PELANCONG memandu kereta salji atau snowmobiles di Rusutsu Resort.
PELANCONG memandu kereta salji atau snowmobiles di Rusutsu Resort.
PEMANDANGAN sekitar perkampungan samurai Noboribetsu Date Jidaimura.
PEMANDANGAN sekitar perkampungan samurai Noboribetsu Date Jidaimura.
CHEF Toshiyuki Goto memasak hidangan halal daging segar di restoran Sekkatei di Rusutsu Resort.
CHEF Toshiyuki Goto memasak hidangan halal daging segar di restoran Sekkatei di Rusutsu Resort.
KEMUDAHAN bilik solat di parkir Rera Chitose Outlet Mall berhampiran Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido, Jepun.
KEMUDAHAN bilik solat di parkir Rera Chitose Outlet Mall berhampiran Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido, Jepun.
PENULIS mencuba bermain ski di Rusutsu Resort.
PENULIS mencuba bermain ski di Rusutsu Resort.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Pengalaman indah sewaktu menjejakkan kaki ke pulau Hokkaido, Jepun, akhir bulan lalu, tentunya mustahil untuk dikisahkan semuanya dalam ruangan yang terhad ini.

Hokkaido satu daripada empat pulau utama di Jepun selain Honshu, Shikoku dan Kyushu serta berkedudukan paling utara dengan keluasan 83,424 kilometer persegi, ada pelbagai keistimewaan dan tarikannya meliputi budaya dan sejarah, keindahan taman, mahupun keenakan hidangan makanan laut segar.

Ibu kotanya adalah Sapporo, manakala bandar utama lain adalah Asahikawa, Hakodate, Kushiro, Tomakomai, Obihiro, Otaru, Ebetsu dan Kitami.

Kesempatan atas pelawaan Lembaga Pelancongan Hokkaido serta dibantu agensi pelancongan JTB Communications Hokkaido, masih segar di ingatan penulis bertapa seronoknya bermain di hamparan salji sehalus debu di Rusutsu Resort.

Kembara diatur sempena Pameran pelancongan oleh Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) ke-14 dengan penerbangan mengambil masa kira-kira lapan jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang New Chitose, bagaikan tidak terasa apabila tubuh diterjah suhu dingin -9 darjah Celsius.

Suasana di persekitaran dilitupi salji tebal memutih, daun pokok berguguran dan hanya tinggal ranting hingga menerbitkan rasa takjub dan memukau pandangan, menyambut kehadiran penulis bersama seorang wartawan dari Karangkraf pada jam 8 pagi (waktu tempatan) pada 22 Februari lalu.

Sarung tangan dan jaket tebal dipakai nyata tidak dapat menghalang suhu dingin yang menusuk ke tubuh.

Sapaan oleh pemandu pelancong, Wan Ab Aziz Wan Ahmad yang sedia menunggu di balai ketibaan bahawa ‘kami amat bertuah’ mengejutkan penulis sebelum dijelaskan kami bernasib baik kerana berpeluang bermain salji yang sebenarnya makin menipis seminggu sebelumnya.

Sebaik memasuki kereta, terasa sedikit lega daripada suhu sejuk ‘melampau’ sebelum perjalanan diteruskan ke destinasi pertama untuk meninjau kemudahan bilik solat disediakan di pakir Rera Chitose Outlet Mall berhampiran lapangan terbang itu lengkap kemudahan air paip serta ruang solat untuk lelaki dan wanita.

Memandangkan Familiarization Trip (FAM Trip) ini fokusnya bagi memperkenalkan pelancongan Islam kepada rakyat Malaysia, kami turut dibawa melawat masjid, restoran halal selain resort dan kedai cenderamata serta melihat keindahan bandar Sapporo sepanjang berada di Negara Matahari Terbit ini.

Kelebihan apabila menaiki kereta dipandu Wan Ab Aziz rakyat Malaysia yang sudah 18 tahun menetap di Jepun termasuk tiga tahun di Sapporo, melancarkan perjalanan kami berbanding menaiki bas atau mengembara dalam kumpulan.

Destinasi pertama kami di Rera Chitose Outlet Mall yang menjual lebih 400 jenama tempatan dan antarabangsa pada harga diskaun antaranya produk pakaian, beg, kasut dan aksesori, barangan rumah, permainan kanak-kanak, sukan dan elektronik.

Selesai lawatan dan menjamu selera dengan tempura enak, kami ke perkampungan masyarakat asli Jepun iaitu kaum Ainu dikenali dengan nama Poroto Kotan atau bermaksud perkampungan bersebelahan tasik di daerah Shiraoi iaitu sekitar 100 kilometer dari Sapporo.

Petugas di perkampungan ini yang mesra dan mahir selok-belok berkaitan masyarakat Ainu bersemangat memberi penerangan kepada kami ketika meninjau rumah tradisi, Muzium Ainu dan menyaksikan persembahan tarian tradisional Ainu.

Taman tema bersejarah Noboribetsu Date Jidaimura yang menempatkan perkampungan ninja menjadi destinasi kedua kunjungan kami dengan aktiviti antaranya menonton persembahan teater Ninja vs Samurai, melawat muzium samurai, rumah hantu, mencuba pakaian ninja dan membeli barangan cenderahati.

Dalam perjalanan menuju Hotel Toya SunPalace Resort & Spadi di Toyako Onsen, kami singgah di Showa Shinzan Bear Ranch yang menempatkan spesies beruang Hokkaido dan berpeluang memberinya makan epal dan biskut.

Berkunjung ke negara asing bagi pelancong Muslim perkara utama terlintas di fikiran adalah soal makanan halal serta ibadah wajib iaitu solat, namun syukurlah Wan Ab Aziz menjadi rujukan kami.

Sekalipun negara itu bukan majoriti beragama Islam, ketelusan dan inisiatif masyarakatnya untuk sekurang-kurangnya memenuhi keperluan pelancong Muslim begitu terserlah.

Ini jelas melalui inisiatif oleh Chef Toshiyuki Goto bertugas di restoran Sekkatei di Rusutsu Resort untuk memasak makanan kami secara ‘live’ menggunakan daging bersama rempah ratus, kicap dan minyak sayuran halal.

Sebuah restoran ramen iaitu Houryu Ramen di bandar Sapporo pula menyediakan mangkuk, sudu, garfu dan penyepit khusus untuk pelanggan Muslim dan untuk membezakannya dengan peralatan diguna pengunjung bukan Muslim, cat hijau ditandakan. Penulis tabik kepada pengusaha kedai terbabit.

Musim sejuk di Jepun bermula pada akhir Disember serta berakhir penghujung Februari manakala untuk Pulau Hokkaido yang berada di Utara Jepun, musim sejuknya lebih panjang.

Kesempatan melawat bandar pelabuhan kecil Otaru di pesisiran Laut Jepun juga meninggalkan 1,001 kenangan indah terutama melihat sebuah terusan lama iaitu Terusan Otaru.

Keunikan bangunan bata merah Otaru dan sistem terusannya yang diairi air jernih itu menjadikan perasaan damai dan menakjubkan. Tidak hairan kawasan ini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing untuk merakam gambar.

Otaru juga terkenal produk kraftangan kaca dan kotak muzik buatan tangan yang cantik dan berkualiti untuk dijadikan buah tangan.

Untuk menyelami budaya, makanan dan kraftangan di bandar ini, memerlukan masa sehari namun, kami bersyukur dalam beberapa jam, dapat juga melihat beberapa lagi tarikan seperti jam besar meng­gunakan wap dan menikmati makanan laut segar.

Pada hari ketiga, di Rusutsu Resort yang dianggap ‘syurga’ aktiviti musim sejuk, pelbagai aktiviti kami lakukan daripada memandu kereta salji atau snow­mobiles, menaiki kereta luncur, bermain ski dan meluncur dengan rakit tiub.

Tidak perlu berasa malu, walaupun tidak pernah bermain ski, resort ini menyediakan jurulatih ski berpengalaman yang bersedia mengajar anda teknik asas.

Biarpun keletihan dengan jadual padat pada malam terakhir kami berpeluang melawat melihat keunikan pemandangan bandar Sapporo di waktu malam di puncak Gunung Moiwa berketinggian 531 meter.

Dalam kedinginan suhu -16 darjah Celsius, penulis dan pelancong tidak melepaskan peluang merakam gambar panorama bandar Sapporo yang disirami cahaya lampu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:01 AM