GOLONGAN yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu dibantu dan bukan terus dipersalahkan. - FOTO Google
GOLONGAN yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu dibantu dan bukan terus dipersalahkan. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


"GOLONGAN pesakit mental ini bukan sahaja dinafikan hak mereka untuk mendapat pekerjaan, malah tidak diberi peluang mendapat perlindungan insurans, pemilikan kediaman, pendidikan sehingga terdapat stigma mereka ini tidak mampu mendirikan rumah tangga.

"Adanya stigma seperti ini disebabkan beberapa faktor antaranya filem yang menonjolkan watak keganasan golongan pesakit mental. Hakikatnya, tidak semua itu berlaku dan mereka sebenarnya boleh pulih, malah menjalani kehidupan seperti orang lain," jelas Pengasas dan Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar.

Anita menambah, stigma seperti itu menyebabkan pesakit mental tidak berani untuk mendedahkan keadaan mereka yang sebenar kerana bimbang hak mereka untuk menjalani kehidupan seperti orang

lain dinafikan.

Malah katanya, terdapat kes apabila seseorang itu menerangkan mereka mempunyai penyakit mental kepada pemberi tajaan pendidikan bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara, pihak penaja terus menghalang penajaan.

"Perkara ini sebenarnya berlaku dan jika ia terus mendapat stigma bahawa pesakit mental ini tidak mampu untuk hidup seperti orang lain, bagaimana agaknya kita hendak memastikan lebih ramai masyarakat berani ke hadapan untuk membuat pemeriksaan kesihatan mereka?

"Lebih membimbangkan jika individu itu sendiri mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah mental tetapi tidak berani untuk mendapatkan rawatan kerana khuatir hak mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa dinafikan oleh golongan tertentu. Ia pasti memberi kesan yang lebih buruk kepada pesakit itu sendiri," katanya.

PELBAGAI kaedah rawatan boleh membantu menyembuhkan pesakit mental. - FOTO Google
PELBAGAI kaedah rawatan boleh membantu menyembuhkan pesakit mental. - FOTO Google

Anita berkata, persepsi bahawa pesakit mental adalah golongan yang tidak mampu dirawat seharusnya ditangkis kerana ia turut boleh memberi lebih tekanan kepada pesakit dan pastinya tidak mahu kejadian seperti ingin membunuh diri berlaku kerana merasakan diri tidak lagi berguna.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 800,000 orang membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat. Secara global, kejadian bunuh diri adalah antara 20 penyebab utama kematian bagi semua peringkat umur dan satu daripada tiga penyebab utama kematian dalam kalangan mereka berusia 15 hingga 44 tahun.

Mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh Januari hingga Jun 2020 sejumlah 465 kes cubaan bunuh diri dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM. Jumlah itu adalah kurang 210 kes berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu 675 kes.

Anita menambah, sejak Miasa ditubuhkan pada 2016 sehingga kini sudah terdapat hampir 3,000 orang yang hadir mendapatkan rawatan. Daripada jumlah itu 70 peratus adalah wanita dan 30 peratus adalah lelaki.

Jelasnya, kebanyakan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Miasa dikenal pasti mengalami kebimbangan berlebihan atau

anxiety disorder. Turut terdapat mereka yang didapati mengalami bipolar dan skizofrenia.

"Nisbah kehadiran wanita yang tampil untuk mendapatkan rawatan di Miasa lebih tinggi kerana kami mendapati golongan lelaki lebih bersifat menyembunyikan masalah kesihatan mereka berbanding wanita.

"Sebenarnya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana kita mahukan setiap individu mendapat rawatan secepat mungkin apabila mengetahui ada sesuatu yang tidak kena kepada tahap kesihatan mereka," katanya.

Anita berkata, mereka juga menggunakan pelbagai platfrom media untuk membantu lebih ramai golongan yang berada di luar bandar untuk memastikan individu yang mengalami masalah kesihatan mental ini tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan.

"Kita sedar bahawa isu masalah mental ini, golongan urban lebih menyedari mengenainya. Dalam masa yang sama, kita ingin memastikan golongan luar bandar tidak terpinggir dan turut sama mendapat maklumat serta sekiranya didiagnos mempunyai masalah kesihatan mental, mereka juga mudah untuk mendapatkan rawatan.

TAYANGAN filem sering menggambarkan pesakit mental yang negatif membentuk stigma negatif dalam masyarakat. - FOTO Google
TAYANGAN filem sering menggambarkan pesakit mental yang negatif membentuk stigma negatif dalam masyarakat. - FOTO Google

"Kita di Miasa juga tidak mengenakan caj kepada mereka yang berpendapatan rendah atau B40 kerana ingin membantu golongan kurang berkemampuan ini tidak terpinggir untuk menerima rawatan yang sewajarnya," katanya.

Tambahnya, Miasa juga mula mengambil langkah dengan membantu golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan dalam masa sama mendidik majikan supaya tidak ada stigma kepada golongan pesakit itu.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sudah bertanyakan hampir 15 majikan mengenai kesudian mereka untuk menggaji individu yang mempunyai masalah kesihatan mental ini dan rata-ratanya memberikan maklum balas positif.

"Namun, tidak ada lagi kerjasama secara rasmi kerana kita ingin melihat dahulu maklum balas majikan dari segi persepsi dan empati mereka kepada golongan ini," katanya.

Anita berkata, meskipun terdapat majikan yang bertanyakan mengenai 'cabaran' mempunyai pekerja dalam kelompok masalah kesihatan mental seperti bertanyakan kemampuan mereka mengendalikan peralatan tajam dan mengawal emosi, ia sekurang-kurangnya dapat mendidik golongan majikan mengenai isu kesihatan mental yang tidak sama seperti digambarkan bahawa semuanya adalah negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:00 AM