Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Detik kelahiran Muhammad Zayyan Amran tiga tahun lalu yang disambut penuh kegembiraan bertukar menjadi duka sebaik anak itu dikesan menghidap pelbagai penyakit.

Sebaik menjengah dunia, Muhammad Zayyan disahkan mengalami 'CHILD Sindrom' yang mana sepasang kakinya bengkok, keadaan mata yang agak berjarak antara satu sama lain, bentuk kepala yang tidak normal.

Lebih menyedihkan, kanak-kanak istimewa itu juga tidak dapat berjalan, melihat dan mendengar termasuk mengalami masalah lidah pendek (tongue tie) atau ankyloglossia.

Ibunya, Zilaini Mat Daud, 39 berkata, sepanjang tempoh kehamilan dia tidak berdepan sebarang masalah sehinggalah Zayyan dilahirkan.

"Walaupun menghidap pelbagai penyakit, Zayyan anak yang baik dan tidak merengek cuma kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana dia kerap diserang sawan.

"Boleh dikatakan sebulan sekali Zayyan diserang sawan yang menjadikan dia kejang dan paling lama keadaan itu berlaku adalah selama satu jam," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Perupok Banggol di sini, semalam.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan zakat.

Muhammad Zayyan yang mengalami 'CHILD Sindrom' dan kebocoran dua injap jantung. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Muhammad Zayyan yang mengalami 'CHILD Sindrom' dan kebocoran dua injap jantung. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Zilaini berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu juga hanya bergantung kepada susu khas, selain tidak dapat menelan makanan termasuk air kosong kerana akan dia akan tersedak dan muntah.

Katanya, Zayyan juga dikesan mengalami kebocoran jantung, namun satu daripada injapnya sudah semakin tertutup menyebabkan doktor sentiasa memantau perkembangan jantungnya dari semasa ke semasa.

Menurutnya, suaminya, Amran Hassan, 46, hanya bekerja sebagai mekanik motosikal dan adakalanya mereka berdepan kekangan kewangan untuk menyediakan keperluan Zayyan walaupun anaknya itu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Tambahan pula kerja yang dilakukan suami tidak menentu kerana hanya membaiki motosikal dari rumah, agak sukar untuk kami meneruskan kehidupan terutama menanggung tiga lagi anak yang berusia 12, 14 dan 18 tahun serta sewa rumah sebanyak RM200 sebulan.

"Adakalanya kami langsung tiada sumber menyebabkan terpaksa 'meminjam' wang JKM Zayyan untuk membayar sewa rumah selain berjimat untuk perbelanjaan harian," katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Zilaini di talian 0195285174.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 1:26 PM