Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: "Sepatutnya, pada usia setahun lebih, Nurin sudah boleh menyebut beberapa patah perkataan mudah, namun dia hanya mampu mengeluarkan bunyi 'aaa' sahaja," kata Khairul Shahril Ramli, 39.

Khairul Shahril adalah bapa kepada Nurin Syahzani, berusia setahun tujuh bulan, yang berdepan masalah lelangit berlubang atau sumbing lelangit dan lidah pendek serta tidak boleh diangkat ke atas menyebabkannya sukar bertutur.

Nurin Syahzani adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kategori fizikal kerana dilahirkan dengan masalah kaki bengkok atau 'bilateral congenital talipes equinovarus' (CTEV).

Selain itu, Nurin Syahzani mempunyai beberapa sindrom lain seperti 'pierre robin syndrom' iaitu keadaan di mana dia dilahirkan dengan tulang rahang bawah yang kecil menyebabkan lidah boleh menyekat tekak hingga sukar bernafas dan 'mild laryngomalacia' atau masalah pernafasan ringan.

Khairul Shahril berkata, keadaan anaknya itu menyebabkan dia dan isteri, Norlia Mat Ali, 40, menggunakan isyarat badan seperti meletakkan tangan di mulut jika mahukan susu.

Menurutnya, mereka dimaklumkan Nurin Syahzani perlu menjalani pembedahan untuk membolehkan anaknya itu bertutur.

Katanya, sepatutnya anak tunggalnya itu menjalani pembedahan lelangit pada Jun lalu tetapi ditangguhkan akibat Covid-19.

"Selain lidah, Nurin turut menghadapi masalah kaki yang tidak boleh memijak, berdiri dan berjalan dengan sempurna kerana urat tegang selain kakinya juga pendek sebelah.

"Nurin terpaksa berjalan dengan bantuan penolak beroda bayi dan dia perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan menjalani fisioterapi di klinik serta hospital dua kali sebulan," katanya ditemui di rumah bapanya di Kampung Teluk Muroh di sini, hari ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Khairul Shahril di talian 016-3467785.

Khairul Shahril yang berkerja sebagai nelayan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkata, dia juga melakukan pelbagai kerja lain, namun kesukaran hidup menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menumpang di kediaman bapanya sementara menunggu rumahnya siap.

Katanya, dengan pendapatan yang tidak menentu dia bukan sahaja tidak mampu menyiapkan rumah, malah pernah beberapa kali terputus bekalan keperluan anak kesayangannya itu.

"Kehidupan kami agak sukar tetapi sebagai bapa, saya akan berusaha memberikan yang terbaik untuk Nurin.

"Saya berdoa supaya Nurin boleh bercakap dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain," katanya.

KHAIRUL Shahril (kanan) dan isteri, Norlia bersama anak mereka yang mempunyai masalah lidah pendek, sumbing lelangit dan bilateral CTEV yang menyukarkannya bercakap dan berjalan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
KHAIRUL Shahril (kanan) dan isteri, Norlia bersama anak mereka yang mempunyai masalah lidah pendek, sumbing lelangit dan bilateral CTEV yang menyukarkannya bercakap dan berjalan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:08 PM