MENARA TV Sapporo.
MENARA TV Sapporo.
BANDAR Furano antara yang terkenal di Hokkaido.
BANDAR Furano antara yang terkenal di Hokkaido.
NOBORIBETSU Date Jidaimura ialah tempat pelancongan bertemakan sejarah adat istiadat dan budaya masyarakat Jepun.
NOBORIBETSU Date Jidaimura ialah tempat pelancongan bertemakan sejarah adat istiadat dan budaya masyarakat Jepun.
BILIK khas disediakan untuk pelancong Muslim bersolat di Daimaru.
BILIK khas disediakan untuk pelancong Muslim bersolat di Daimaru.
RUSUTSU Resort Hotel.
RUSUTSU Resort Hotel.
LADANG lavender di Furano.
LADANG lavender di Furano.
Oleh Mohd Firdaus Johari


Jika ditanya pembaca destinasi percutian di Jepun, pasti ramai menyebut Tokyo, Osaka atau Nagasaki padahal banyak tempat lain yang tidak kurang menariknya seperti Hokkaido, pulau di utara negara matahari terbit itu.

Saya berpeluang mengunjungi Hokkaido atas pelawaan Japan National Tourism Organization (JNTO), baru-baru ini dan ternyata keindahan pulau itu dan alam semula jadinya begitu memukau.

Saya kagum dengan usaha pentadbir tempatan menjadikan daerah itu lokasi percutian mesra pelancong Muslim. Kini, pelancong beragama Islam selesa melancong ke sini kerana makanan halal serta kemudahan solat.

Untuk tiba di sini, pengunjung boleh memilih terbang langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa New Chitose dari Kuala Lumpur atau transit di mana-mana bandar utama Jepun seperti Tokyo atau Osaka.

Pelbagai aktiviti riadah berbentuk keluarga boleh dilakukan di Hokkaido, antaranya meluncur ski ketika musim sejuk selain pelbagai resort menawarkan pakej percutian yang menarik sesuai dengan bajet anda.

Salah satu resort ialah Rusutsu Resort Hotel yang mengambil masa sejam perjalanan dari lapangan terbang. Resort serba lengkap itu dibina dengan kemudahan pelbagai musim.

Pada musim sejuk, resort itu dibanjiri peluncur ski dari seluruh dunia dan musim panas, ia menyediakan taman tema besar yang dilengkapi pelbagai permainan seperti ‘roller coaster’ serta lapangan golf.

Resort ini juga semakin digemari pelancong beragama Islam kerana ia menyediakan sebuah restoran halal yang mendapat pengiktirafan Malaysia Halal Corporation. Makanannya lazat dan cef pula mahir membuat sambal belacan.

Penggemar sejarah Jepun pasti teruja apabila berkunjung ke Noboribetsu Date Jidaimura, sebuah tempat pelancongan bertemakan sejarah adat istiadat dan budaya masyarakat Jepun pada zaman Edo. Di sini anda berpeluang melihat persembahan ninja, mencuba kimono dan bergambar bersama geisha.

Saya turut dibawa bersiar-siar di atas feri mengelilingi Tasik Toya. Saujana mata memandang keluasan tasik itu dengan latar gunung-ganang yang gah memang menarik dan suhu yang rendah menambahkan lagi keindahan kawasan ini.

Perjalanan selama sejam menyusuri tasik itu tidak membosankan kerana pemandangan yang indah dan bagi mereka yang gemar berfoto, ini peluang anda untuk ‘selfie’ atau mengabadikan kenangan di laman sosial dengan rakan.

Satu daripada bandar terkenal di Hokkaido ialah Furano dan ia dikenali bandar lavender kerana mempunyai banyak ladang bunga lavender dan saya dibawa ke Ladang Tomita untuk melihat sendiri keindahan floranya.

Jika berkunjung di sini pada Ogos hingga Oktober, anda pasti dikelilingi bunga lavender yang berwarna ungu di segenap pelosok ladang. Pelbagai cenderahati seperti minyak wangi dan sabun turut dijual.

Hotel Furano Hops, tempat saya bermalam menyediakan restoran yang mesra pengunjung Muslim kerana tiada minuman keras, malah kami menikmati hidangan makanan laut termasuk ketam gergasi tanpa was was.

Furano juga terkenal dengan keju dan saya dibawa ke ‘Furano Cheese Factory’ untuk melihat penghasilkan produk itu secara komersial selain membuat aiskrim dari susu segar yang enak walaupun dalam suhu 15 darjah Celsius.

Saya dibawa melawat pekan Furano iaitu sebuah bandar kecil dan sepi hingga boleh berfoto di tengah jalan. Kata pemandu pelancong, kebanyakan anak muda berhijrah ke bandar besar untuk menikmati kehidupan lebih selesa.

Natulux Hotel di tengah pekan Furano menyediakan makanan halal kepada pengunjung.

Kunjungan ke Hokkaido tidak lengkap tanpa melawat ibu negerinya Sapporo. Kota yang dihuni hampir dua juta penduduk itu mula terkenal selepas menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 1972.

Kota ini sangat popular dengan mercu tandanya, Menara TV Sapporo dan Taman Odori. Menara TV Sapporo setinggi 147.2 meter mempunyai platform pemandangan untuk melihat panorama kota raya itu.

Taman Odori seluas 1.5 kilometer ialah taman terpanjang di Sapporo dan penduduk dan pelancong boleh melakukan pelbagai aktiviti.

Destinasi seterusnya ialah Okurayama Ski Jump Stadium. Di sinilah acara terjun ski berlangsung pada 1972. Pengunjung akan dibawa menaiki kerusi bergerak ke bukit untuk menikmati pemandangan keseluruhan bandar Sapporo. Tempat bersejarah ini dijaga dengan rapi dan dilengkapi muzium olimpik serta kedai cenderahati

Sebagai peminat bola sepak, saya gembira menjejakkan kaki di Stadium Sapporo Dome yang menjadi gelanggang Piala Dunia 2002. Ia mampu memuatkan 40,000 penonton pada satu masa.

Terdapat sebuah masjid di Kota Sapporo dan ia menjadi tempat penganut Muslim berkumpul dan bertukar pendapat.

Perjalanan ini tidak lengkap tanpa singgah ke pusat beli-belah seperti Daimaru dan Rera Outlet Park yang mempunyai bilik solat yang lengkap untuk pelancong Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 8:39 AM