BERGAMBAR di Otaru dalam cuaca bersalji.
BERGAMBAR di Otaru dalam cuaca bersalji.
Lizam Ridzuan


Negara matahari terbit sememangnya penuh dengan keunikan dan keindahan muka bumi yang menakjubkan menjadikannya antara destinasi pilihan untuk percutian.

Selain kaya dengan teknologi dan tradisi warisan yang panjang, sifat penduduknya yang ramah serta mesra antara sebab ramai yang selesa mengunjungi Jepun.

Tidak terkecuali Erifarizan Hishamuddin, 39, dan suami, Nazmi Kamal, 40, yang berkunjung ke negara itu serta menyimpan pelbagai nostalgia buat mereka.

Ini kerana kedua-duanya pernah tinggal di sana sekitar 2010 hingga 2012 ketika Nazmi menuntut di Universiti Tokyo, tetapi kali ini membawa tiga anak mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara itu.

Penerbangan ke Jepun menggunakan syarikat penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Sapporo yang mengambil masa kira-kira lapan jam untuk sampai.

"Cuaca di Sapporo ketika itu sangat sejuk iaitu sekitar negatif lima hingga negatif 10 darjah Celsius. Jadi kami sudah melengkapkan diri dengan membawa pakaian musim sejuk bagi memastikan berada dalam keadaan selesa sepanjang di sana," kata Erifarizan.

Di Sapporo mereka berkunjung ke lokasi pilihan seperti Odori Park, Tsudome Park, Otaru dan kilang coklat sambil berpeluang membuat biskut bersama-sama seisi keluarga.

Odori Park terkenal sebagai kawasan rekreasi sesuai untuk bersiar-siar sepanjang 1.5 kilometer (km) dengan keindahan landskap pokok dan bungaan selain pelbagai pilihan makanan terdapat di sana.

MENGENAKAN kimono sebagai aktiviti wajib.
MENGENAKAN kimono sebagai aktiviti wajib.

Kawasan itu juga sering diadakan pelbagai acara seperti Festival Salji, Yosakoi Soran Festival dan Festival Musim Luruh dengan pelbagai juadah istimewa Hokaido juga disediakan pada acara itu setiap tahun.

Erifarizan dan keluarganya juga meluangkan masa di Tsudome Park iaitu lokasi popular untuk bermain salji dengan pelbagai permainan seperti gelongsor tiub, cabaran bola salji, 'snow maze,' membina orang salji, 'sledding slope,' 'ice slide,' 'mini dan now footgolf'.

Mereka menghabiskan masa selama lima hari di Sapporo dengan kebanyakannya adalah aktiviti berkaitan salji yang pasti menceriakan terutama anak yang seronok merasai pengalaman itu buat pertama kali.

DISNEYLAND penuh dengan keseronokkan terutama kanak-kanak.
DISNEYLAND penuh dengan keseronokkan terutama kanak-kanak.

Kesempatan yang ada juga mereka gunakan untuk mengunjungi Otaru iaitu sebuah pekan pelabuhan kecil yang menyajikan pemandangan sangat indah terutama terusan di tengah bandar.

Pastinya peluang bergambar dimanfaatkan sepenuhnya sebagai kenangan paling indah.

Selesai di Sapporo mereka sekeluarga terbang pula ke Tokyo menggunakan penerbangan domestik Peach Airline dan berada di situ selama tujuh hari dengan melawat lokasi menarik seperti Disneyland, Shinjuku, Asakusa, Odaiba (Gundam) Ueno (Pasar Ameyoko) serta Sario Puroland (Hello Kitty).

 BANDAR Gundam di Odaiba.
BANDAR Gundam di Odaiba.

"Di Tokyo sudah pasti banyak lokasi utama yang menjadi kegemaran anak seperti Taman Tema Disneyland yang selama ini hanya ditonton dalam media sosial kini di depan mata.

"Selain itu watak seperti Cinderella, Mickey dan Minnie Mouse, Goofy, Beauty and The Beast berada di depan mata menerusi perarakan dan permainan dalaman di sana menambah kemeriahan serta keseronokan buat semua," katanya yang juga seorang peguam.

Selesai bermain di Disneyland serta lokasi taman tema animasi kanak-kanak, Erifarizan dan Nazmi membawa anak melawat ke Universiti Tokyo yang banyak nostalgia mereka berdua di sana.

Pengalaman unik buat Nazmi di universiti itu, ketika menuntut dalam jurusan Sarjana Polisi Awam dia baru sahaja mendirikan rumah tangga.

WATAK utama di Taman Tema Dineyland berada depan mata.
WATAK utama di Taman Tema Dineyland berada depan mata.

Sudah pasti cabaran baharu buatnya apatah lagi tinggal di negara orang selain perlu memahami budaya setempat.

"Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah kami berada di sana ketika kejadian tsunami melanda di Sendai dan Fukushima, namun selamat kerana kawasan tempat tinggal tidak terbabit. Kami agak terkejut dan sedih melihat kawasan bencana dan mangsa menerusi berita di televisyen," katanya.

Kembali semula ke Jepun yang kali ini bersama anak mengungkapkan momen paling indah.

Selain menyusuri nostalgia ketika pernah tinggal di Jepun 14 tahun lalu ia juga dapat diceritakan kepada anak perjalanan kisah hidup mereka untuk dijadikan panduan pada masa hadapan.

Selesai di Tokyo mereka pun pulang ke Malaysia dan mendarat di KLIA dengan selamat. Pengembaraan mereka tidak terhenti di situ dan merancang untuk ke Eropah pula dalam edisi percutian akan datang. Sayonara!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:01 AM