ANAK-anak boleh jalani hidup seperti biasa setelah menjalani rawatan.
ANAK-anak boleh jalani hidup seperti biasa setelah menjalani rawatan.
Nurul Husna Mahmud


PENYAKIT jantung kongenital adalah penyakit jantung dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa sejak kelahiran.

Insidennya adalah 1 dalam setiap 4,000 hingga5,000 kelahiran.

Penyakit jantung kongenital berpunca daripada masalah genetik keturunan, penyakit diabetes dan lupus dalam ibu mengandung,jangkitan rubella dalam kandungan ibu serta pengambilan ubat lithium oleh ibu mengandung.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Hospital Columbia Asia Setapak Dr Jasvinder Kaur Nagindar Singh, meskipun penyakit berkenaan semakin signifikan dalam kalangan bayi mahupun kanak-kanak, namun tidak bermaksud negatif sebaliknya infrastruktur atau fasiliti kesihatan lebih baik membolehkan pengesanan awal masalah berkenaan.

"Berbanding dulu masalah kongenital hanya dapat dikesan pakar, namun kini doktor atau pengamal kesihatan sudah dapat mengenal pasti masalah jantung seawal lima hingga ke enam bulan dalam kandungan ibu.

PENYAKIT jantung sudah boleh dikesan seawal 5 hingga 6 bulan dalam kandungan.
PENYAKIT jantung sudah boleh dikesan seawal 5 hingga 6 bulan dalam kandungan.

"Ini berikutan kualiti termasuklah teknologi dalam memeriksa bayi semakin bertambah baik. Jadi sudah dapat lihat atau kenal pasti masalah bayi sejak dalam perut ibu lagi," katanya.

Menjelaskan fisiologi jantung normal, kata Dr Jasvinder Kaur,jantung adalah organ berotot yang membantu pengaliran darah kurang oksigen ke peparu untuk penambahan oksigen.

Lalu darah yang penuh dengan kandungan oksigen akan kembali ke jantung sebelum dialirkan ke seluruh anggota badan.

Jika terdapat masalah tertentu yang menghalang oksigen dibawa ke seluruh tubuh disebabkan komplikasi berlaku pada otot itu mampu menjadi ancaman termasuklah risiko maut.

Memperincikan penyakit kongenital kanak-kanak, katanya terdapat dua kategori penyakit jantung sering dihadapi kanak-kanak iaitu penyakit jantung merah dan penyakit jantung biru."Penyakit jantung merah juga dikenali sebagai penyakit jantung acyanotic dan penyakit jantung biru dikenali sebagai penyakit jantung cyanotic.

"Penyakit jantung acyanotic dibahagikan pula kepada penyakit jantung berlubang dan penyakit jantung saluran tersumbat. Penyakit jantung berlubang adalah ventricular septal defect iaitu lubang dalam dinding bawah jantung dan atrial septal defect iaitu lubang dalam dinding atas jantung."Penyakit jantung saluran tersumbat adalah pulmonary stenosis dan aortic atenosis.

PEMBEDAHAN jantung kongenital adalah solusi bagi masalah jantung cyanotic.
PEMBEDAHAN jantung kongenital adalah solusi bagi masalah jantung cyanotic.

Penyakit patent ductus arteriosus yang lazim di kalangan bayi pra-matang pula disebabkan saluran yang menyambungkan saluran darah aorta dan artery pulmonary masih terbuka," katanya.

"Gejala penyakit jantung adalah kebiruan mulut, susah bernafas, susah untuk minum susu, berpeluh bila minum susu, pengsan, perasaan jantung berdebar-debar, sakit dada, penat bila tengah bermain dan pertumbuhan yang terbantut.

"Bunyi jantung yang luar biasa akan didengar semasa pemeriksaan dada. Penyakit jantung kongenital boleh dikesan ketika ibu mengandung dengan ultrasound terperinci oleh Pakar Obstetrik yang berpengalaman dalam bidang ultrasound terperinci (Maternal Foetal Medicine Specialist)," katanya.

Bayi yang mempunyai masalah jantung dalam kandungan kemudiannya akan dirujuk kepada pakar pediatrik kardiologi untuk ultrasound jantung iaitu ekokardiogram.

Seterusnya bayi ini akan dipantau dari semasa ke semasa dan ibu bapa akan diberitahu sama ada bayi ini mempunyai masalah jantung yang boleh dirawat dengan ubat atau pembedahan selepas lahir atau tidak dapat hidup lama selepas lahir.

PEMBEDAHAN jantung kongenital adalah solusi bagi masalah jantung cyanotic.
PEMBEDAHAN jantung kongenital adalah solusi bagi masalah jantung cyanotic.

Ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit jantung kongenital adalah x-ray, elektrokardiogram serta ekokardiogram. Saiz jantung, struktur jantung dan pengaliran elektrik jantung dapat dikesan dengan ujian berkenaan.

Menjelaskan mengenai dilema sering dihadapi ibu bapa apabila mendapati anak mereka menghidapi masalah jantung, kata Dr Jasvinder Kaur bebanan pastinya kos rawatan terutama mereka yang perlu pembedahan.

"Bagi ibu bapa biasalah isu kos rawatan berbanding komitmen membawa anak menjalani rawatan. Kos pembedahan untuk jantung kanak-kanak tiada insurans jadi itu membuatkan ibu bapa menangguhkan pembedahan kerana tidak mampu," katanya.

Rawatan untuk penyakit jantung kongenital bergantung kepada jenis penyakit jantung kongenital.

Penyakit jantung atrial septal defect dan ventricular septal defect yang kecil berkemampuan untuk tutup sendiri apabila kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.

Lubang yang sederhana besar boleh ditutupkan dengan menggunakan alat (belon khas) tanpa menjalani pembedahan sementara lubang yang besar perlu ditutupkan dengan pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:00 AM