PASTIKAN anak-anak sentiasa berada di dalam kawalan ketika bercuti (gambar hiasan).
PASTIKAN anak-anak sentiasa berada di dalam kawalan ketika bercuti (gambar hiasan).
Hafiz Ithnin


SEBAIK sahaja kerajaan mengumumkan mengenai peralihan fasa yang memberi peluang orang ramai untuk keluar bercuti, ramai menarik nafas lega.

Tidak dinafikan bercuti atau melancong salah satu 'platform' yang boleh membantu merasakan kita lebih sihat dari segi mental khasnya.

Namun, perlu diingatkan meskipun ramai sudah menerima vaksinasi virus Covid-19, keadaan sebenarnya belum pulih sepenuhnya dan langkah berhati-hati perlu diambil.

Justeru, Wanita Metro (WM) kongsikan beberapa tip yang mungkin anda boleh praktikkan jika membawa ahli keluarga terutama bersama si kecil untuk beriadah atau melancong.

MEMILIH tempat yang tidak sesak untuk bercuti bersama anak-anak (gambar hiasan).
MEMILIH tempat yang tidak sesak untuk bercuti bersama anak-anak (gambar hiasan).

Pastikan tidak berada di tempat yang sesak

Sebagai golongan dewasa, menjadi tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak terdedah daripada jangkitan virus itu.

Jika perlu membawa kanak-kanak untuk beriadah bersama pastikan lokasi anda kunjungi tidak mempunyai jumlah pengunjung yang ramai.

Ini kerana kanak-kanak berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan itu kerana mungkin mereka belum faham mengenai risiko berada di tempat yang sesak dan langkah yang perlu dilakukan.

Sebaik-baiknya, jika ingin bercuti bersama si kecil, pilihlah hari yang bukan menjadi tumpuan orang ramai untuk bercuti seperti hari bekerja atau di pertengahan bulan.

PAKAIKAN anak-anak pelitup muka dan hidung yang sesuai dengan mereka.
PAKAIKAN anak-anak pelitup muka dan hidung yang sesuai dengan mereka.

Pakaikan pelitup hidung dan hidung yang sesuai

Ketika ini di pasaran terdapat banyak pelitup muka untuk kanak-kanak. Malah, pelitup muka untuk kanak-kanak juga lebih memberi keselesaan kepada mereka kerana saiz yang lebih sesuai berbanding menggunakan saiz orang dewasa.

Untuk memberi lebih perlindungan, anda boleh membeli perisai muka yang kini turut ditawarkan untuk saiz kanak-kanak.

Amalkan kebersihan kendiri

Memandangkan terdapat kanak-kanak yang masih belum faham mengenai akibat penangan Covid-19, anda perlu melatih mereka untuk mengamalkan kebersihan kendiri seperti tidak memegang muka sesuka hati dan kerap membasuh tangan.

Pastikan si kecil tidak memegang atau bermain barangan yang tercemar dan digunakan oleh ramai orang. Jika mereka menggunakannya pastikan tangan segera dibasuh atau menggunakan cecair sanitasi.

Ingatkan kepada anak-anak bahawa cecair sanitasi kini menjadi 'senjata' ketika berada di luar rumah dan pastikan tangan sentiasa bersih.

Jika sudah pulang ke rumah, pastikan pakaian anda sekeluarga terus dibasuh demi memastikan langkah kebersihan diri dijaga.

AMALKAN membersihkan diri selepas membawa anak-anak keluar beriadah.
AMALKAN membersihkan diri selepas membawa anak-anak keluar beriadah.

Pilih tempat penginapan yang amat mementingkan keselamatan

Meskipun pemain industri penginapan sudah diarahkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) namun terdapat hotel yang mempunyai SOP dalaman sendiri yang amat ketat untuk menjaga keselamatan tetamu dan pekerjanya.

Baca ulasan di media sosial mengenai langkah yang dilakukan pihak hotel sebelum anda menempahnya supaya berasa lebih selamat soal kebersihan yang dipraktikkan pihak hotel.

Lebih baik juga jika anda menginap di hotel atau resort yang tidak banyak kawasan umum dan di dalam bilik terdapat kemudahan peribadi supaya anda tidak perlu bergaul dengan tetamu yang lain.

INISIATIF melakukan ujian swab sekeluarga boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan semasa bercuti.
INISIATIF melakukan ujian swab sekeluarga boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan semasa bercuti.

Lakukan ujian calitan

Memandangkan anda hendak bercuti bersama keluarga, digalakkan untuk anda melakukan ujian calitan kendiri yang kini kit pengesanannya dijual pada harga mampu milik.

Jika semua melakukan inisiatif ini, mungkin kita semua dapat bercuti dengan selamat kerana setiap keluarga sudah mengetahui status kesihatan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:30 AM