Kenderaan pelbagai guna.
Kenderaan pelbagai guna.
Oleh Deputi Superintendab Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Melintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) 'Vell Api' berwarna hitam di lampu isyarat tadi memang mengujakan. Entah kenapa, hari ini penulis seakan-akan berangan lebih, apa tidaknya apabila kita memandu kereta buatan Malaysia yang harga 'Menu Rahmah' terberangan alangkah baiknya jika aku memiliki 'Vell Api' itu dan memandunya bersama keluarga.

Mesti sangat luar biasa apatah lagi penulis tidak pernah memandunya. Terbisik dalam hati penulis apakah kerja pemandunya sehingga boleh membeli kenderaan rare dan mewah itu.

Penulisan kali ini bukanlah mengenai kenderaan rare dan mewah 'Vell Api', tetapi lebih kepada ukur baju di badan sendiri.

Seronok juga bermain dengan peribahasa. Membongkar pengetahuan mengenai peribahasa ini tidak salah dan memang biasa apabila peribahasa sinis ini digunakan dalam mengupas sesuatu isu.

Ukur baju di badan sendiri bermaksud bertindak mengikut kemampuan diri. Duduk termenung sambil merenung nostalgia lama, teringat pesanan arwah mak penulis.

"Kalau kita bukan orang berada, buat macam orang tak berada. Jangan asyik nak mengada-ngada, aku kapak kepala aok nanti."

Menceritakan pengalaman lalu, banyak perkara penulis hajati tidak ditunaikan. Semasa umur itu, mungkin penulis hanya memberontak di dalam hati, kenapa aku tidak sama dengan kawan yang ada basikal cantik dan baharu?

Kenapa rumah aku tidak punya televisyen, terpaksa menumpang rumah jiran untuk menonton siri popular Six Million Dollar Man.?

Sekali lagi, ancaman arwah mak itu membuatkan penulis takut. Takut meminta, takut kapak menebas kepala, agaknya mak bergurau sahaja dalam amarannya. Usia menginjak remaja, dari situ penulis mula faham apa yang dikatakan ukur baju di badan sendiri.

Lanjutan pesan arwah mak: "Kalaupun hendak sesuatu, lambat memiliki lebih baik daripada tak dapat langsung."

Penulis turut akui, berbanding rakan sebaya, kebanyakan mereka lebih awal berjaya daripada penulis. Mereka lebih awal memiliki apa yang mereka mahukan.

Ramai lagi yang mungkin senasib atau lebih tidak bernasib baik seperti penulis. Mudah-mudahan kita sedar kemampuan kita dan bersyukur apa yang kita ada.

Jangan pula angannya tinggi, tapi usaha tidak sampai ke mana, bak kata pepatah, 'Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga'.

Dalam dunia sekarang yang kian melambung harga barang dan perkara lain, ramai antara kita yang kononnya mahu berlari seiring dengan masa sehingga terperangkap dengan hutang sangat serius dan membebankan sedangkan budaya berhutang ini perlu ditangani sejak awal lagi.

Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila seseorang graduan yang menamatkan pengajian, mereka sudah menanggung hutang puluhan ribu ringgit.

Budaya berhutang perlu ditangani secara berhemah daripada awal lagi. Kos sara hidup merujuk kepada sejumlah kos yang perlu ditanggung individu atau sesebuah isi rumah untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal serta keperluan lain untuk kelangsungan dan keselesaan hidup.

Taraf kehidupan seseorang dikatakan merosot atau berkurangan sekiranya pendapatan yang diterima berada pada kadar lebih rendah berbanding kos sara hidup. Kenaikan kos sara hidup secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi isi rumah.

Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan boleh belanja isi rumah, pastinya akan mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah. Pendapatan yang diterima sekadar cukup untuk memenuhi keperluan semasa keluarga, terutama keperluan asas seperti makanan dan rumah.

Oleh itu, isi rumah tidak lagi mampu untuk membuat simpanan atau pelaburan seperti sebelum ini, malah mereka terpaksa berjimat cermat. Ada isi rumah tidak lagi mampu membuat simpanan atau pelaburan seperti sebelum ini, malah mereka terpaksa berjimat cermat.

Terdapat empat kaedah untuk diamalkan dalam menguruskan kehidupan dalam perbelanjaan jimat cermat bagi kita yang tidak mampu:

l Rancang pembelian supaya anda tidak perlu kerap ke kedai.l Sediakan senarai semak dan pastikan anda beli apa yang dicatatkan dalam senarai.l Beli barangan mengikut keperluan bukan kehendak.l Simpan resit pembelian supaya dapat diteliti ke mana wang dibelanjakan. Jangan kecewa jika gagal menyimpan rekod bulan pertama.

Ada juga langkah sediakan belanjawan keluarga seperti menganggarkan pendapatan keluarga dengan mengambil kira jumlah wang diterima (tanpa mengira wang dividen, bonus dan kerja lebih masa).

Pastikan bayaran wajib seperti cukai, Perkeso ditolak terlebih dahulu. Pastikan jumlah bayaran tetap seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat melalui potongan gaji serta anggarkan jumlah yang minimum.

Selain itu, kita perlu menentukan kategori perbelanjaan yang boleh dibahagikan kepada dua iaitu perbelanjaan tetap (sewa rumah, ansuran kereta, pinjaman rumah dan pinjaman peribadi) manakala perbelanjaan berubah membabitkan makanan, pakaian, petrol serta utiliti.

Jumlah perbelanjaan ini akan bergantung daripada kategori perbelanjaan keluarga sama ada keluarga itu boleh berusaha untuk berjimat cermat untuk mencapai matlamat simpanan.

Pada masa sama, perlu membuat anggaran perbelanjaan sebulan berpandukan corak perbelanjaan bulan sebelum ini. Pastikan anggaran tidak melebihi jumlah pendapatan yang diterima.

Penulis Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 7:01 AM