KANAK-kanak yang tidak mengalami masalah ankyloglossia mudah mengunjur lidah keluar.
KANAK-kanak yang tidak mengalami masalah ankyloglossia mudah mengunjur lidah keluar.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BAYI dan kanak-kanak yang menghadapi masalah lidah pendek sering dikaitkan dengan masalah sukar menyusu, menelan cecair atau makan sesetengah makanan.

Masalah lidah pendek (tongue tie) atau ankyloglossia biasanya turut dikaitkan dengan kanak-kanak yang bercakap pelat atau lambat bercakap.

Begitupun, ankyloglossia bukanlah satu kecacatan. Sebaliknya ia berlaku apabila keadaan otot nipis di bawah lidah iaitu frenelum terlalu pendek dan mengehadkan pergerakan lidah serta mengganggu fungsinya.

Perunding Pediatrik IMU Healthcare, Profesor Madya Dr Erwin Khoo berkata, sebilangan besar masalah ankyloglossia adalah bersifat sporadic namun beberapa kes dilaporkan diwarisi.

Kata Dr Khoo, masalah lidah pendek boleh dikesan dengan hanya pemeriksaan fizikal yang mudah.

Katanya, ia juga boleh dikesan dalam salah satu masalah berikut bergantung kepada umur bayi atau kanak-kanak terbabit.

"Antaranya, kesukaran dalam menyusu badan untuk bayi baharu lahir atau berusia kurang daripada setahun.

"Selain itu, kesukaran bertutur dengan jelas untuk kanak-kanak kecil berusia kurang daripada empat tahun.

"Untuk kanak-kanak yang lebih tua atau remaja pula, mereka mengalami kesukaran membabitkan kebersihan mulut (iaitu menjilat bibir atau menyapu serpihan makanan dari gigi) dan kesukaran menjilat kon ais krim, meniup permainan atau mencium," katanya.

ANKYLOGLOSSIA atau lidah pendek bukanlah satu kecacatan.
ANKYLOGLOSSIA atau lidah pendek bukanlah satu kecacatan.

Menurut Dr Khoo lagi, masalah itu boleh dirawat menerusi rundingan dengan pakar laktasi atau pakar terapi pertuturan yang dapat membantu menentukan kaedah rawatan sesuai.

Kata Dr Khoo, tidak semua pesakit ankyloglossia perlu menjalani pembedahan sebaliknya ia hanya akan dilakukan apabila perlu.

Katanya, keputusan mengenai pembedahan biasanya dilakukan doktor dan ibu bapa selepas membincangkan semua kelebihan serta risikonya.

"Pembedahan yang dikenali sebagai Frenotomi itu adalah prosedur pembedahan sederhana yang boleh dilakukan dengan atau tanpa anestesia di hospital atau klinik.

"Doktor akan memeriksa frenulum lingual dan kemudian menggunakan gunting steril untuk memotong frenulum bebas.

KANAK-kanak biasanya tidak mempunyai masalah menjilat kon aiskrim.
KANAK-kanak biasanya tidak mempunyai masalah menjilat kon aiskrim.

"Prosedurnya cepat dan ketidakselesaan adalah minimum kerana hanya terdapat sedikit hujung saraf atau saluran darah di frenulum lingual," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai usia sesuai untuk merawatnya, Dr Khoo berkata, keputusan mengenai pembedahan contohnya harus dibuat berdasarkan kes itu sendiri dengan pembabitan ibu bapa.

Katanya, pembedahan pada kanak-kanak yang berumur kurang dari satu tahun dan orang dewasa kadang-kadang lebih menjadi pilihan kerana ia boleh dilakukan tanpa anestesia umum

"Ada sebilangan doktor pula akan menunggu sehingga kanak-kanak itu berusia sekurang-kurangnya empat tahun kerana kemungkinan frenulum lingual boleh memanjang secara spontan ketika ia digunakan.

"Selain itu, ada doktor yang lebih suka pembedahan dilakukan sebelum perkembangan makan, pertuturan atau masalah lain," katanya.

Tambah Dr Khoo lagi, sebilangan besar bayi dengan masalah itu boleh menyusu tanpa kesukaran.

Bagaimanapun, Dr Khoo berkata, masalah penyusuan seperti penyusuan yang lemah atau sakit pada puting ibu dilaporkan lebih kerap berlaku pada bayi dengan ankyloglossia.

MASALAH lidah pendek boleh dikesan dengan hanya pemeriksaan fizikal yang mudah.
MASALAH lidah pendek boleh dikesan dengan hanya pemeriksaan fizikal yang mudah.

Katanya, untuk kesan jangka panjang, ia mungkin tidak menimbulkan masalah seiring peningkatan usia kanak-kanak itu dan ada yang hilang secara semula jadi.

"Meskipun masalah itu tidak akan melambatkan perkembangan pertuturan kanak-kanak namun ia boleh menyebabkan masalah artikulasi, kesukaran menikmati makanan tertentu dan bunyi pertuturan yang mungkin terjejas pada sebutan t, d, z, s, th, n atau l kerana lidah mereka tidak boleh bergerak dengan sempurna.

"Apapun, jika anda mengesan kesukaran yang dinyatakan pada anak, segera membawanya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Ciri-ciri fizikal lidah pendek ialah:

Hujung lidah (tongue tip) tidak boleh atau sukar diunjur keluar.

Hujung lidah berbentuk rata, jantung atau terbelah.

Lidah tidak dapat atau sukar digerakkan ke kiri dan kanan.

Hujung lidah tidak dapat menyentuh lelangit.

Hujung lidah tidak dapat menjilat bibir atas.

Tidak boleh digulung ke belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:01 AM