WANITA mengandung pada usia lanjut boleh mendapatkan kaunseling daripada doktor untuk mengetahui risiko kelahiran.
WANITA mengandung pada usia lanjut boleh mendapatkan kaunseling daripada doktor untuk mengetahui risiko kelahiran.
Hafiz Ithnin


SETAHUN dianggarkan 5,000 bayi dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital di Malaysia dan kebanyakannya dapat dikesan awal sama ada melalui saringan ketika dilahirkan atau pemeriksaan berkala ketika program imunisasi dan prasekolah.

Ketua Pegawai Klinikal Institut Jantung Negara (IJN), Dr Hasri Samion berkata, meskipun jumlah itu kelihatan besar, tetapi majoriti bayi ini umumnya mengalami masalah jantung yang 'simple' dan jarang menunjukkan tanda atau gejala gangguan pembesaran tubuh badan.

"Sebagai contoh, penyakit jantung berlubang VSD (ventricular septal defect), atrial septal defect (ASD), patent ductus arteriosus (PDA) dan penyempitan saluran darah (pulmonary stenosis atau aortic stenosis) yang kecil atau sedikit merangkumi lebih 60 peratus dalam kalangan mereka.

"Walaupun tanpa gejala, pengesahan doktor amat penting bagi mengklasifikasi jenis kelainan jantung dan tahap kerumitan yang dialami. Ini bagi tujuan kesesuaian masa untuk rujukan dan rawatan seterusnya sekiranya diperlukan. Sebilangan kecil bayi ini ada yang menghidap masalah lebih serius dan perlu rujukan awal," katanya.

Tambahnya, sebahagian penyakit jantung berlubang seperti di atas boleh juga bersaiz besar dan menunjukkan gejala seperti kesukaran bernafas, terganggu ketika menyusu serta gangguan peningkatan berat badan.

"Keadaan seperti ini perlu rujukan awal untuk rawatan. Secara umum, hasil rawatan untuk kes seperti ini adalah amat baik dan boleh dikategorikan sembuh.

"Ada juga masalah penyakit jantung yang sedikit rumit seperti 'bayi biru' atau 'tetralogy of Fallot.' Dalam hal ini, kelainan jantung pada bayi adalah lebih daripada satu," katanya.

Jelasnya, ia merangkumi jantung berlubang (VSD) dan penyempitan saluran darah dari jantung kanan ke paru-paru serta masalah lain yang berkaitan. Kebiruan lebih jelas apabila bayi semakin meningkat usia atau ketika bayi menangis.

KESIHATAN bayi dalam kandungan termasuk jantung boleh dikenal pasti sejak dalam perut ibu.
KESIHATAN bayi dalam kandungan termasuk jantung boleh dikenal pasti sejak dalam perut ibu.

"Oleh kerana terdapat kesukaran aliran darah kurang oksigen atau biru ke paru-paru dan dengan adanya lubang jantung yang besar, maka darah biru ini akan terarah dari jantung kanan ke kiri dan ke badan.

"Akibatnya kebiruan pada bibir, jari dan muka bayi atau kanak-kanak berkenaan jelas kelihatan. Dalam kes seperti ini, pembedahan jantung adalah disarankan pada waktu tentu bersesuaian dengan pesakit serta tahap kejayaan pembedahan yang tinggi dan risiko rendah," katanya.

Tambahnya, walaupun agak jarang, penyakit jantung yang lebih rumit seperti penyakit jantung satu 'pump' (single ventricle) sering juga terpapar di media sosial. Kelainan ini amat rumit untuk dipulihkan.

"Biasanya ia memerlukan pembedahan berperingkat. Peringkat pertama pada usia bayi sama ada secara pembedahan atau teknik tanpa bedah. Ini sebagai persiapan untuk peringkat kedua.

"Untuk kes yang sesuai, pembedahan terakhir untuk kes seperti ini adalah pembedahan jantung satu 'pump' atau

'Fontan surgery' disarankan ketika kanak-kanak berkenaan berusia sekitar tiga hingga lima tahun. Tahap kejayaan pada setiap peringkat pembedahan yang rumit ini adalah melebihi 90 peratus," katanya.

Katanya, meskipun ia tidak menyembuhkan pesakit, tetapi tahap kesihatan mereka dalam golongan ini adalah jauh lebih baik berbanding sekiranya pembedahan tidak dilakukan.

"Selain saringan awal ketika bayi, pengesanan masalah jantung juga boleh dilakukan ketika janin berada dalam kandungan. Saringan seperti ini umumnya disarankan kepada ibu yang mempunyai kandungan berisiko.

PEMERIKSAAN dan saringan ketika mengandung boleh mengetahui tahap kesihatan bayi termasuk penyakit jantung.
PEMERIKSAAN dan saringan ketika mengandung boleh mengetahui tahap kesihatan bayi termasuk penyakit jantung.

"Sebagai contoh, sejarah penyakit jantung kongenital pada ibu itu sendiri dan kandungan terdahulu. Ibu mengandung pada usia lanjut, ibu yang merokok, pengambilan minuman atau ubatan yang boleh mengganggu pembentukan janin ketika dalam kandungan," katanya.

Jelasnya lagi, secara umum dari segi faktor punca berlaku masalah jantung dalam kalangan kanak-kanak atau bayi ini tidak secara tepat yang boleh dikaitkan kerana ada pelbagai faktor menyumbang kepada masalah itu.

Dr Hasri berkata, tiada jaminan bayi dalam kandungan biasa tidak boleh mempunyai masalah jantung. Kemungkinannya adalah kecil. Selain kandungan ibu berisiko di atas, janin pada ibu yang menghidap jangkitan demam rubela terutama ketika pada kandungan tahap awal, berisiko tinggi untuk melahirkan bayi sindrom rubela dan kelainan jantung pada bayi ini adalah sebahagian darinya.

"Gaya hidup si ibu yang tidak sesuai seperti merokok dan pengambilan alkohol juga memberi kesan kepada kesihatan jantung si bayi yang dikandung. Jadi, amat penting kepada ibu mengandung mempunyai gaya hidup yang baik.

"Dari segi perlindungan awal boleh dilakukan terutama bagi wanita yang ingin mengandung pada usia sudah lanjut, amat digalakkan membuat saringan kesihatan dan menjalani kaunseling," katanya.

Perkara ini supaya si ibu mengetahui lebih awal risiko anak yang dikandunginya seperti kelahiran anak sindrom down. Kedua, pemberian vaksin rubela secara rutin kepada semua remaja perempuan di peringkat sekolah.

"Penjagaan makanan atau mempunyai diet seimbang juga amat penting untuk wanita kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan ketika mereka mengandung.

"Jika ibu tidak sihat, ia memberi kesan kepada kandungannya terutama membabitkan jantung bayi itu sendiri," katanya pada majlis menandatangani kerjasama program Myheart Siri ke-5 dan Kempen Kesihatan Prihatin.

Pada majlis itu, Yayasan MyPrihatin (Myprihatin) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan IJN bagi kerjasama mengendali dan menampung kos logistik pesakit jantung kanak-kanak yang berdepan masalah kewangan menerusi Program Myheart Siri ke-5 dan Kempen Kesihatan Prihatin.

Menerusi kerjasama itu, peranan utama Myprihatin bagi mengenal pasti keluarga pesakit jantung kanak-kanak yang tidak mampu menanggung kos perjalanan, tempat tinggal dan perbelanjaan harian apabila golongan itu dijadualkan menjalani rawatan di IJN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 7:00 AM