SUASANA mempesonakan ketika musim sejuk di Otaru Canal.
SUASANA mempesonakan ketika musim sejuk di Otaru Canal.
Oleh Suliati Asri


Tatkala musim sejuk, ibu kota Hokkaido, Sapporo menjadi destinasi terbaik buat anda menikmati kedinginan salji yang memenuhi bandar raya ini.

Bandar raya kelima terbesar di Jepun yang juga pusat perniagaan, komersial dan pemerintahan Hokkaido, Sapporo turut menawarkan pelbagai tarikan pelancongan yang cukup mempesona buat anda yang inginkan kelainan di negara matahari terbit ini.

Dengan penerbangan Air­Asia X empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Sapporo (Hokkaido), percutian anda bakal menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Selepas tiba di Lapangan Terbang Chitose, jangan lepaskan peluang menikmati keenakan makanan yang pasti membuka selera seperti tat keju di Kinotoyo dan pelbagai makanan laut terbaik yang belum pernah anda cuba.

Masih di dalam Lapangan Terbang Chitose, kunjungan ke Royce Chocolate World satu kemestian. Muzium ini mempamerkan proses pembuatan coklat selain anda berpeluang merasai pelbagai perisa coklat yang dijual dengan harga berpatutan.

Setiba di bandar raya Sapporo, musim luruh yang masih berbaki menanti anda dengan pemandangan cukup menakjubkan.

Memasuki musim sejuk, pelbagai lokasi menarik perlu dikunjungi saat berada di Sapporo.

Memulakan penerokaan, Odori Park yang menjadi lokasi sambutan pelbagai perayaan sepanjang tahun terutama Snow Festival pada Februari cukup mengujakan.

Mahu melihat pemandangan paling indah di Sapporo tidak kira musim? Cubalah menaiki kereta kabel atau mendaki Gunung Moiwa yang pastinya tidak akan mengecewakan.

Tidak cukup dengan itu, JR T360 Observatory Deck turut menawarkan 360 darjah pemandangan terbaik bandar raya Sapporo yang menakjubkan.

Mengunjungi Menara Jam Sapporo, anda berpeluang menghayati sejarahnya yang mempunyai nilai tersendiri dan menjadi simbol kepada bandar raya mempesona ini.

Ingin mengenali Sapporo dengan lebih dekat, bangunan bekas pejabat Kerajaan Hokkaido yang kini menjadi muzium tempat sesuai untuk melihat sendiri sejarah bandar raya itu dari dulu hingga kini.

Di Hokkaido Shrine pula, anda boleh menikmati laluan indah di kuil ini.

Hanya dua perhentian dengan menaiki Nanboku Subway, Susukino, kawasan hiburan terbesar di Sapporo lokasi yang harus dikunjungi.

Mencari sesuatu yang terkenal di Susukino, Ramen Yakocho (kedai yang pernah dikunjungi Anthony Bour­dain) yang dijual di setiap kedai mi di setiap sudut di Susukino punyai kelebihan tersendiri.

Selain ramen, dua restoran yang popular di Susukino ialah Yakiniku (BBQ) dan Genghis Khan (Mongolia BBQ) menyajikan pelbagai hidangan enak buat anda.

Mahu berbelanja untuk diri sendiri atau orang tersayang, Tanukikoji Shopping Street yang mempunyai lebih tujuh blok kedai pasti membuatkan kaki ‘shopping’ pulang dengan senyuman.

Tidak cukup dengan itu, kunjungan ke Shiroi Koibito Park, kilang coklat terkenal di situ menjanjikan pengalaman menarik.

Keluar dari bandar raya Sapporo, Hokkaido nyata menanti dengan tarikan pelancongan yang cukup mengagumkan.

Tidak kira sama ada anda memilih menaiki bas atau memandu sendiri, Tasik Mashu menawarkan pemandangan menakjubkan. Untuk pemandangan dan pengalaman menakjubkan di Tasik Mashu, anda digalakkan me­ngunjunginya pada musim luruh.

Berdekatan Tasik Mashu, Gunung Io, gunung berapi yang masih aktif boleh memberi pengalaman baru kepada anda.

Bermalam di satu hotel di Jozankei Onsen yang menawarkan pengalaman mandi di kolam air panas tradisional pasti memberikan anda kenangan yang sukar dilupakan.

Membawa perspektif berbeza kepada Hokkaido, bandar Otaru satu lagi destinasi yang harus dilawati. Terkenal dengan Terusan Otaru, anda memerlukan masa sehari untuk menyelami budaya, makanan dan kraftangan di bandar kecil ini.

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh AirAsia X dan Pelancongan Bandar Raya Sapporo

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 1:39 PM