GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Washington: Kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 84 peratus minggu lalu dengan sejumlah 72,000 kanak-kanak disahkan positif virus itu.

Satu kajian baharu dari American Academy of Pediatrics (AAP) melaporkan jangkitan baharu dicatatkan dalam tujuh hari pada 29 Julai, meningkat dari 39,0000 kes berbanding minggu sebelumnya.

New York Post melaporkan AAP mengatakan pihaknya bekerjasama dengan Hospital Kanak-Kanak Amerika untuk membantu mengumpulkan dan berkongsi data mengenai kes pediatrik akibat Covid-19.

Sejak wabak itu tercetus, 4.2 juta kanak-kanak disahkan positif virus itu.

"Ia memberitahu kita adalah orang yang tidak divaksinasi dijangkiti dalam bilangan yang lebih tinggi kerana virus ini lebih banyak menular dengan varian Delta," kata Ketua Bahagian Jangkitan Penyakit di Jabatan Pediatrik di Stanford Medicine dan Ketua Jawatankuasa AAP, Dr Yvonne Maldonado kepada CNN.

"Fahaman kita adalah jika kanak-kanak tidak boleh diberi vaksin, ibu bapa harus diberi vaksin dan jika mereka mempunyai anak mereka berusia 12 tahun dan ke atas, anak itu juga harus divaksin," kata Maldonado.

Statistik itu juga berkaitan dengan berjuta-juta kanak-kanak akan kembali ke sekolah seluruh negara pada bulan depan.

Di Florida, Gabenor Ron DeSantis membuat keputusan bahawa lembaga sekolah tidak boleh mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah meskipun terdapat lonjakan kes Covid-19.

Sementara itu, Gabenor Arkansas Asa Hutchinson, pada Rabu pula, mengatakan beliau menyesal melarang pemakaian pelitup muka di negeri itu, ketika kes Covid-19 meningkat di sana.

Beliau kini ingin meminda undang-undang untuk memberi pilihan kepada sekolah berhubung pemakaian pelitup muka.

Kajian menunjukkan penyakit teruk akibat Covid-19 jarang terjadi pada kanak-kanak.

AAP mengatakan ada 'keperluan mendesak' untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesan jangka panjang wabak itu terhadap kesihatan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak.

Di antara 23 negeri dan New York City yang dikaji AAP, kemasukan ke hospital kanak-kanak merangkumi 1.3 hingga 3.5 peratus daripada semua hospital Covid-19, untuk minggu yang berakhir pada 29 Julai.

Menurut kajian itu, kanak-kanak meliputi antara 0 hingga 0.26 peratus daripada semua kematian Covid-19, Tujuh daripada 43 negeri, New York City, Puerto Rico dan Guam, melaporkan sifar kematian kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 6:45 AM