NAMPAK comel tetapi pemakaian pelitup muka boleh membahayakan bayi.
NAMPAK comel tetapi pemakaian pelitup muka boleh membahayakan bayi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


NAMPAK comel namun tahukah anda sebenarnya pelitup muka boleh menjejaskan nyawa bayi?

Menurut info Public Health Malaysia, pemakaian pelitup muka kepada kanak-kanak bawah dua tahun adalah tidak digalakkan sama sekali.

Ia boleh membahayakan nyawa dan menjejaskan kesihatan bayi, justeru perlu dielakkan dari menggunakannya.

Ini kerana laluan pernafasan bayi tidak sebesar orang dewasa, jadi pemakaian sebarang jenis pelitup muka boleh menyesakkan nafas mereka.

Jika pelitup dipakai longgar sekali pun, ia tidak akan dapat memberi perlindungan berkesan kepada mereka.

ELAKKAN daripada membawa kanak-kanak keluar jika tiada keperluan.
ELAKKAN daripada membawa kanak-kanak keluar jika tiada keperluan.

Sebaliknya, jika dipakai terlalu ketat, ia boleh melemaskan mereka.

Pemakaian pelitup muka juga akan menyebabkan bayi gelisah dan mereka akan teraba-raba untuk membukanya.

Mungkin mereka akan menyentuh mata, hidung dan mulut mereka sendiri.

Ia sekali gus boleh menggalakkan lagi jangkitan dan penyebaran virus di sekitar wajah.

Lebih penting, tiada pelitup muka jenis N95 yang diluluskan selamat untuk kegunaan bayi sehingga hari ini.

Untuk melindungi anak, ibu bapa seharusnya:

1) Elakkan daripada membawa kanak-kanak ke tempat awam jika tiada keperluan.

2) Jika masih perlu membawa bayi keluar, tutup 'carrier' dengan selimut nipis dan bukannya menyelimuti bayi dengan selimut.

3) Pastikan urusan di luar (jika membawa anak) dilakukan dengan cepat dan amalkan jarak satu meter dengan orang lain.

4) Mandikan dan tukar pakaian bayi sejurus tiba di rumah.

5) Jika memiliki anak berusia lebih dua tahun, ajar mereka supaya tidak menyentuh muka sendiri dan sentiasa mencuci tangan dengan sabun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:30 AM