PATUHI polisi NICU. - FOTO Google
PATUHI polisi NICU. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SELEPAS sembilan bulan 10 hari, menghitung masa kelahiran zuriat adalah detik indah bagi setiap pasangan.

Pelbagai persiapan dilakukan baik si ibu mahupun bapa yang tak sabar menanti kelahiran cahaya mata penghubung kasih.

Namun, dalam menanti khabar gembira, ibu bapa juga perlu bersedia menghadapi pelbagai situasi yang mungkin perlu dilalui bersama bayi mereka termasuk menjalani rawatan di pelbagai jabatan di hospital.

Pertumbuhan dan perkembangan bayi adalah penting dari saat janin dibentuk di dalam rahim.

Tetapi, apa yang terjadi selepas ibu melahirkan anak akan memainkan peranan penting dalam kesihatan fizikal dan mental bayi serta kesejahteraan mereka.

Ini kerana setiap bayi melalui tahap pertumbuhan berbeza, ada yang dilahirkan sebelum cukup bulan kemudian memerlukan rawatan perubatan khas dan ada yang kurang berat ketika lahir dan pelbagai situasi berisiko tinggi lain.

Keadaan kesihatan sebegitu boleh menyebabkan bayi berkenaan dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

DALAM beberapa kes, bayi dapat dikenal pasti mempunyai kelainan tertentu yang boleh dikesan melalui ultrabunyi sebelum kelahiran. - FOTO Google
DALAM beberapa kes, bayi dapat dikenal pasti mempunyai kelainan tertentu yang boleh dikesan melalui ultrabunyi sebelum kelahiran. - FOTO Google

Pakar Perunding Senior Neonatologi, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Hasmawati Hassan berkata, terdapat unit khusus bagi neonatologi, yang juga kepakaran perubatan khusus untuk perubatan bayi berisiko.

Kata Dr Hasmawati, sekiranya bayi yang baharu dilahirkan pramatang atau sakit, mereka memerlukan pengurusan yang kritikal untuk dirawat dan jangka masa tinggal di hospital juga bergantung pada prognosis atau proses penyakit, jika ada.

"Antara beberapa keadaan yang memerlukan bayi dirawat di NICU adalah masalah berkaitan dengan kelahiran pramatang, pernafasan yang memerlukan sokongan ventilasi dan keabnormalan kongenital (yang memerlukan pemantauan dan intervensi).

"Jika bayi terkena jangkitan atau sepsis berkaitan dengan chorioamnionitis dan keabnormalan elektrolit seperti hipoglisemia atau gula darah rendah, juga perlu dirawat di NICU," katanya.

Menurut Dr Hasmawati, bayi baharu lahir yang sihat biasanya akan tinggal bersama ibu mereka untuk disusui di wad selepas bersalin.

BAYI yang baharu dilahirkan dijaga oleh jururawat dan doktor berpengalaman. - FOTO Google
BAYI yang baharu dilahirkan dijaga oleh jururawat dan doktor berpengalaman. - FOTO Google

Selain itu, pakar neonatologi atau pakar pediatrik juga akan memeriksa bayi dari sebarang penyakit seperti kelainan kongenital (ketarak, sumbing, luka di jantung, kehelan pinggul kongenital, kelainan tulang belakang dan lain-lain).

"Pemeriksaan lain turut dilakukan iaitu ujian kumpulan darah neonatal, G6PD, ujian fungsi tiroid, ujian pendengaran, pemeriksaan oksimetri nadi untuk memastikan ketepuan melebihi 95 peratus dan sebarang ujian lain yang dirasakan perlu oleh pakar," katanya.

Kata Dr Hasmawati lagi, penjagaan bayi yang baru lahir di NICU juga boleh dilakukan sebelum kelahiran bayi.

Atas rujukan daripada pakar obstetrik, pakar neonatologi atau pakar pediatrik yang bekerja di NICU akan diminta untuk berjumpa ibu berisiko tinggi sekiranya bayi yang belum lahir mungkin terancam kerana keadaan si ibu.

"Ia termasuk ibu hamil yang menghidap penyakit kronik yang boleh mempengaruhi pertumbuhan bayi seperti kegagalan buah pinggang kronik, penyakit jantung kronik, penyakit autoimun dan sebagainya.

"Dalam beberapa kes, bayi dapat dikenal pasti mempunyai kelainan tertentu yang boleh dikesan melalui ultrabunyi sebelum kelahiran.

"Pakar perunding yang bertanggungjawab kemudian akan membincangkan risiko dan prognosis bayi dengan ibu yang berisiko tinggi supaya pakar obstetrik dapat melakukan intervensi sebelum cukup bulan bagi menjaga kesihatan bayi serta mencegah komplikasi lebih lanjut kepada ibu mahu pun anak," katanya.

Dalam pada itu, sekiranya terdapat masalah serius yang tidak diingini berlaku semasa ultrabunyi antenatal, pakar obstetrik, pakar neonatologi atau pakar pediatrik akan menjalankan kaunseling jika janin tidak selamat apabila dilahirkan.

Jelas Dr Hasmawati, ibu bapa terbabit akan diberi kaunseling supaya mereka bersedia secara psikologi untuk menerima keadaan yang serius selepas kelahiran dan kemungkinan bayi itu tidak dapat diselamatkan.

PEMBABITAN ibu bapa dalam kesejahteraan anak penting supaya dapat menguruskan perkembangan mereka dengan lebih baik. - FOTO Google
PEMBABITAN ibu bapa dalam kesejahteraan anak penting supaya dapat menguruskan perkembangan mereka dengan lebih baik. - FOTO Google

Tambahnya, pembabitan ibu bapa dalam kesejahteraan anak adalah penting supaya mereka dapat menguruskan perkembangan bayi dengan lebih baik dan mempunyai pemahaman mendalam mengenai sesuatu keadaan.

"Cuba tidak terlalu tertekan untuk berpisah dengan bayi ketika mereka berada dalam NICU kerana bayi akan dijaga golongan pakar dan anda boleh meluangkan banyak masa bersamanya jika keadaan mengizinkan.

"Apapun, patuhi polisi yang ditetapkan NICU untuk mengelakkan jangkitan dan tanyakan kepada doktor mengenai diagnosis, apa yang perlu dihadapi dalam jangka masa pendek, jangka masa panjang dan apakah pilihan yang ada, " katanya.

SMCV misalnya turut menggunakan pendekatan berpusatkan keluarga untuk menyokong perkembangan bayi yang baru dilahirkan.

Ini kerana kata Dr Hasmawati, beliau percaya bahawa pembabitan keluarga dalam penjagaan kesihatan bayi adalah penting.

"Pekerja sosial juga memberikan kaunseling untuk membantu keluarga dalam mengatasi ketidakpastian yang boleh mengancam nyawa anak mereka.

"Selain itu, mereka juga menghubungkan keluarga dengan sumber daya masyarakat untuk mendapatkan sokongan emosi dan kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 7:00 AM