DR SUBODH bersama seorang kanak-kanak yang dirawatnya. FOTO Facebook
DR SUBODH bersama seorang kanak-kanak yang dirawatnya. FOTO Facebook
Agensi

New Delhi: Seorang doktor di India, dianggap wira kerana 'memberi sinar' kepada mereka yang dilahirkan dengan bibir sumbing.

Untuk rekod, pakar bedah plastik itu, Dr Subodh Kumar Singh sudah berjaya menjalankan 37,000 pembedahan untuk sumbing bibir dan lelangit secara percuma kepada kanak-kanak dan dewasa, sejak 2004.

Dr Subodh yang dilahirkan dalam keluarga susah di Varanasi, Uttar Pradesh, pernah melalui kesukaran hidup ketika zaman kanak-kanak.

Ia memberi inspirasi untuk mendedikasikan kerjayanya bagi membantu golongan memerlukan dan bukan mencari keuntungan kewangan semata-mata.

Selepas kehilangan bapanya yang juga seorang kerani kereta api, ketika dia baru berusia 13 tahun, Dr Subodh dan tiga abangnya terpaksa menyara keluarga dengan menjual lilin, sabun dan cermin mata buatan sendiri di jalanan dan kedai setempat.

Abangnya juga terpaksa berhenti dari sekolah untuk menyara keluarga, namun mereka memastikan adiknya itu dapat meneruskan pelajaran dan memenuhi impian bergelar doktor.

Walaupun sibuk membantu adik-beradiknya termasuk bekerja sambilan ketika belajar, Dr Subodh berjaya menamatkan pengajiannya di Institut Sains Perubatan dan menghabiskan pengajiannya dalam pembedahan am dan plastik.

Dalam satu temu bual bersama The Better India, Dr Subodh berkata, kesukaran hidup ketika kecil membuatkannya memahami golongan kurang bernasib baik dan mahu memberikan mereka kehidupan lebih baik.

"Saya menganjurkan kem perubatan percuma selepas menyedari ramai bayi dan kanak-kanak yang dilahirkan dengan bibir dan lelangit sumbing, memerlukan bantuan," katanya seperti dilaporkan Oddity Central.

Dengan sokongan Smile Train dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, Dr Subodh melatih puluhan doktor dari seluruh India untuk membetulkan masalah sumbing.

Dia berharap suatu hari nanti mampu membuka sebuah pusat pembedahan untuk sumbing bibir dan lelangit.

"Ramai mati akibat kekurangan zat makanan dan sering mengalami pertumbuhan terbantut kerana mereka tidak mendapat susu seperti yang diperlukan.

"Kanak-kanak ini juga sukar menggunakan lidah untuk bercakap, menyebabkan masalah pertuturan dan berhenti sekolah kerana dibuli.

"Keadaan ini juga memberikan kesan psikologi kepada ibu bapa, namun semuanya ini boleh diselesaikan dengan hanya (melalui) pembedahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 6:30 AM