KUALA LUMPUR 29 September 2014. Norarliza Abusri, 32 bersama anaknya Aniq Bazly Aidel, 6 yang telah menjalani pembedahan mulut sumbing di Prince Court Medical Centre. NSTP/Mokhsin Abidin
KUALA LUMPUR 29 September 2014. Norarliza Abusri, 32 bersama anaknya Aniq Bazly Aidel, 6 yang telah menjalani pembedahan mulut sumbing di Prince Court Medical Centre. NSTP/Mokhsin Abidin
Oleh Zaitie Satibi.

Sumbing bibir terjadi anggaran satu dalam 1,000 kelahiran, manakala sumbing lelangit pula anggaran satu dalam 2,000 kelahiran. Bagaimanapun, sumbing bibir dan lelangit boleh terjadi secara berasingan atau kedua-duanya sekali.

Punca sumbing tidak diketahui tetapi faktor genetik, kecacatan lain atau pengambilan ubatan ketika ibu hamil dan jangkitan virus boleh menyumbang kepada berlakunya sumbing.

Ketika perkembangan janin kira-kira usia tiga bulan, bahagian kepala dan muka terbentuk berasingan sebelum bercantum, namun kegagalan dalam percantuman mengakibatkan rekahan iaitu sumbing.

Bayi yang dilahirkan dengan keadaan sumbing bibir dan lelangit akan menghadapi pelbagai komplikasi seperti sukar menyusu disebabkan pembentukan mulut tidak sempurna. Malah, bayi juga akan menelan lebih udara ketika penyusuan, mengakibatkan susu mudah masuk melalui hidung atau telinga dalam.

Mereka juga mudah mendapat jangkitan telinga dan pengumpulan air di bahagian telinga tengah, sekali gus menjejaskan pendengaran. Kurang pendengaran akan menghalang perkembangan pertuturan. Bayi yang sumbing lelangit akan menyebabkan pertuturannya tidak fasih kerana otot lelangit tidak berfungsi dengan sempurna.

Kecacatan pada gusi atas dan lelangit akan menyebabkan bayi mempunyai bentuk gigi yang tidak normal atau tiada gigi. Disebabkan banyak komplikasi membabitkan pertuturan, pendengaran, pergigian dan masalah kosmetik, bayi dilahirkan de-ngan sumbing bibir dan lelangit bakal menghadapi masalah kurang keyakinan diri, sekali gus menjejaskan psikologinya.

Bagi membantu bayi yang dilahirkan sumbing bibir dan lelangit menjalani kehidupan seperti insan normal, Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita) menaja pembedahan memperbetulkan masalah terbabit dan rawatan pemulihan lanjut kepada 10 kanak-kanak dengan kerjasama Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

Pihak berkenaan menaja kos pembedahan memperbetulkan sumbing bibir dan lelangit serta rawatan lanjut selepas pembedahan membabitkan pemeriksaan gusi, sokongan alat bantu mendengar dan terapi pertuturan yang perlu dilakukan sedikit demi sedikit selaras peningkatan umur yang menelan belanja ribuan ringgit kepada kanak-kanak berkenaan berusia dua hingga lima tahun sejak 2009 di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC).

Petronita turut menyalur sumbangan RM100,000 kepada CLAPAM disampaikan Ketua Jawatankuasa Kebajikan Petronita, Nazrin Aneeza Nazaruddin bagi menyokong aktiviti dan usaha dijalankan persatuan berkenaan untuk membantu rakyat Malaysia yang mengalami sumbing bibir dan lelangit dengan menawarkan khidmat kaunseling serta nasihat.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM), Zainal Azhar Ahmad.

Zainal Azhar berkata, pembedahan sumbing bibir boleh dilakukan ketika bayi berusia tiga bulan, manakala pembedahan sumbing lelangit pula dilakukan ketika bayi berusia antara enam hingga setahun. Selepas itu, penilaian pendengaran dan pertuturan akan dilakukan terhadap kanak-kanak seiring dengan peningkatan usia.

Menurutnya, CLAPAM membantu meningkatkan kesedaran protokol pengurusan sumbing bibir dan lelangit kepada ibu bapa kanak-kanak yang mengalami masalah itu bagi memastikan mereka mengetahui kaedah mengurus dan menjaga anak berikutan pembedahan dan rawatan susulan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Rawatan lanjut seperti pemeriksaan pergigian, pemindahan tisu tulang (bone graft) dan pembedahan pembetulan rahang membabitkan tulang mulut dan dagu juga dilakukan tetapi berdasarkan tahap kecacatan dialami.

Sementara itu, eksekutif sumber manusia swasta, Norarliza Abusri, 32, berkata, pembedahan dan rawatan susulan yang ditaja Petronita mampu memberi peluang kepada anaknya Aniq Bazly Aidel, 6, menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

"Sebelum menjalani pembedahan, saya bimbang dengan keadaan Aniq kerana masalah dialaminya menyebabkan dia tidak dapat menyusu dan makan dengan sempurna. Aniq juga kerap menangis kerana sentiasa lapar dan tidak puas makan serta minum.

"Menerusi Petronita, semua perbelanjaan pembedahan ditanggung sepenuhnya. Malah, pihak berkenaan juga akan menanggung rawatan susulan sehingga Aniq tidak lagi menghadapi masalah," katanya yang menyertai CLAPAM pada 2009.

Selepas pembedahan, keadaan Aniq semakin baik malah dia mampu menyusu seperti kanak-kanak lain. Kini Aniq akan menjalani pembedahan susulan untuk memperbetulkan bahagian gusi dan akan diteruskan sehingga dia berusia 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 8:13 AM