MIASA mengetengahkan pendekatan holistik.
MIASA mengetengahkan pendekatan holistik.
Muhamaaad Razis Ismail


DALAM arena kesihatan mental, nama Anita Abu Bakar cukup disegani kerana kelantangannya memperjuangkan dan membela hak mereka yang berjuang dengan penyakit mental.

Presiden dan Pengasas Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) itu aktif dalam forum dan kempen kesedaran di dalam serta luar negara berkenaan kesihatan mental dalam membendung stigma dan diskriminasi terhadap individu yang bertarung dengan penyakit mental.

Dari bidang korporat, beliau sanggup keluar dari zon selesanya dengan menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MIASA pada 2016, untuk menyediakan platform selamat kepada golongan ini dalam menangani masalah yang dihadapi.

Menerusi pendekatan yang lebih holistik, mereka yang berjuang dengan penyakit mental ini tidak dihukum malah diberi sokongan dan sinar baharu untuk terus hidup dalam masyarakat.

Atas usaha kerasnya dalam arena kesihatan mental, beliau diberi beberapa jawatan penting, sering dijemput menyertai pelbagai forum dan menerima pelbagai penghargaan di dalam dan luar negara.

Terbaru, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij Metrodora yang memberikan pengiktirafan kepada wanita dalam lapangan sains dan perubatan.

TALIAN krisis yang diperkenalkan dapat membantu lebih ramai individu yang berdepan masalah mental.
TALIAN krisis yang diperkenalkan dapat membantu lebih ramai individu yang berdepan masalah mental.

Melihat ibu kepada dua anak yang begitu aktif dalam bidang yang diceburi, ramai tidak menyangka, Anita juga pernah bergelut dengan penyakit mental sembilan tahun lalu.

Serangan kebimbangan melampau yang dihadapi memberi impak mendalam terhadap kehidupannya.

Anita mengakui pada ketika itu kesedarannya berkenaan kesihatan mental sangat rendah selain stigma dan diskriminasi terhadap individu yang mempunyai penyakit mental begitu tinggi.

"Saya seorang extrovert dan apabila didiagnos menghidap masalah mental saya mengalami perasaan malu, takut dan hilang arah tuju. Perkara pertama yang saya fikirkan, apa yang jadi dekat aku ni?

TERAPI seni antara alternatif yang diterapkan di MIASA.
TERAPI seni antara alternatif yang diterapkan di MIASA.

"Dalam tempoh itu, banyak fasa yang terpaksa saya tempuhi termasuk sukar bernafas, kesunyian, kemurungan dan sebagainya. Malah saya turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan yang sesuai," katanya.

Jelasnya, ketika sedang menjalani proses penyembuhan, suami mencadangkannya berkongsi masalah secara terbuka supaya dapat memberi inspirasi kepada masyarakat.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan berikutan kesedaran masyarakat masih kurang. Namun saya bulatkan tekad berkongsi di Instagram.

"Tanpa disangka, ramai yang turut memberi maklum balas dengan berkongsi pengalaman berdepan masalah mental secara sendirian," katanya.

AKTIF dalam program dan kempen kesedaran kesihatan mental.
AKTIF dalam program dan kempen kesedaran kesihatan mental.

Bertitik tolak daripada itu, beliau mula aktif mengadakan forum kesihatan mental sehingga tertubuhnya MIASA yang kini beroperasi di Petaling Jaya, Selangor.

Anita berkata, pendekatan yang diambil MIASA agak berbeza dengan kaedah sedia ada kerana ia digerakkan pejuang kesihatan mental sendiri.

"Melalui pengalaman, kami lebih empati, mendengar masalah dan memberi saranan yang sewajarnya bukan menghukum.

"Pendekatan kami juga lebih holistik dengan mengetengahkan konsep spiritual, perubatan, sokongan keluarga dan rakan-rakan membabitkan pelbagai alternatif seperti terapi muzik, drama dan seni untuk dipilih individu.

KELUARGA memberi sokongan penuh kepada Anita untuk terus bergiat dalam kesihatan mental.
KELUARGA memberi sokongan penuh kepada Anita untuk terus bergiat dalam kesihatan mental.

"Mereka sentiasa disokong menerusi kumpulan sokongan untuk membantu proses penyembuhan dan pelbagai lagi alternatif selain perawatan biasa iaitu melalui pemberian ubat.

"Kami juga mempunyai talian krisis di mana individu-individu ini boleh berhubung terus untuk mendapatkan bantuan.

Pada masa sama, kami aktif turun padang mengadakan pelbagai program dan kempen kesedaran di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, kini MIASA mempunyai 1,300 sukarelawan yang antaranya adalah pejuang sendiri yang sudah dan sedang menjalani proses penyembuhan.

DIJEMPUT menyertai program di luar negara.
DIJEMPUT menyertai program di luar negara.

"Mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu menjadikan MIASA sebagai tempat untuk menyumbang sesuatu bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

"Kita mahu nominalisasikan perkara ini supaya lebih ramai tampil ke hadapan untuk bersama-sama menggerakkan usaha ini," katanya.

Katanya, impak pandemik Covid-19 yang melanda dunia, sebenarnya membuka mata banyak pihak terhadap kesihatan mental.

"Kini ramai yang terkesan dengan pandemik mulai faham isu kesihatan mental ini adalah benar sehingga mewujudkan perasaan empati. Malah data menunjukkan stigma dan diskriminasi (terhadap individu yang bertarung dengan penyakit mental) turut menunjukkan penurunan.

ANUGERAH berprestij Metrodora diperoleh Anita baru-baru ini.
ANUGERAH berprestij Metrodora diperoleh Anita baru-baru ini.

"Selain itu, ramai yang mula mendapatkan bantuan dan rawatan bagi menangani masalah yang dihadapi," katanya.

Dalam kesibukannya menggerakkan MIASA, sebagai ibu dan isteri, dia perlu bijak dan disiplin dalam pembahagian masa antara kerjaya, kerja sukarelawan serta keluarga.

"Keutamaan saya adalah keluarga. Saya bersyukur mereka sentiasa menyokong apa jua yang saya lakukan sehingga kerja menjadi lebih mudah," katanya.

Baginya dalam memperjuangkan kesihatan mental, kepuasan yang diperoleh apabila dapat membantu individu lain keluar daripada belenggu masalah yang dihadapi.

"Apabila pernah melalui fasa itu sebelum ini, saya lebih memahami dan bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

"Diberi peluang membantu orang lain pada setiap hari, saya turut rasa dibantu. Perkongsian cerita mereka memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi lebih baik sekali gus menambah makna dalam kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:20 AM