SUMBING berlaku disebabkan gangguan pada pembentukan muka sewaktu di dalam kandungan.
SUMBING berlaku disebabkan gangguan pada pembentukan muka sewaktu di dalam kandungan.
FEEDING plate digunakan untuk bayi sumbing makan sebelum pembedahan dilakukan.
FEEDING plate digunakan untuk bayi sumbing makan sebelum pembedahan dilakukan.
DR Aida menunjukkan antara bentuk sumbing berlaku kepada kanak-kanak.
DR Aida menunjukkan antara bentuk sumbing berlaku kepada kanak-kanak.
Rosyahaida Abdullah


Dianggarkan satu dalam setiap 500 hingga 1,000 kelahiran di dunia mengalami sumbing bibir dan lelangit, keadaan di mana kondisi muka tidak normal akibat gangguan pembentukan bibir dan lelangit sewaktu di dalam kandungan.

Angka ini boleh dianggap tinggi bagi kemungkinan untuk ia berlaku bergantung kepada kaum dan keturunan, namun kondisi itu juga bukan bermakna tiada harapan muka kembali pulih menyamai insan normal lain.

Sumbing terjadi apabila wujud gangguan terhadap pertumbuhan muka bayi di dalam kandungan antara minggu kelima hingga kesembilan usia kandungan.

Punca gangguan ini masih tidak dapat dikenal pasti sehingga kini tetapi genetik dan persekitaran tidak sihat ibu hamil dikaitkan sebagai antara faktor utama.

Hanya seawal minggu ke-20 usia kandungan barulah kondisi ini dapat dikenal pasti menerusi imbasan ‘ultra-sound’ rutin, atau mungkin juga hanya diketahui selepas kelahiran.

Sebenarnya, rawatan untuk masalah sumbing sudah tersedia seawal selepas lahir lagi sebelum disusuli dengan rawatan tertentu pada beberapa peringkat umur secara menyeluruh membabitkan pelbagai bidang kepakaran perubatan dan pergigian.

Antara bidang kepakaran terbabit ialah bedah plastik; bedah mulut dan maksilofasial; telinga, hidung dan tekak; ortodontik; pergigian kanak-kanak; psikologi dan terapi pertuturan.

Proses ini juga membawa pembabitan doktor perubatan dan pergigian primer bagi rawatan susulan bersama untuk penjagaan kesihatan jangka masa panjang.

Ada beberapa jenis sumbing bibir dan lelangit. Antaranya, sumbing bibir sama ada di sebelah kiri, kanan atau kedua-duanya; sumbing lelangit sama ada lelangit lembut, keras atau kedua-duanya; atau yang paling kompleks iaitu sumbing kedua-dua belah bibir dan lelangit.

Seawal selepas lahir, bayi sumbing mungkin diberikan alatan khas seperti ‘feeding plate’ (untuk makan), ‘nasoalveolar moulding plate’ (rawatan) atau alat ‘soft tissue moulding’ (rawatan) untuk membantu membentuk rahang dan bibir bagi memudahkan pembedahan bibir pada usia tiga bulan nanti.

Penyusuan ibu pastinya lebih mencabar untuk dilakukan dengan baik, namun ia juga bukan sesuatu yang terlalu mustahil.

Bergantung kepada tahap sumbing yang dihadapi, Pensyarah Kanan Ortodontik Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Aida Nur Ashikin Abd Rahman berkata, pembedahan pertama lelangit akan hanya dilakukan ketika bayi berusia sembilan bulan dan ke atas.

Jelasnya, terapi pertuturan dan pendengaran akan dijalankan selepas peringkat itu bersama pakar telinga, hidung dan tekak yang akan memberikan rawatan berterusan bermula sejak lahir hinggalah dewasa.

“Ketika usia antara sembilan hingga 11 tahun, pakar ortodontik pula akan berikan rawatan untuk kembangkan rahang atas menggunakan alat ‘expansion’ sebelum pakar bedah melakukan pembedahan lelangit lanjut dengan menambah tulang di situ (lelangit) yang biasanya diambil daripada tulang paha.

“Menjelang dewasa, individu sumbing mungkin memerlukan pembedahan rahang muka untuk membetulkan rahang disertai dengan pemakaian pendakap gigi ortodontik,” katanya.

Mengulas kesan kondisi itu, Dr Aida berkata, tentunya bayi sumbing mengalami masalah untuk makan selain pertuturan, pendengaran, tumbesaran rahang muka, penampilan diri dan psikologi apabila dewasa sekiranya tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Namun, apa yang merisaukan adalah tekanan psikologi yang dihadapi ibu bapa khususnya ibu bapa baharu atau penjaga akibat wajah bayi tidak normal dan penerimaan orang sekeliling terhadap keadaan itu.

“Dalam situasi sebegini, komitmen ibu bapa sangat penting. Mereka tidak boleh berputus asa dalam membawa anak (sumbing) menjalani rawatan yang mungkin perlu kerap ke hospital.

“Disebabkan itu, saya selalu menyarankan ibu bapa untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada kumpulan sokongan tertentu, misalnya Persatuan Sumbing Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) yang aktif dalam apa saja hal berkaitan sumbing,” katanya.

Menurut Dr Aida, rawatan berterusan untuk sumbing memang kompleks dan hanya dapat dilakukan oleh pakar perubatan dan pergigian yang mempunyai kemahiran serta pengalaman luas dalam pengurusan pesakit sumbing.

Justeru itu katanya, kewujudan rawatan setempat seperti pusat sumbing semestinya dapat mengurangkan kesulitan untuk individu sumbing mendapatkan rawatan.

“Bilangan pakar khusus untuk rawatan sumbing adalah terhad. Pusat sumbing juga terhad. Di Malaysia, ia hanya tersedia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan beberapa pusat perubatan swasta.

“Biarpun terhad, itu juga bukan bermakna ia terlalu sukar. Saya sendiri mempunyai pesakit sumbing yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang pergigian di United Kingdom tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:02 AM