SAMSUNG Galaxy A35 5G menawarkan spesifikasi yang baik khusus untuk kelas pertengahan dengan tanda harga lebih ‘rahmah’.
SAMSUNG Galaxy A35 5G menawarkan spesifikasi yang baik khusus untuk kelas pertengahan dengan tanda harga lebih ‘rahmah’.
Muhammad Saufi Hassan


Jika menyentuh berkenaan peranti mampu milik dengan tanda harga yang lebih 'Rahmah,' Samsung tidak pernah ketinggalan untuk memperkenalkan peranti pintar bagi kategori kelas permulaan atau pertengahan.

Malah, setiap tahun, Samsung berjaya menawarkan peranti kelas permulaan atau pertengahan dengan begitu baik khususnya padanan spesifikasi yang setara dengan harganya.

Apabila memperkatakan peranti pintar Rahmah ini, ramai beranggapan bahawa spesifikasinya yang rendah, kamera tidak cantik, pengalaman antaramuka terganggu dan sebagainya.

Bagaimanapun, ia tidak berlaku untuk peranti baharu keluaran Samsung iaitu Galaxy A35 5G walaupun dikategorikan sebagai kelas pertengahan.

Berdasarkan pengalaman penulis, peranti ini masih boleh digunakan untuk segenap aplikasi namun pengguna jangan terlalu mengimpikan sesuatu yang terlalu besar dengan tanda harga yang jauh lebih murah dengan kelas peranti atasan lain.

Bak kata pepatah Inggeris, pengguna perlu membandingkan 'epal dengan sebuah epal' iaitu dengan erti kata lain, perbandingan itu perlu sejajar dan jika dibandingkan dengan peranti kelas tinggi, pastinya Samsung Galaxy A35 5G ini tidak mampu untuk memenuhi kriteria kelas tinggi.

Untuk peranti kategori ini, Samsung Galaxy A35 5G ini boleh dikategorikan sebagai sebuah peranti pintar yang sangat baik, buktinya, penulis mampu untuk melancarkan apa juga aplikasi.

PENGGUNA dapat menikmati keupayaan lensa kamera walaupun rakaman gambar pada waktu malam.
PENGGUNA dapat menikmati keupayaan lensa kamera walaupun rakaman gambar pada waktu malam.

Penulis juga melakukan cubaan terhadap kefungsian pelbagai tetingkap dan hasilnya adalah semua aplikasi tu dapat disimpan dan dibuka dengan sekelip mata tanpa gangguan.

Bagi penilaian untuk permainan pula, penulis cuba untuk melancarkan permainan Genshin Impact, ia masih boleh dimainkan dengan penetapan kesan grafik tahap pertengahan.

Kefungsian permainan itu juga baik namun jika dimainkan dalam tempoh masa yang terlalu lama, penulis menyedari akan berlaku kelengahan untuk kefungsian pelbagai tetingkap.

Tetapi, ia tidak menghilangkan keupayaan peranti ini khususnya prestasi kamera antara yang terbaik untuk lensa kamera peranti kelas pertengahan jika dibandingkan bersebelahan.

Menyentuh aspek spesifikasinya pula, peranti ini didatangkan dengan 6.6 inci skrin Bersama paparan AMOLED, menyokong kadar segar semula antara 60 hingga 120 Hz dan kaca tahan calar daripada Corning Gorilla Glas Victus.

Cip pemproses peranti ini menggunakan Exynos 1380 dengan saiz binaan 5 nanometer dan sistem operasi adalah Android 14 menggunakan pelancar OneUI 6.1.

Kapasiti bateri pula adalah 5,000mAh dengan tetapan lensa kamera 50 megapiksel (MP) untuk lensa Utama, 8MP sudut ultra lebar dan lensa ketiga adalah 5MP Makro.

Secara keseluruhannya, peranti ini boleh dikatakan antara yang terbaik untuk kategori pertengahan dengan penawaran harga yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 6:08 AM