Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Berkuat kuasa 1 Mei ini, pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan, namun Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan pemakaiannya kerana mampu mengurangkan penularan jangkitan Covid-19.

"Ini mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

"Bagaimanapun, KKM menggalakkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam atau stadium.

"Ini termasuk individu yang bergejala seperti demam batuk dan selsema, individu berisiko tinggi atau melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak," katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila berada di dalam bangunan termasuk gedung membeli belah dan pengangkutan awam termasuk e- hailing.

"Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini.

"Bagaimanapun, pelitup muka boleh ditanggalkan ketika melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi ia hendaklah segera dipakai semula setelah selesai melakukan senaman itu, berseorangan di dalam suatu ruang iaitu ketika sedang makan, minum, berucap atau membuat persembahan.

"Pemakaian pelitup muka terutama di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang di sekeliling kita terutama mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu 'immunocompromised'," katanya.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:35 PM