RSV boleh jadi serius terutama kepada kanak-kanak berusia setahun ke bawah
RSV boleh jadi serius terutama kepada kanak-kanak berusia setahun ke bawah
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SELAIN influenza, Respiratory Syncytial Virus (RSV) adalah jangkitan virus yang mudah merebak terutama dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Virus itu sering menyerang saluran pernafasan yang biasanya menyebabkan gejala ringan dan kebanyakan pesakit boleh sembuh dalam masa lima hingga 10 hari sahaja.

Bagaimanapun, RSV boleh menjadi serius terutama kepada kanak-kanak berusia setahun ke bawah dan warga emas.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pantai Hospital Penang, Dr Hasanah Ishak berkata, gejala biasanya bermula dalam masa tiga hingga enam hari selepas dijangkiti virus itu dan antara simptomnya termasuk demam, selesema, batuk dan kurang selera makan.

Namun kata Dr Hasanah, ibu bapa perlu membawa anak terutama bayi berusia enam bulan ke bawah berjumpa doktor dengan segera jika si kecil kelihatan tidak bermaya, sukar bernafas, pernafasan laju, dada berombak dan menangis yang berterusan.

Katanya, RSV berbahaya kerana ia boleh menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan bawah serius seperti bronkitis dan pneumonia terutama pada bayi kurang dari setahun.

PERLU segera membawa anak terutama bayi berusia enam bulan ke bawah berjumpa doktor jika si kecil tidak bermaya.
PERLU segera membawa anak terutama bayi berusia enam bulan ke bawah berjumpa doktor jika si kecil tidak bermaya.

"Biasanya penyakit yang ringan tidak memerlukan kemasukan hospital, tetapi dalam kes teruk (terutama golongan berisiko) perlu berbuat demikian terutama jika mereka mengalami dehidrasi atau kesukaran bernafas.

"Mereka memerlukan pemerhatian dan rawatan rapi termasuk bantuan oksigen dan ada kalanya bantuan mesin pernafasan di unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Hasanah berkata, RSV boleh dijangkiti melalui titisan hingus, air liur bila pesakit bercakap, batuk atau bersin.

Ia juga boleh berjangkit dari permukaan yang dicemari virus atau sentuhan terus seperti mencium bayi yang dijangkiti.

Katanya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti virus RSV, tetapi ia boleh menjadi serius pada golongan seperti bayi pramatang dan kanak-kanak yang bermasalah penyakit jantung kongenital, penyakit paru-paru kronik termasuk asma.

"Selain itu, golongan berisiko lain adalah kanak-kanak yang lemah sistem ketahanan badan termasuk yang memerlukan rawatan steroid atau mengalami penyakit lemah otot yang kurang upaya mengeluarkan lendir dari tekak.

"Golongan dewasa yang mempunyai masalah kronik terutama penyakit jantung dan paru-paru turut berisiko," katanya.

RSV boleh dijangkiti melalui titisan hingus, air liur bila pesakit bercakap, batuk atau bersin.
RSV boleh dijangkiti melalui titisan hingus, air liur bila pesakit bercakap, batuk atau bersin.

Dr Hasanah berkata, RSV boleh dikesan berdasarkan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan dikenal pasti melalui ujian calitan dari hidung dan belakang tekak.

Kata beliau, ujian darah juga membantu manakala 'pulse oxymeter' boleh menunjukkan kandungan oksigen badan yang rendah dan X-ray dada boleh menunjukkan keradangan paru-paru.

Katanya, di negara negara empat musim biasanya jangkitan RSV menular pada musim sejuk, musim luruh atau musim bunga, tetapi ia berbeza di Malaysia kerana boleh berlaku bila-bila masa.

"Di negara kita, peningkatan kes jangkitan lebih ketara pada musim hujan atau keramaian seperti cuti sekolah atau perayaan.

"Namun, jangkitan RSV sebenarnya boleh dielak jika pesakit bergejala memakai pelitup muka termasuk kanak-kanak berumur dua tahun ke atas.

"Jika bersin contohnya, guna kertas tisu atau lengan tangan dan pastikan sentiasa menjaga kebersihan tangan, elakkan sentuhan terus seperti mencium, bersalaman selain perlu selalu membersih permukaan yang tercemar," katanya.

JANGKITAN RSV boleh dielak jika pesakit bergejala memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan tangan.
JANGKITAN RSV boleh dielak jika pesakit bergejala memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan tangan.

Sementara itu, Dr Hasanah berkata, seperti yang diketahui umum, RSV tidak mempunyai rawatan khusus.

Kebiasaannya, doktor akan memberi ubat demam, ubat titisan hidung dan kadangkala antibiotik jika terdapat komplikasi kuman bakteria.

Nasihat Dr Hasanah, ibu bapa perlu memastikan anak mereka dalam keadaan selesa, lebihkan minuman termasuk susu, jus ataupun sup.

"Jika gejala berterusan dan lebih teruk, mereka perlu dimasukkan ke hospital. Rawatan yang diberikan termasuk rehidrasi, bantuan oksigen dan kadangkala kanak kanak itu memerlukan bantuan mesin pernafasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:01 AM