IBU bapa semestinya menginginkan bayi yang sihat.
IBU bapa semestinya menginginkan bayi yang sihat.
Hafiz Ithnin


"Semua ibu mengandung digalakkan menjalani imbasan 'ultrasound' pada usia kandungan antara 18 sehingga 23 minggu dan ujian darah untuk mengesan kelainan struktur bayi,

" kata Perunding Sakit Puan dan Pakar Kesuburan Metro IVF, Dr Senthi N Muthuraman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai antara langkah pengesanan awal keadaan bayi di dalam kandungan yang tidak normal.

Jelasnya, kelainan yang biasa dikesan membabitkan struktur kepala dan otak, paru-paru, jantung dan bahagian perut.

"Jika kelainan dikesan, maka rujukan seterusnya boleh diuruskan untuk rawatan susulan. Ia sangat membantu untuk merancang rawatan bayi dengan sempurna selepas kelahiran," katanya kepada Wanita Metro (WM) menerusi kiriman emel.

Mengulas mengenai pengendalian kes bayi cacat, pakar itu berkata, langkah pertama ialah penilaian sama ada kecacatan yang dikesan itu serasi untuk hidup atau tidak.

"Jika kecacatan itu tidak mengancam nyawa, langkah seterusnya ialah menentukan rawatan yang boleh dimulakan sebelum kelahiran atau pemantauan dan rawatan hanya boleh dimulakan selepas kelahiran.

"Kecacatan pada bahagian perut mungkin memerlukan pembedahan sejurus selepas kelahiran. Maka proses kelahiran harus dirancang di hospital di mana pakar pediatrik dan pakar pembedahan pediatrik sedia ada serta rawatan rapi boleh diberikan," katanya.

Tambahnya, jika kecacatan yang dikesan adalah tidak serius, maka keadaan ini hanya memerlukan pemantauan sebelum dan selepas bersalin.

"Kalau kelainan yang dikesan adalah tidak serasi untuk hidup, maka ibu bapa boleh berbincang mengenai cara-cara untuk menggugurkan kandungan itu.

PEMERIKSAAN awal dapat membantu mengetahui masalah bayi dalam kandungan.
PEMERIKSAAN awal dapat membantu mengetahui masalah bayi dalam kandungan.

"Ia adalah suatu keputusan yang sukar bagi ibu-bapa dan doktor tidak boleh mempengaruhi keputusan itu, katanya.

Jelasnya, pakar boleh memberikan nasihat dari bidang perubatan dan tidak mempengaruhi ibu bapa dalam membuat sebarang keputusan.

"Terdapat ibu bapa yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kandungan itu kerana menilai daripada risiko yang tinggi.

"Di Malaysia, pengguguran tertakluk kepada akta yang dibenarkan dalam bidang perubatan dan janin boleh digugurkan sebelum mencapai 22 minggu sekiranya janin tidak dapat diselamatkan atau mengancam nyawa ibu," katanya.

Dr Senthi berkata, kecacatan yang boleh dikesan sekiranya ibu hamil secara semula jadi adalah spina bifida atau tulang belakang tidak tertutup sepenuhnya yang dikesan menerusi 'ultrasound.' Kecacatan ini adalah jenis serius.

"Kebanyakan kecacatan pada otak dan otak berair adalah jenis serius. Kelainan pada jantung adalah jantung berlubang atau struktur jantung yang tidak normal.

"Jantung berlubang boleh dirawat secara ubat-ubatan atau pembedahan selepas kelahiran. Bagi kelainan pada struktur jantung, terdapat jenis yang serius dan tidak serius, terpulang kepada kes masing-masing," katanya.

Tambahnya, kecacatan paru-paru biasanya boleh dirawat selepas kelahiran. Terdapat beberapa kecacatan paru-paru, di mana perkembangan paru -paru boleh menjadi terbantut.

PEMERIKSAAN darah antara yang boleh dilakukan.
PEMERIKSAAN darah antara yang boleh dilakukan.

"Kecacatan pada bibir (bibir sumbing) dan pada lelangit kerap dijumpai dan sangat dikhuatiri oleh ibu bapa. Jika terdapat bibir sumbing atau masalah pada lelangit ('cleft lip and cleft' ).

"Langkah pertama yang harus dilakukan adalah imbasan 'ultrasound' penuh bayi. Ia bagi mengesan kecacatan yang lain yang mungkin wujud bersama," katanya.

Jelasnya, jika tiada kecacatan lain yang mengancam nyawa, maka bibir sumbing dan lelangit boleh dirawat secara pembedahan.

Pakar itu menambah, antara faktor berlakunya kecacatan bayi ialah sejarah keluarga yang pernah mempunyai bayi yang cacat atau gangguan genetik .

"Selain itu, penggunaan dadah, pengambilan alkohol atau merokok ketika hamil, hamil pada usia yang lewat, jangkitan virus seperti Syphilis, Toxoplasma atau Cytomegalovirus boleh menjadi faktor.

"Tidak sekadar itu, ibu yang menghidapi penyakit kronik seperti diabetes, di mana paras gula tidak terkawal ketika hamil turut menyumbang berlakunya perkara berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:30 AM