MEMBERUS gigi dengan betul dapat elak masalah gigi kanak-kanak.
MEMBERUS gigi dengan betul dapat elak masalah gigi kanak-kanak.
Yusliza Yakimir Abd Talib

“GIGI susu saja, tak apalah.”Alasan ini sering digunakan ramai ibu bapa yang memandang remeh mengenai gigi anak kecil, walaupun sebenarnya keadaan gigi anak mereka semakin teruk.

Ada yang langsung tidak kisah memberi anak kecil gula-gula, coklat dan manisan tanpa kawalan, tidak kurang juga yang mengambil sikap sambil lewa dalam mendidik si manja dengan tabiat memberus gigi.

Akibatnya, anak mula mengalami masalah gigi berlubang atau karies awal kanak-kanak yang biasa berlaku apabila mereka mengambil terlalu banyak makanan bergula dan karbohidrat tetapi tidak memberus gigi.

Doktor pergigian, Dr Sheril Nur Aida Rosli berkata, gula dalam makanan membentuk bakteria dalam mulut dan mereputkan gigi secara perlahan-lahan sekiranya tiada tindakan diambil bagi memastikan kebersihan gigi dan mulut.

Ini kerana, katanya, enamel gigi kanak-kanak lebih nipis berbanding orang dewasa dan mudah rosak akibat bakteria. Apabila ini berlaku, anak akan mengalami kesakitan gigi sekiranya kerosakan sampai ke akar gigi.

“Bukan saja makanan manis seperti gula-gula perlu dielakkan tetapi tabiat menghisap susu dalam tempoh panjang juga perlu diberi perhatian.

“Ada bayi dan kanak-kanak gemar menghisap susu begitu lama. Ia tabiat perlu diubah kerana dikhuatiri merosakkan gigi mereka. Ini kerana kandungan gula semula jadi dalam susu menyebabkan masalah kerosakan gigi lebih ketara,” katanya.

Dr Sheril berkata, situasi itu akan menjadi serius apabila ibu bapa membiarkan anak mereka menghisap botol susu untuk tempoh lama terutama membiarkan botol susu ‘melekap’ di mulut ketika tertidur.

Ketika tidur, penghasilan air liur menjadi perlahan menyebabkan pengumpulan karies berlaku dengan lebih cepat. Karies gigi juga merebak dengan cepat selagi kanak-kanak tadi kerap mengambil makanan yang mengandungi gula dan tidak menjaga kebersihan gigi.

Oleh itu, katanya, ibu bapa wajar mengawal pengambilan makanan anak dan memastikan mereka membersihkan gigi dengan betul.

“Kini kandungan gula bukan saja dalam gula-gula yang kita nampak tetapi turut berada dalam makanan berproses dan perlu dielakkan," katanya.

Menurutnya, amalan penjagaan gigi yang baik sejak kecil perlu diterapkan oleh ibu bapa akan menjadikan ia sebagai tabiat dalam diri anak dan ia akan dilakukan dengan sendiri tanpa perlu dipaksa.

Umpama melentur buluh, biar daripada rebungnya. Ibu bapa yang bertindak awal dalam penjagaan gigi si anak biasanya mampu mengelakkan masalah karies, gusi bengkak, bengkok dan jangkitan gigi.

Bagaimanapun, katanya, untuk masalah gigi tidak tersusun hanya boleh dibetulkan sebaik semua gigi tumbuh dan seelok-eloknya pada usia remaja.

“Selain memupuk penjagaan kebersihan gigi yang baik, ibu bapa juga perlu mengawal pengambilan gula dan karbohidrat ringkas dalam diet anak serta memupuk disiplin demi memastikan gigi mereka tidak terjejas.

“Ibu bapa juga digalakkan membawa anak bertemu doktor gigi seawal usia tiga tahun dan biasakan membawa mereka selepas itu. Ini bagi mengelakkan mereka berasa takut apabila gigi mula sakit dan perlu bertemu doktor.

“Ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak itu untuk mengetahui cara betul menjaga gigi dan sekiranya ada masalah, ia dapat dirawat awal.

“Memulakan tabiat ini tidak sukar, ibu bapa hanya perlu peruntukkan masa enam bulan sekali atau dua kali setahun sebagai rutin pemeriksaan gigi anak anda," katanya.

BIASAKAN anak kecil dengan rutin pemeriksaan gigi berkala. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
BIASAKAN anak kecil dengan rutin pemeriksaan gigi berkala. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

SALAH ANGGAPAN

Ramai ibu bapa mempunyai salah anggapan terhadap kepentingan gigi susu dan penjagaannya. Antara salah anggapan yang biasa ialah:

- Anggap gigi susu bukan set gigi yang penting kerana ia akan diganti dengan gigi kekal

- Anggap penjagaan kebersihan dan kesihatan gigi susu tidak penting

- Masalah pergigian akan selesai selepas gigi yang reput dirawat atau dicabut

- Prosedur pergigian adalah menyakitkan (dan fahaman ini ‘diturunkan’ kepada anak dengan menakutkan mereka)

- Enggan membawa anak berjumpa doktor gigi kerana beranggapan tidak mengapa jika ia rosak selagi tidak menyebabkan kesakitan gigi

- Ibu bapa hanya pentingkan penampilan atau susunan gigi kacip (gigi di barisan depan) terutama pada gigi bawah kerana ramai kanak-kanak alami masalah gigi senget. Mereka tidak kisah keadaan kesihatan gigi di belakang (geraham)

- Gigi susu tidak perlukan pemeriksaan doktor gigi

- Jika gusi berdarah, lebih baik elakkan memberus gigi

- Tidak menganggap memberus gigi sebelum tidur untuk kanak-kanak sebagai perkara penting. Ada yang beranggapan susu formula tidak merosakkan gigi kerana mereka tidak menambah gula ke dalam bancuhan susu anak

IBU bapa atau penjaga perlu tekankan kebersihan dan penjagaan gigi sejak kecil.
IBU bapa atau penjaga perlu tekankan kebersihan dan penjagaan gigi sejak kecil.

LATIHAN AWAL

Ajar anak untuk memberus gigi seawal mungkin. Pada peringkat pertama, ajar anak untuk masukkan berus gigi sehingga geraham paling belakang. Ada tiga langkah mudah untuk memberus gigi iaitu:

- Atas geraham: Gerakan ke belakang dan ke depan

- Tepi luar dan tepi dalam: Berus menghala ke atas

- Depan: Tidak kisah cara digunakan anak, asalkan ia dibersihkan

Apabila anak berumur enam atau tujuh tahun, baru ajar dia cara betul seperti anda memberus gigi kekal. Ketika ini dia sudah mempunyai gigi kekal, dan anda boleh memperkenalkan penggunaan flos padanya.

DR Sheril galakkan ibu bapa mengambil berat kesihatan gigi anak.
DR Sheril galakkan ibu bapa mengambil berat kesihatan gigi anak.

LANGKAH CEGAH KARIES AWAL

- Pengambilan diet yang mengandungi gula rendah

- Memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida

- Ibu bapa atau penjaga perlu membantu kanak-kanak memberus gigi. Bibir atas kanak-kanak perlu diangkat untuk memastikan tiada plak terkumpul di bahagian pinggir gusi.

- Keluarkan botol susu dari mulut sebaik sahaja habis menyusu botol

- Berhenti menyusu menggunakan botol (umur satu hingga tiga tahun) dan diganti dengan cawan

- Menggunakan ubat ‘bebas gula’ sekiranya perlu makan ubat berbentuk cecair

- Minum air masak terutama selepas makan makanan manis.

- Menjalani pemeriksaan gigi setiap enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:16 AM