RAMAI kanak-kanak Afrika Barat yang sumbing bibir dan lelangit tidak mendapat rawatan.
RAMAI kanak-kanak Afrika Barat yang sumbing bibir dan lelangit tidak mendapat rawatan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Hanya kerana dilahirkan dengan bibir dan lelangit sumbing, Kodjo hampir direndam dalam sungai oleh keluarganya dalam satu upacara pengorbanan keagamaan. Namun, umur Kodjo masih panjang apabila seorang penduduk kampung yang kebetulan lalu di situ menghalang keluarganya daripada meneruskan upacara berkenaan.

Si bayi sumbing yang tidak boleh makan dengan sempurna kerana kecacatan itu dianggap satu sumpahan oleh penduduk Dakar di Ghana. Si kecil kemudian dihantar ke pakar bedah sumbing bibir di Dakar, Dr Solomon Obiri-Yeboah yang memperbaiki keadaan bibir dan lelangit Kodjo.

Di Afrika Barat, bayi yang dilahirkan dengan kecacatan bibir dan lelangit sumbing lazimnya tidak dibawa mendapatkan rawatan kerana kekurangan kemudahan dan pakar bedah terlatih selain kemiskinan ibu bapa yang tidak mampu menanggung kos pembedahan.

Kebanyakannya disisihkan masyarakat atau dalam keadaan yang lebih ekstrem, mereka dibunuh, menurut laporan Smile Train satu badan kebajikan yang membantu individu sumbing.

Berdasarkan kajian yang dipaparkan dalam World Jurnal of Surgery, tanpa disedari, pembedahan membetulkan kecacatan bibir dan lelangit itu yang menelan kos RM968 sebenarnya boleh merangsang ekonomi setempat sehingga RM193,525 bagi setiap kes apabila pesakit dapat menjalani kehidupan normal, produktif dan berupaya menyumbang balik kepada masyarakat.

Kajian ke atas prosedur atau pembedahan membaiki sumbing yang dijalankan oleh Smile Train di 83 negara antara tahun 2001 hingga 2011, mendapati pembedahan berkenaan menyumbang sekurang-kurangnya RM11.6 bilion kepada ekonomi sejagat.

Nilai kesihatan umum daripada pembedahan seumpama itu juga meningkat kerana kaedah intervensi (pencegahan awal) ini amat bermanfaat. Ia kekal dan hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup serta tiada kos rawatan susulan, katanya.

“Pelaburan dalam pembedahan pembetulan sumbing menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang hebat bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana, pada masa sama turut menyerlahkan impak dan keberkesanan kos kepada kaedah intervensi ini di seluruh dunia, “ kata ketua penyelidik, Scott Corlew.

Hasil pembedahan juga amat memberangsangkan kerana masyarakat sudah boleh menerima Kodjo yang kini berusia empat tahun. Dia juga berpeluang pergi ke sekolah di kampungnya di bandar Akwatia di timur Ghana, kata Dr Solomon.

“Melihat ibu mengesat air mata dan tersenyum apabila merenung wajah riang anak mereka membuatkan saya rasa terharu dan puas. Kepuasan ini sukar digambarkan, apatah lagi melihat kanak-kanak ini diterima semula dalam masyarakat,” sambungnya.

Dianggap ahli sihir

Menurut Smile Train, lebih 170,000 kanak-kanak di negara membangun dilahirkan dengan kecacatan sumbing bibir atau lelangit atau kedua-duanya. Kecacatan ini berlaku apabila tisu yang sepatutnya membentuk lelangit dalam mulut dan bibir atas tidak bercantum dengan sempurna ketika perkembangan janin dalam kandungan - menyebabkan ia terbuka atau terpisah.

Di Afrika Barat, ramai bayi yang ada kecacatan ini mengalami masalah tidak cukup zat kerana mereka tidak boleh makan dengan baik. Lebih menyedihkan apabila mereka dianggap ahli sihir atau hantu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Smile Train, Susannah Schaefer dalam satu kenyataan akhbar.

Rupa kecacatan, stigma masyarakat dan kesukaran untuk bercakap menyebabkan ramai individu yang alami kecacatan ini tidak bersekolah atau sukar mencari kerja.

“Ramai terpaksa hidup dalam pengasingan dipulaukan atau dibunuh sebaik dilahirkan. Malah, mereka juga sering dihalang daripada mendapat pendidikan dan menyertai aktiviti masyarakat,” kata Schaefer.

Di Afrika Barat, pembedahan pembetulan sumbing jarang dilakukan ke atas bayi kerana ia memerlukan pakar bedah terlatih yang khusus selain pakar bius di hospital besar. Bahkan, ramai ibu bapa yang tidak mampu untuk membayar kos pengangkutan (perjalanan) ke hospital, apatah lagi pembedahan.

Memahami kesulitan ini, Smile Train dan badan kebajikan lain menawarkan khidmat pembedahan pembetulan sumbing, pakar bedah dan sokongan kewangan untuk kemudahan kesihatan selain peralatan perubatan.

“Memberikan pembedahan pembetulan kepada seorang kanak-kanak bukan saja menyelamat­kan nyawanya, malah membuka peluang untuk dia berbakti dan menjadi anggota masyarakat yang aktif dan produktif.

“Ia akan menghasilkan kesan gelombang yang memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan seluruh negara,” katanya. - Thomsom Reuters Foundation

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:01 AM