STIGMA dan diskriminasi menyebabkan pesakit mental tidak mendapatkan rawatan. - FOTO Google
STIGMA dan diskriminasi menyebabkan pesakit mental tidak mendapatkan rawatan. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


ASPEK kesihatan tidak hanya tertumpu kepada fizikal semata-mata, malah turut membabitkan mental kerana ia menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi individu.

Bagaimanapun, kesihatan mental sering diabaikan kerana stigma dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat masih menebal.

Malah, sehingga kini masih ada yang beranggapan bahawa penyakit mental tidak boleh dirawat.

Keadaan menjadi lebih serius apabila ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan kestabilan mental mereka.

Ramai yang terlepas pandang, perkara lebih utama dalam menangani masalah dan penyakit mental adalah sokongan daripada orang di sekeliling.

Sepatutnya, setiap individu perlu menyedari bahawa kesihatan mental adalah satu masalah serius dan perlu ditangani seperti merawat kesihatan fizikal.

Pakar psikiatri, Dr Hazli Zakaria berkata, stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental termasuk dalam kalangan ahli keluarga masih berlaku sehingga kini.

"Hal ini menyebabkan rawatan awal dan rawatan optimum sukar dilaksanakan kerana kekurangan sokongan orang di sekeliling pesakit, sekali gus menyebabkan penyakit menjadi lebih serius.

"Malah, ada juga pihak beranggapan bahawa penyakit mental tidak dapat diubati langsung. Hal ini mungkin benar, tetapi bilangannya kecil kerana sekiranya tidak boleh diubati pun, ia masih boleh dirawat, diurus dan dikawal.

"Namun, kita tidak boleh membuat kesimpulan begitu sahaja kerana tidak mengetahui sejauh mana usaha diambil kerana rawatannya memerlukan kombinasi dari biologi, psikologi, sosial dan spiritual," katanya.

SOKONGAN amat penting bagi dalam proses pemulihan pesakit mental. - FOTO Google
SOKONGAN amat penting bagi dalam proses pemulihan pesakit mental. - FOTO Google

Jelasnya, sokongan amat penting untuk membantu rakan atau ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan mental.

"Stigma terhadap kesihatan mental adalah penghalang untuk seseorang mendapatkan rawatan pada peringkat awal dan rawatan yang optimum sehingga tempoh sepatutnya bukan hanya apabila gejala berkurangan.

"Menyokong rakan atau keluarga yang mengalami masalah mental adalah langkah pertama yang penting kerana itu adalah salah satu cara pemulihan seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental.

"Selain, pesakit yang mengalami 'self stigma' atau 'internalised stigma' di mana individu yang mengalami penyakit mental itu sendiri mempunyai tanggapan negatif, memperoleh maklumat salah dan mengelak mendapatkan bantuan turut perlu dibantu," katanya.

Tambahnya, sokongan berlaku menerusi kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam memahami mengenai kesihatan mental.

"Ada pelbagai faktor yang mempengaruhi kesihatan mental individu dan cara untuk menanganinya adalah berbeza bergantung kepada tahap ketahanan diri.

"Walaupun kita mempunyai ilmu mengenai kesihatan mental, penting untuk kita terus belajar kerana bidang rawatan dan pemulihan (kesihatan mental) sentiasa berkembang.

"Sekiranya kita ingin menyebarkan kesedaran terhadap pesakit yang mengalami isu kesihatan mental, kita perlu mengikuti perkembangan terkini selaras ilmu yang disokong bukti kajian atau dari sumber yang diiktiraf," katanya.

Beliau yang juga pengasas Alaminda Healthcare Berhad berharap rakyat Malaysia tidak malu atau segan mendapatkan bantuan profesional apabila berdepan masalah kesihatan mental.

"Bagi mereka yang sudah mendapatkan pemeriksaan dan diagnosis, anda perlu istiqamah untuk terus praktikkan cara hidup sihat dan teruskan mendapatkan rawatan optimum supaya tempoh pemulihan dapat dipercepatkan. Dapatkan pemeriksaan, dapatkan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 6:46 AM