BUNYI terhasil menerusi hidung mungkin tanda mulut sumbing yang boleh dirawat sejak lahir.
BUNYI terhasil menerusi hidung mungkin tanda mulut sumbing yang boleh dirawat sejak lahir.
Aniza Zainudin

AKTIVITI meniup belon dan buih sabun dalam kalangan kanak-kanak adalah senaman menguatkan otot mulut dan ia merangsang penghasilan bunyi melalui mulut, bukan hidung iaitu antara faktor masalah sengau.

Sengau adalah kualiti suara yang terhasil apabila pengaliran udara berlebihan keluar dari rongga hidung ketika bertutur. Masalah ketidaknormalan dalam pertuturan ini mungkin cuma sementara atau sememangnya lahir bersama pesakit berkenaan.

PAKAR ENT UITM Specialist Centre, Sg Buloh, Dr Azrina Ahmad. FOTO: Rohanis Shukri
PAKAR ENT UITM Specialist Centre, Sg Buloh, Dr Azrina Ahmad. FOTO: Rohanis Shukri

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Azrina Ahmad berkata, dari segi perubatan, sengau terbahagi kepada dua iaitu rhinolalia aperta dan rhinolalia clausa.

“Bunyi sengau terhasil disebabkan kelainan atau ketidaknormalan pertuturan kita. Seperti ketika selesema, suara kita selalu jadi sengau tetapi ia hanya sementara. Sebaliknya, jika ada sumbing atau klef di dalam mulut, sengau adalah komplikasinya.

“Masalah sengau boleh dikenal pasti ketika kita bercakap. Setiap bahasa mempunyai perkataan vokal dan konsonan. Perkataan vokal berbunyi seperti ‘a’ ‘e’ ‘i’ ‘o’ ‘u’, bunyi terhasil akan keluar melalui mulut.

SUMBING dari bibir hingga ke dalam.
SUMBING dari bibir hingga ke dalam.

“Bunyi perkataan konsonan pula seperti ‘m’ ‘n’ ‘ng’ ‘ny’ pula keluar melalui hidung. Bahasa Melayu banyak menggunakan perkataan vokal, jadi apabila kita bertutur seharusnya bunyi keluar menerusi mulut dan hanya setengah bunyi keluar melalui hidung.

“Sengau pula berlaku apabila semua bunyi vokal dikeluarkan menerusi hidung. Ia boleh diuji dengan cara meletakkan cermin di bawah hidung sambil menyebut perkataan

atau ayat.

“Sekiranya cermin banyak berkabus ketika bercakap, ia menunjukkan pesakit mempunyai masalah sengau. Selain itu, pemeriksaan juga boleh dilakukan menggunakan ‘skop anjal’.

“Masalah sengau ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor. Sumbing lelangit sama ada di lelangit keras atau lembut yang wujud pada waktu kelahiran.

“Lelangit keras terletak di bahagian depan manakala lelangit lembut yang juga anak tekak di bahagian belakang. Dalam proses penghasilan bunyi normal, apabila kita bercakap, lelangit lembut akan terangkat ke atas untuk menutup ruang ke rongga hidung.

“Sebelum bercakap, terlebih dahulu kita tarik nafas dan udara akan dibawa ke paru-paru. Kemudian, melalui salur tekak udara dari paru-paru, ini akan menggetarkan peti suara.

“Apabila udara bergerak ke rongga mulut, anak tekak atau uvula akan terangkat menutup ruang ke rongga hidung.

“Udara keluar dari rongga mulut dan bunyi pertuturan terhasil. Kecuali kita menyebut bunyi konsonan seperti ‘nyanyi’ kerana lelangit lembut dalam keadaan rehat dan tidak terangkat.

“Masalah sumbing terbahagi beberapa jenis sama ada di muka atau bibir; bibir, lelangit keras; lelangit lembut; kombinasi lelangit keras dan lembut atau sumbing anak tekak (bifid uvula),” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, sumbing anak tekak hanya berlaku di lelangit lembut dan kes seumpama ini tidak banyak. Ada segelintir pesakit tidak mempunyai masalah pertuturan, maka mereka tidak memerlukan rawatan.

PROSES pertuturan.
PROSES pertuturan.

Kesan sebelum lahir

Dr Azrina menjelaskan, masalah sumbing selalu berlaku sebelum bayi dilahir dan ia boleh dikenal pasti melalui ujian ultra bunyi untuk dimaklumkan kepada ibu bapa.

Beliau tidak menafikan masalah sumbing boleh diwarisi daripada ibu bapa tetapi bukan dalam semua kes. Namun, bagi ibu bapa yang mempunyai masalah sumbing, selalunya pegawai perubatan akan menasihatkan ibu hamil supaya menjalani imbasan bagi mengesan masalah itu pada bayi dalam kandungan.

Ini bertujuan mengenal pasti sama ada bayi bakal lahir turut mengalami masalah itu atau sebaliknya. Jika berisiko masalah sumbing, kes ini akan dipantau pakar perubatan.

Merujuk pada jenis sumbing, Dr Azrina berkata, penting untuk mengenal pasti tahap sumbing kanak-kanak bagi memudahkan proses rawatan lanjut dilaksanakan.

Sekiranya sumbing di bibir, pakar ENT akan memeriksa keadaan dalaman mulut bayi bagi memastikan masalah sumbing dialami dikategorikan mengikut jenisnya.

Hari ini, sudah ada pelbagai kaedah dan teknologi perubatan untuk merawat masalah sumbing yang dilakukan secara berperingkat mengikut usia bayi berkenaan.

KEADAAN dua anak tekak atau bifid uvula.
KEADAAN dua anak tekak atau bifid uvula.

Katanya, sumbing tidak saja mengganggu fungsi pertuturan bahkan pemakanan terutama proses menelan gara-gara ketiadaan lapisan pembahagi antara mulut dan hidung.

“Rawatan ini terbahagi dua merangkumi pemakanan atau pertuturan. Merujuk pada pemakanan terutamanya bayi, kita perlu ajar ibu bapa kaedah terbaik bagi membantu anak mereka seperti pemberian susu, pemilihan botol dan puting bersesuaian, teknik memberi minuman dan makanan, cara mengurangkan risiko tersedak dan jangkitan kuman.

“Kita juga menyediakan alat bantuan pemakanan seperti obturator seakan-akan gigi palsu dipasang di dalam mulut bayi bagi membahagikan ruang antara mulut dan hidung.

“Alat bantuan ini dibuat mengikut ukuran bayi atau kanak-kanak berkenaan dan ia boleh dipakai seawal usia beberapa bulan hingga lima tahun bagi kes mengelakkan gangguan pemakanan.

“Alatan ini ditukar pada setiap empat hingga enam minggu mengikut perkembangan anak.

“Rawatan pertuturan pula merujuk pada pembedahan yang dilakukan beberapa peringkat bermula baru lahir hingga mencecah umur 16 hingga 18 tahun.

“Rawatan ini berpandukan protokol dibangunkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) yang juga dijadikan rujukan buat ibu bapa yang mempunyai anak sumbing.

“Sebagai contoh, dari lahir hingga lima tahun prosedur merawat bibir, diikuti rawatan lelangit (sembilan bulan) dan terapi pertuturan pada umur 18 tahun ke atas dan sebagainya.

“Pada umur dua tahun ke atas, perkembangan pertuturan paling banyak berlaku dan ibu bapa dapat mengenal pasti sama ada si anak mempunyai masalah sengau atau tidak.

“Justeru, kita perlu ajar teknik pertuturan yang lebih baik bagi mempertingkatkan sebutan mereka bermula dari awal,” jelasnya. Bukan hanya berpunca daripada sumbing, Dr Azrina mengakui masalah sengau boleh terjadi sekiranya otot dalam mulut tidak berfungsi dengan baik.

Keadaan ini sering melanda mereka yang mengalami masalah saraf atau otot lemah, pesakit palsi serebrum. Masalah otot lemah dan saraf turut mengganggu fungsi penutupan lelangit lembut bagi membezakan ruang antara hidung dan mulut.

Pada peringkat ini juga, senaman mulut boleh membantu menguatkan otot mulut dan lelangit anak dengan melakukan aktiviti mudah seperti meniup belon dan buih sabun.

Ini kerana aktiviti berkenaan berupaya merangsang otot untuk belajar menutup rongga hidung dan mengelakkan bunyian sengau.

Bagi sesetengah keadaan lain pula, secara keseluruhan pesakit adalah normal namun masalah sengau itu mungkin berpunca daripada kelenjar adenoid yang terletak di bahagian belakang hidung.

Kelenjar yang membengkak ini tidak saja mengakibatkan pertuturan sengau malah menghasilkan dengkuran buat pesakit. Disifatkan bukan kes popular, proses rawatan menerusi pembedahan pembuangan kelenjar juga boleh menyebabkan pesakit sengau tetapi cuma sementara.

Menurutnya lagi, masalah sengau juga boleh terjadi sekiranya pesakit mengalami kecederaan kronik di bahagian tengkorak muka akibat kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 6:30 AM