SALJI pada bulu mata penduduk di Yakutsk, Siberia, Rusia. FOTO Reuters
SALJI pada bulu mata penduduk di Yakutsk, Siberia, Rusia. FOTO Reuters
Agensi

Moscow: Yakutsk di Siberia Timur dikenali bandar paling sejuk di dunia apabila merekodkan suhu -50 darjah Celsius, minggu lalu menyebabkan penduduknya perlu mengenakan beberapa lapisan pakaian.

Namun, ia hanya berada di tempat kelapan paling sejuk di dunia meskipun kawasan ibun abadi (permafrost) kira-kira 450 kilometer selatan Garisan Artik itu mempunyai cuaca paling sejuk setiap Januari dan tahun ini menyaksikan cuaca sejuk lebih panjang.

Berikut adalah 10 tempat paling sejuk di dunia, seperti dilaporkan portal The National:

   

1. Dataran Antartika Timur Antartika   

Pada Ogos 2010, suhu mencecah -94 darjah Celsius pernah direkodkan di Dataran Tinggi Timur Antartika, benua paling sejuk di dunia, mengatasi rekod sebelumnya pada 1983.

Namun, berikutan suhu direkodkan oleh satelit jarak jauh, ia tidak dianggap rekod rasmi dunia.

   

2. Stesen Vostok, Antartika

Masih dianggap sebagai tempat paling sejuk di dunia oleh ramai orang, Stesen Vostok yang terpencil di Antartika mempunyai suhu rendah yang direkodkan secara rasmi -89.2 darjah Celsius pada 1983.

3. Stesen Kutub Selatan Amundsen-Scott, Antartika

Ia antara tiga stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh Program Antartika Amerika Syarikat dan suhu terendah yang direkodkan di sini,−82.8 darjah Celsius, pada 1982.

4. Denali, Alaska, Amerika Syarikat (AS)

Gunung ketiga tertinggi daripada tujuh gunung tertinggi dunia, salah satu destinasi paling sejuk di dunia.

Pernah merekodkan suhu −73 darjah Celsius, data itu diperoleh daripada termometer yang ditinggalkan di lereng pada ketinggian kira-kira 4,600 m pada tahun 1913.

   

5. Stesen Klinck, Greenland

Suhu −69.6 darjah Celsius direkodkan di stesen itu pada Disember 1991. Lokasi terpencil itu hanya boleh dilalui kereta salji, yang bermakna penyelidik perlu berhati-hati apabila mengangkut peralatan perakam suhu melalui permukaan salji.

   

6. Oymyakon, Siberia, Rusia

Oymyakon antara tempat berpenghuni paling sejuk di dunia dengan suhu di bawah sifar yang berterusan. Kampung ini mengalami paras sejuk -67.7 darjah Celsius yang direkodkan ahli meteorologi pada 1933.

Ia juga adalah tempat maraton tersejuk di dunia yang berlangsung tahun lalu, dengan pelari terpaksa bertarung cuaca sejuk merentasi jarak 42 kilometer. Kebanyakan peserta mengalami kening serta bulu mata membeku.

7. North Ice, Greenland

Stesen penyelidikan North Ice yang kini terbengkalai selepas ditinggalkan sejak 69 tahun lalu, pernah dianggap sebagai destinasi paling sejuk di Hemisfera Utara dengan suhu −66.1 darjah Celsius pada Januari 1954.

8. Yakutsk, Siberia, Rusia

Yakutsk Siberia menjadi tajuk utama minggu ini apabila bandar itu mencecah -50 darjah Celsius dan penduduk terpaksa menahan kesejukan.

Pada 1891, ia mengalami suhu -64.4 darjah Celsius.

FERI di kawasan pelabuhan yang membeku di Sungai Lena, Yakutsk, Siberia, Rusia. FOTO Reuters
FERI di kawasan pelabuhan yang membeku di Sungai Lena, Yakutsk, Siberia, Rusia. FOTO Reuters

9. Snag, Wilayah Yukon, Kanada

Lokasi tersejuk di Kanada dari segi purata suhu tahunan ialah Eureka di Nunavut, tetapi Snag di sempadan Alaska-Yukon pernah merekodkan cuaca paling sejuk iaitu -63.0 darjah Celsius pada 1947.

Dulunya, lokasi pendaratan cemas semasa Perang Dunia Kedua, kampung ini menjadi penempatan kira-kira 10 penduduk tempatan pertama dan 20 penyelidik yang berani menghadapi iklim subartik.

   

10. Sungai Prospect, Alaska, AS

Tidak berpenghuni sejak awal 1990-an, Sungai Prospect di Alaska ialah salah satu destinasi paling sejuk di dunia.

Terletak di bawah Garisan Artik, bandar hantu itu adalah penempatan yang mempunyai suhu terendah dengan -62.1 darjah Celsius yang didokumentasikan pada Januari 1971.

Dengan iklim subartiknya, bandar ini secara konsisten terkenal dengan musim sejuk di AS dan pemegang rekod suhu paling rendah di benua AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 8:13 AM