PENULIS bersama dua rakan, Mohd Azrin (kiri) dan Shakir bercuti ke Sapporo untuk bermain salji sepuas-puasnya.
PENULIS bersama dua rakan, Mohd Azrin (kiri) dan Shakir bercuti ke Sapporo untuk bermain salji sepuas-puasnya.
Nor Akmar Samudin


SUDAH lama sebenarnya penulis dan dua rakan, Shakir Shaufit Affandi dan Mohd Azrin Lahuri berhasrat mahu bercuti ke Sapporo, Hokkaido, Jepun secara santai untuk bermain salji sepuas-puasnya.

Hasrat penulis dan rakan akhirnya dimakbul pada pertengahan Januari lalu ketika musim sejuk belum berlalu dan salji tebal sehingga paras lutut.

Menyaksikan seluruh bandar raya itu diselaputi salji tebal, terdetik di hati betapa hebatnya alam ciptaan Yang Maha Esa.

Keputusan kami untuk menginap di pangsapuri di Moiyama yang terletak lebih kurang empat kilometer dari pusat bandar tepat sekali kerana ia memiliki pemandangan luar yang menarik.

Terasa indah percutian kami apabila berpeluang menghirup kopi panas di balkoni sambil melihat 'hujan salji' setiap pagi.

Apartmen dua bilik itu menyediakan kemudahan lengkap seperti dapur, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, peti sejuk dan tuala, sesuai untuk percutian bersama rakan atau keluarga.

Untuk bergerak di sekitar Sapporo, pelancong tidak perlu risau kerana terdapat kemudahan 'streetcar' yang menghubungkan setiap destinasi di bandar itu dengan tambang sehala 200 yen atau RM6.50 sahaja seorang.

Namun, tetapi kami memilih untuk berjalan sahaja dari tempat penginapan ke pusat bandar sambil mata 'melayan' keindahan panorama alam yang diselimuti salji tebal.

Untuk makluman pembaca, disebabkan kedudukannya yang jauh nun di utara Tokyo, purata suhu Sapporo pada Januari adalah di antara -12 darjah Celsius hingga -4 darjah Celsius, jadi setiap hari adalah 'hujan salji.'

Kepulauan Hokkaido juga popular dengan beberapa lokasi pelancongan untuk bermain ski ketika musim sejuk iaitu di Niseko, Furanod dan Rusutsu yang beroperasi antara Disember hingga April setiap tahun.

Daripada segi makanan pula, kami tidak berdepan masalah besar kerana lebih gemar memasak sendiri bekalan untuk dijamah bersama nasi beras Jepun yang lembut dan kenyal.

Tambahan pula, kepulauan itu juga terkenal dengan penghasilan sayur-sayuran serta buah-buahan yang segar .

Apa-apa pun, percutian penulis dan rakan kali ini benar-benar santai kerana kami tiada jadual yang perlu diikuti, sebaliknya ikut saja kaki nak melangkah ke mana saja!

Namun, setiap hari kami akan melawat satu lokasi pelancongan dan meluangkan masa di situ menyelami gaya hidup masyarakat tempatan.

Kami juga berkesempatan melakukan 'window shopping' di laluan bawah tanah terkenal di bandar itu,

Sapporo Ekimaedori.

Sepanjang lorong itu dipenuhi dengan deretan premis perniagaan daripada kafe, restoran, kedai baju, kedai cenderamata, pasar raya, bakeri dan kedai serbaneka.

Laluan itu juga menuju ke semua stesen kereta api dan 'streetcar', tak ubah seperti sebuah bandar bawah tanah yang tidak pernah sunyi dengan manusia.

Sepanjang musim sejuk, laluan itu juga menjadi tumpuan seluruh warga Sapporo dan pelancong untuk mengurangkan kesejukan selepas berada di luar.

Penulis dan rakan juga berkesempatan merakam momen indah di Mount Moiwa Ropeway dan Maruyama Park.

MENIKMATI kedinginan bandar Sapporo dengan suhu -3 darjah Celsius.
MENIKMATI kedinginan bandar Sapporo dengan suhu -3 darjah Celsius.

Di Mount Moiwa Ropeway, terdapat perkhidmatan kereta kabel menuju ke puncak gunung dan dari situ pengunjung boleh melihat pemandangan bandar raya Sapporo.

Bagaimanapun, kereta kabel itu beroperasi mengikut keadaan cuaca pada hari berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti ketika angin kencang atau terjadinya ribut salji.

Dalam salji yang lebat kami menaiki bas menuju ke Muzium Sukan Musim Sejuk Sapporo bagi melihat koleksi berharga berkaitan Sukan Olimpik Musim Sejuk Sapporo yang diadakan di lokasi itu pada 1972.

Selain itu, kunjungan ke Sapporo pada musim sejuk kurang lengkap jika tidak mengunjungi Universiti Hokkaido.

Pemandangan sekitar kawasan universiti yang tersenarai dalam 'rangking' 10 universiti terbaik di Jepun ini memang mengasyikkan terutama di laluan utama pintu masuknya, bagaikan berada di alam fantasi!

Bagi tetamu Muslim, anda boleh bersolat di Masjid Sapporo yang diuruskan Hokkaido Islamic Society yang dibuka pada November, tahun lalu.

Dalam pada itu, penulis dan rakan juga berkesempatan melawat bandar pelabuhan kecil Otaru untuk melihat terusan bersejarah, Terusan Otaru.

Keunikan bangunan bata merah Otaru dan sistem terusannya yang berair jernih itu sememangnya menarik perhatian pelancong untuk merakam gambar kenangan.

Pulau itu juga terkenal produk kraf tangan kaca dan kotak muzik buatan tangan yang cantik dan berkualiti untuk dijadikan hadiah.

Meskipun berada di negara orang, penulis akui tetap merindui makanan di negara sendiri.

Pencarian Shakir di Google menemukan kami dengan sebuah restoran Jepun yang menyediakan pelbagai menu seperti roti nan, kari ayam, kari kambing, kari dal dan nasi beriani.

Semua menu di restoran itu dimasak oleh cef India Muslim.

Seperkara yang penulis jatuh cinta dengan negara matahari terbit itu ialah kebersihan. Kemudahan tandas yang disediakan bukan sahaja banyak, tetapi sentiasa bersih dan dilengkapi bidet.

Kepada yang ada anak kecil juga tidak perlu bimbang ditinggalkan sendirian di luar tanpa jagaan kerana disediakan tempat duduk bayi di dalam tandas.

Bagaimanapun, percutian selama 10 hari itu begitu pantas berlalu.

Banyak lagi lokasi menarik di Sapporo untuk dikunjungi, namun masa membataskan segalanya.

Penulis yakin mereka yang pernah ke sana, pasti akan jatuh cinta dan berazam untuk ke sana semula. Itulah yang penulis rasakan. Sapporo.aku akan datang lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:00 AM