerosakan gigi.

"Bahan fluorida ini juga ditambah ke dalam ubat gigi, ubat kumur, varnis fluorida dan gel fluorida. Fungsi fluorida ini adalah untuk mencegah kerosakan gigi, mempertahankan dan menghalang kerosakan gigi dari menjadi lebih teruk," katanya.

Katanya, kandungan fluorida berfungsi dengan menghalang proses kehilangan mineral-kalsium dan fosfat atau dikenali sebagai demineralisasi, meningkatkan penambahan mineral (remineralisasi) dan juga sebagai antibakteria.

"Di dalam mulut kita mengandungi bakteria semula jadi. Apabila kita makan, makanan itulah yang menjadi sumber kepada bakteria untuk menghasilkan asid organik.

"Asid ini menurunkan pH kurang daripada 5.5 sehingga proses demineralisasi berlaku. Demineralisasi ini akan menghasilkan lesi putih (karies awal) di permukaan (enamel) gigi. Lesi putih ini jika tidak dirawat akan menjadi karies gigi berlubang," katanya.

PERIKSA kandungan fluorida sesuai dengan tahap umur pengguna.
PERIKSA kandungan fluorida sesuai dengan tahap umur pengguna.

Pakar itu berkata, bagaimanapun, penggunaan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis enamel, iaitu tompok-tompok putih pada permukaan gigi.

Jelasnya, fluorosis ini boleh berlaku terutamanya ketika pembentukan dan pertumbuhan gigi kekal.

Pastikan ketika memilih ubat gigi, ia mengandungi fluorida. Mulakan tabiat membersihkan mulut sebelum gigi tumbuh lagi.

"Apabila gigi pertama tumbuh, boleh gunakan ubat gigi berfluorida. Ubat gigi berfluorida ini adalah selamat.

"Gunakan mengikut kadar yang disyorkan mengikut peringkat umur. Bagi kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah, gunakan sebanyak secalit nipis manakala tiga tahun ke atas sebesar biji kacang pis," jelasnya.

Jelasnya, kebanyakan ubat gigi fluorida kanak-kanak mempunyai kandungan fluorida di bawah paras optima (500 ppm). Pastikan ubat gigi mempunyai kadar kandungan fluorida yang disyorkan iaitu sekurang-kurangnya 1000 ppm.

"Apabila kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas, tukar kepada ubat gigi berfluorida berkepekatan dewasa (1350-1500 ppm).

"Kandungan fluorida ini terdapat di belakang tiub atau kotak ubat gigi. Semak kandungan fluorida ketika memilih ubat gigi," kata pakar itu.

Nasihatnya, pantau anak-anak ketika memberus gigi sehingga mereka dapat memberus dengan baik. Ia juga untuk memastikan mereka tidak tertelan ubat gigi.

"Ingat, untuk berus gigi dua kali sehari, terutama sebelum tidur malam dan menggunakan ubat gigi berfluorida," katanya.

Pada masa sama, Dr Sharifah Wade'ah Wafa turut berkongsi cara memberus gigi yang baik dan penggunaan ubat gigi fluorida yang disarankan doktor gigi untuk golongan kanak-kanak:

GIGI yang cantik hasil penjagaan yang baik.
GIGI yang cantik hasil penjagaan yang baik.

"Pastikan pilih berus gigi yang bersesuaian dengan umur. Kepala berus gigi yang kecil pasti dapat menjangkau bahagian belakang gigi dan mengurangkan rasa kurang selesa ketika memberus gigi.

"Pilih berus gigi yang berbulu lembut. Adakah berus gigi elektrik lebih baik dari pakai buang? Hasil kajian mendapati tiada perbezaan ketara antara berus gigi elektrik dan pakai buang dalam menghilangkan plak gigi. Paling penting adalah cara (teknik) menggosok gigi yang baik," katanya.

Tambahnya, jika ingin menggunakan berus gigi elektrik, pastikan jenis berputar (rotation oscillation toothbrush). Pergerakan berputar lebih berkesan untuk menghilangkan plak.

"Kelebihan berus gigi elektrik adalah mempunyai 'build in-timer' yang memastikan kanak-kanak memberus gigi seperti masa yang disyorkan iaitu selama dua minit. Tetapi pastinya harga berus gigi elektrik adalah lebih tinggi dari jenis pakai buang," katanya.

Penjagaan berus gigi:

1. Tidak berkongsi berus gigi kerana ini tidak 'hygenic' dan boleh menyebarkan penyakit, terutama jangkitan virus.

2. Basuh berus gigi dengan bersih selepas memberus gigi. Letakkan berus gigi dalam keadaan menegak.

3. Elakkan menyimpan berus gigi dalam bekas tertutup kerana ini akan menggalakkan pembiakan bakteria.

4. Ganti berus gigi apabila bulu berus sudah rosak dan selepas baik dari sakit. Terutama ketika pandemik ini, ganti berus gigi selepas pulih dari Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:01 AM