AKTIVITI terapi seni di MIASA.
AKTIVITI terapi seni di MIASA.
Muhamaad Razis Ismail


KESEDARAN terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini masih kurang.

Masih ramai yang mempunyai stigma terhadap kesihatan mental sehingga mendiskriminasikan individu yang berdepan masalah ini.

Malah ada yang melabel pesakit mental sebagai ganas, tidak siuman, gila, tidak boleh berdikari, kurang iman dan sebagainya yang mengakibatkan mereka terus tertekan dan menjauhkan diri daripada masyarakat.

Oleh itu, pengetahuan yang betul berkenaan kesihatan mental perlu dipertingkatkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Pelbagai usaha dijalankan sejak sekian lama oleh ramai individu yang begitu komited dengan tugas mereka sebagai pejuang kesihatan mental di negara ini.

Mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga menjadi 'suara' kepada pesakit mental di negara ini.

Apa tidaknya ada yang sanggup mengorbankan kerjaya dalam bidang korporat yang menawarkan gaji tinggi untuk fokus terhadap kesihatan mental.

Seorang daripada mereka adalah Pengarah Urusan dan Psikologis Klinikal, SOLS Health, Ellisha Othman yang aktif memberi kesedaran kepentingan menjaga kesihatan mental.

Ellisha berkata, pada mulanya dia juga mempunyai stigma terhadap perkhidmatan kesihatan mental kerana tidak memahaminya.

Katanya, semuanya berubah apabila dia sendiri mendapatkan perkhidmatan itu ketika menuntut di Australia.

PROGRAM Keluarga Akrab Mencapai Impian (KAMI) di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
PROGRAM Keluarga Akrab Mencapai Impian (KAMI) di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Selepas mendapatkan perkhidmatan kaunseling, saya dapati ia membantu dan mengubah persepsi saya terhadap kesihatan mental.

"Saya mula nampak pentingnya menjaga kesihatan mental dan mendapat sokongan sosial serta persekitaran untuk sentiasa kekal positif," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebaliknya berlaku apabila pulang ke Malaysia, stigma di negara ini sangat tinggi terhadap kesihatan mental.

"Jadi, selepas bekerja lima tahun di sektor korporat, saya bertukar kerjaya.

"Selama tiga tahun saya belajar bidang psikologi klinikal sebelum masuk ke bidang kerja sosial pada 2015, SOLS Health ditubuhkan 2015 dengan pengkhususan perkhidmatan kesihatan mental komuniti," katanya.

BERSAMA keluarga yang sentiasa memberi dorongan.
BERSAMA keluarga yang sentiasa memberi dorongan.

Pada mulanya, ramai kenalan dan keluarga risau dengan keputusan yang diambil Ellisha untuk beralih kepada bidang kesihatan mental.

"Mereka bimbang dengan keselamatan saya disebabkan pilihan kerjaya yang dianggap mungkin tidak sesuai untuk perempuan.

"Pada masa sama, mereka tidak yakin kerjaya ini mempunyai masa depan cerah kerana stigma masyarakat terhadap penyakit kesihatan mental.

"Saya bersyukur selepas enam tahun, saya masih kekal dan gembira dengan kerjaya ini," katanya.

Sementara itu, bagi Pengasas dan Presiden kepada Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar pula, dia terbabit secara serius dalam bidang kesihatan mental kerana pernah mengalami masalah sama.

Katanya, dia seorang yang bercita-cita tinggi dan sentiasa ingin kesempurnaan dalam semua aspek kehidupan.

"Dari sudut lain ia nampak baik, namun pada masa sama saya diserang penyakit kebimbangan melampau selepas sekian lama menyimpan perasaan bimbang dan ketika itu saya tidak mempunyai kesedaran mengenai penyakit mental.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba merasmikan The Orchid Clubhouse MIASA tahun lalu.
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba merasmikan The Orchid Clubhouse MIASA tahun lalu.

"Cabarannya ialah apabila saya perlu melawan perasaan dan simptom selain melawan perasaan bersalah kerana tiada kekuatan daripada segi fizikal serta mental untuk menjaga kebajikan suami selain anak-anak," katanya.

Menyedari perkara itu, dia menubuhkan MIASA pada 2016 berikutan masih kurang kesedaran dan sokongan dalam kalangan masyarakat terhadap pesakit mental.

"Berpengalaman sebagai pesakit mental menyebabkan saya berasa bertanggungjawab untuk menyampaikan kesedaran kepada masyarakat.

"Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dengan segera terutama stigma masyarakat terhadap isu ini berikutan kurangnya pengetahuan dan pendedahan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 7:02 AM