SERANGAN ini biasanya akan meminta pengendali atau pemilik maklumat untuk membayar sejumlah amaun kepada pihak tertentu untuk membuka semula fail penting yang sudah dikunci.
SERANGAN ini biasanya akan meminta pengendali atau pemilik maklumat untuk membayar sejumlah amaun kepada pihak tertentu untuk membuka semula fail penting yang sudah dikunci.
Muhammad Saufi Hassan


Sebanyak 287,413 insiden serangan 'Ransomware' dikesan khusus untuk segmen perniagaan di Rantau Asia Tenggara daripada Januari hingga Disember tahun lalu.

Ia sekali gus membuktikan bahawa bentuk serangan Ransomware kekal menjadi 'resipi' paling ampuh pihak tidak bertanggungjawab dalam melancarkan serangan khususnya kepada segmen perniagaan.

Serangan terbabit tidak tertumpu kepada satu bentuk perniagaan atau sesetengah saiz perniagaan saja, sebaliknya ia bersifat menyeluruh tanpa mengira saiz, jenis perniagaan dan sebagainya.

Untuk itu, pemain industri khususnya bagi segmen perniagaan kecil dan sederhana (PKS) perlu bersama-sama mempertingkatkan keupayaan keselamatan siber mereka bagi mengelak daripada menjadi mangsa serangan Ransomware.

Penganalisis Utama Perisian Hasad di Kaspersky, Fedor Sinitsyn berkata, dunia hari ini menghadapi bentuk serangan siber yang begitu kompleks dan tidak hanya tertumpu kepada satu bentuk saja.

"Era serangan besar-besaran yang meluas oleh penyulitan terhadap kedua-dua pihak dan perniagaan semakin pudar.

"Sebaliknya, kami menyaksikan peralihan ke arah kumpulan terurus yang melaksanakan penggodaman membabitkan kecurian serta penyulitan data yang biasanya dirujuk sebagai pemerasan berganda.

"Rasional di sebalik evolusi ini terletak pada keupayaan pelaku untuk beroperasi dengan kecekapan yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan mereka menuntut jumlah wang tebusan yang jauh lebih tinggi," katanya kepada #ITMetro, baru-baru ini.

INSIDEN serangan berbentuk Ransomware paling popular digunakan untuk entiti perniagaan di Rantau Asia Tenggara.
INSIDEN serangan berbentuk Ransomware paling popular digunakan untuk entiti perniagaan di Rantau Asia Tenggara.

Ransomware yang menyasarkan perniagaan di rantau ini adalah tertinggi di Thailand dengan 109,315 insiden, Indonesia dengan 97,226 serangan ransomware dan Vietnam dengan 59,837.

Filipina menduduki tempat keempat dengan 15,312 penyulitan berniat jahat, diikuti Malaysia dengan 4,982, dan Singapura dengan 741.

Pada tahun lalu, serangan berbentuk Ransomware menjadi fokus utama perbincangan pemain industri bersama-sama dengan pakar keselamatan siber.

Berdasarkan maklumat daripada Kaspersky, ia termasuk beberapa insiden berprofil tinggi membabitkan sebuah bank di Indonesia, syarikat insurans kesihatan awam di Filipina, sistem pengangkutan kereta api awam di Malaysia, hotel dan kasino terkenal di Singapura, konglomerat media terbesar di Thailand dan syarikat tenaga di Vietnam.

Pada masa sama, Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, ia jelas menunjukkan bentuk ancaman terbabit yang disasarkan kepada perniagaan tidak mengira saiz atau bentuk perniagaan.

"Berdasarkan data terbabit, dapat kita lihat bahawa pelaku ancaman di sebalik serangan Ransomware menyasarkan semua sektor di Asia Tenggara.

TEKNIK serangan ini adalah yang paling popular ketika ini dengan mensasarkan segala bentuk perniagaan.
TEKNIK serangan ini adalah yang paling popular ketika ini dengan mensasarkan segala bentuk perniagaan.

"Jumlah percubaan mungkin lebih rendah, tetapi organisasi perlu menyedari kesan sebenar setiap jangkitan perisian tebusan yang berjaya, baik dari segi kewangan mahu pun reputasi.

"Penting bagi perniagaan melihat teknologi keselamatan siber yang menyediakan keberkesanan anti-Ransomware mutlak untuk mengurangkan risiko serangan," katanya.

Untuk maklumat umum, pengguna dinasihatkan supaya tidak mendedahkan keupayaan 'remote desktop' dengan rangkaian umum selain menggunakan kata laluan yang sukar untuk dipecahkan atau autentikasi dua peringkat.

Ia mampu untuk mengurangkan risiko serangan Ransomware jika pengguna dalam sesebuah rangkaian perniagaan lebih peka dengan bentuk serangan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 7:01 AM