PESAKIT mental sering dihukum.  FOTO: Sumber Google
PESAKIT mental sering dihukum. FOTO: Sumber Google
Muhamaad Razis Ismail

KEHILANGAN orang tersayang, hilang punca pendapatan, berlaku trauma dalam hidup, penderaan seksual dan menghidap penyakit kronik antara punca cenderung menghidap penyakit mental dengan kombinasi faktor lain.

Faktor pencetus ini menyebabkan ramai dalam kalangan wanita dikesan menghidap penyakit mental.

Wanita lebih cenderung mendapat penyakit kebimbangan yang melampau dan kemurungan contohnya 'postpartum depression.'

Presiden dan Pengasas Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, masalah penyakit mental ini tercetus kerana pelbagai faktor termasuk genetik.

"Sebagai contoh sekiranya ibu pernah menghidap penyakit mental, anak akan ada kecenderungan menghidap penyakit sama.

"Bagaimanapun, ia akan berlaku sekiranya terdapat faktor pencetus yang menyebabkan pesakit tertekan dan kemurungan," katanya.

Beliau berkata, terdapat faktor lain iaitu pengekalan yang berkait rapat dengan rawatan.

"Contohnya, individu yang tidak mengetahui sedang menghidap penyakit mental sehingga lambat mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan proses penyembuhan kurang baik berbanding mereka yang cepat mendapat bantuan," katanya.

DAPATKAN rawatan untuk elakkan menjadi lebih serius.  FOTO: Sumber Google
DAPATKAN rawatan untuk elakkan menjadi lebih serius. FOTO: Sumber Google

Katanya, sebenarnya untuk menghidap penyakit mental tidak mudah kerana memerlukan faktor mencukupi.

"Bagaimanapun, perlu diingat penyakit ini tidak mendikriminasi sesiapa pun kerana semua berisiko untuk terkena.

"Masalah yang kecil ini boleh menjadi besar sekiranya tidak dibantu, dirawat dan disokong, sekali gus mengakibatkan penyakit mental lebih serius," katanya.

Tambahnya, lelaki lebih suka memendamkan perasaan tanpa mendapatkan bantuan berbanding wanita.

"Mereka berbuat demikian kerana budaya masyarakat kita sendiri yang melihat lelaki sepatutnya perlu kuat dan tak boleh menangis.

"Jadi mereka akan simpan (tekanan) dan lama-kelamaan penyakit ini menjadi lebih teruk. Ada dalam kalangan mereka yang menggunakan kaedah 'coping' yang kurang sihat seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang.

SENTIASA berinteraksi dengan individu yang memiliki gejala penyakit mental.  FOTO: Sumber Google
SENTIASA berinteraksi dengan individu yang memiliki gejala penyakit mental. FOTO: Sumber Google

"Apabila mereka tidak nampak jalan keluar dan tidak ada sokongan, kadangkala ada yang mengakhiri kehidupan dan ini yang kita nak hindarkan kerana penyakit mental boleh dirawat dan mereka boleh kembali hidup normal serta berjaya seperti orang lain," katanya.

Menurutnya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati depresi meningkat 2.3 peratus.

"Masalah timbul apabila kita gunakan perkataan depresi itu secara longgar seolah-olah nampak biasa sahaja sehingga masyarakat mengambil mudah.

"Apabila keadaan ini berlaku mereka beranggapan deprasi tidak memerlukan rawatan mengakibatkan penyakit mental menjadi lebih serius," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental, Anita mengakui ia masih berkurangan.

"Biarpun pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan, ia masih berada di takuk lama.

"Sehingga kini masih ramai yang salah tanggap terhadap pesakit mental termasuk melabel mereka sebagai ganas, tidak siuman, gila, tidak boleh berdikari, kurang iman dan sebagainya.

TERAPI seni boleh membantu kurangkan tekanan dan kemurungan.  FOTO: Sumber Google
TERAPI seni boleh membantu kurangkan tekanan dan kemurungan. FOTO: Sumber Google

"Masih ada stigma dan sikap suka menghukum mengakibatkan pesakit mental menjauhkan diri dari masyarakat. Sepatutnya masyarakat mendekati individu yang memiliki gejala penyakit mental dan berinteraksi dengan mereka.

"Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila mereka yang dihina, sekali gus menjadi lebih tertekan," katanya.

Melihat keadaan itu, Anita mengambil inisiatif menubuhkan MIASA untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental.

"Kami mahu memperbetulkan stigma masyarakat terhadap penyakit ini. Selain itu, kami menyediakan zon selamat kepada pesakit mental dan penjaganya dengan memberi sokongan kepada mereka.

PESAKIT menderita gangguan pemikiran perlu didekati dan diberi sokongan bukan didiskriminasi.  FOTO: Sumber Google
PESAKIT menderita gangguan pemikiran perlu didekati dan diberi sokongan bukan didiskriminasi. FOTO: Sumber Google

"Mereka bebas ke sini kerana kita ada kumpulan sokongan yang terdiri daripada sukarelawan dan 'peer' yang mempunyai pengalaman menghidap penyakit ini untuk bantu beri kekuatan semangat kepada yang lain. Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk terapi seni dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, ilmu kesihatan mental perlu diterapkan sejak kecil supaya kesedaran terhadap penyakit dapat dipupuk daripada awal.

"Di sekolah perlu ditambah ko-kurikulum mengenai kesihatan mental sebagaimana kita mendidik bagaimana menjaga kesihatan fizikal.

"Pada masa sama, ujian saringan mental perlu dibuat lebih awal untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius. Langkah pencegahan ini juga dapat mengurangkan kos lebih besar untuk rawatan pada masa hadapan," katanya.

ANITA.  FOTO: Luqman Hakim Zubir
ANITA. FOTO: Luqman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 7:00 AM