MEMERLUKAN pendekatan holistik.
MEMERLUKAN pendekatan holistik.
Muhamaad Razis Ismail


SEHINGGA kini masih ramai dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kefahaman bahawa penyakit mental tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar berkata, situasi itu adalah salah faham terbesar masyarakat terhadap penyakit mental.

Katanya, keadaan ini mengakibatkan stigma terhadap pesakit mental di negara ini.

"Masalah mental boleh sembuh asalkan kita berikhtiar dan berusaha.

"Janji Allah itu pasti, semua penyakit ada ubat, kecuali mati.

"Perlu diingatkan bahawa rawatan untuk penyakit gangguan mental memerlukan pendekatan yang menyeluruh termasuk membabitkan psikologi, sosial dan kerohanian," katanya dalam Majlis Pelancaran talian bantuan krisis, MIASA_YSD-1-800 kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) yang disokong Maxis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Negara merangkap Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH), Senator Datuk Ras Adiba Radzi secara maya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin dan Penasihat Miasa, Dr Abdul Kadir Abu Bakar, seorang pakar psikiatri.

Menurutnya, Miasa sentiasa berusaha mencari pelbagai alternatif untuk membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan mental.

AKTIVITI terapi seni yang dilaksanakan Miasa.
AKTIVITI terapi seni yang dilaksanakan Miasa.

"Antaranya kami akan perkenalkan terapi muzik dan melancarkan kumpulan sokongan untuk membantu mereka yang mengalami masalah ketagihan dadah dan pesakit HIV yang berdepan stigma masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai talian bantuan krisis MIASA_YSD-1-800, Anita berkata, inisiatif itu dilaksanakan dalam usaha membantu lebih ramai yang berdepan masalah kesihatan mental.

"Pasukan krisis membabitkan 100 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan majoriti adalah dalam kalangan pejuang kesihatan mental sendiri dan penjaga, bersedia menjawab panggilan yang beroperasi selama 24 jam setiap hari.

"Selain itu, pasukan krisis ini bersedia untuk bertemu secara bersemuka dengan individu yang ingin mendapatkan bantuan.

ANITA ketika majlis pelancaran talian bantuan krisis secara maya.
ANITA ketika majlis pelancaran talian bantuan krisis secara maya.

"Menariknya, YSD turut menyediakan elaun khas kepada sukarelawan yang terbabit.

"Mereka yang ingin mendapatkan pertolongan boleh menghubungi talian bantuan krisis Miasa bermula Isnin depan untuk bantuan," katanya.

Sementara itu, Yatela berkata, pihak YSD terpanggil untuk membantu Miasa kerana menyedari kepentingan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Dalam tempoh sukar ini, ramai yang menghubungi Miasa untuk mendapatkan bantuan bagi menangani pelbagai masalah.

"Kami yakin sumbangan ini membantu mengurangkan beban Miasa, sekali gus mereka dapat memberi tumpuan untuk membantu lebih ramai individu yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 6:35 AM