PLAYA del Carmen syurga buat penggemar selam skuba gua dasar laut.
PLAYA del Carmen syurga buat penggemar selam skuba gua dasar laut.
Suliati Asri


Pemandangan indah batu-batan, stalagtit dan stalagmit persis tirai menghiasi dinding gua di daratan saja sudah cukup memukau.

Inikan pula meneroka keindahan gua di dasar lautan yang membiru. Keindahannya nyata tidak tergambar dengan kata-kata.

Itu juga yang dirasai sendiri Wan Azman Wan Mahmud, 45, bersama empat rakan penyelam terdiri daripada penyelam profesional yang mempunyai pengalaman menyelam lebih dari '1000 logged dives,' jurulatih selam dan divemaster saat meneroka gua di dasar laut di Playa del Carmen, Mexico awal November tahun lalu.

Keindahan gua dasar laut, Playa del Carmen

Sebagai peminat, Wan Azman beranggapan aktiviti menyelam begitu cukup mengujakan kerana 70 peratus muka bumi adalah lautan dan terlalu banyak lokasi yang belum diterokai manusia dari segi hidupan marin serta keindahan dasar laut.

"Bukan itu saja, menyelam juga adalah aktiviti lasak yang mengajar kita menghargai alam sekitar dan khazanah warisan alam.

PENYELAM mendengar takmimat sebelum memulakan penerokaan gua dasar laut.
PENYELAM mendengar takmimat sebelum memulakan penerokaan gua dasar laut.

"Disebabkan itu, walaupun sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam aktiviti selam skuba ini, saya tetap mencari lokasi dasar lautan di seluruh dunia untuk diterokai.

"Kali ini, ia tidak hanya memfokuskan kepada selam skuba yang biasa tetapi meneroka lebih jauh ke dalam lautan iaitu 'Cave Diving," katanya.

Untuk trip kali ini, 'Cave Diving' di Mexico menjadi lokasi pilihannya kerana negara itu terkenal sebagai syurga bagi penggiat selam gua di dasar laut.

Ini kerana negara itu mempunyai hampir 10,000 gua di dasar laut sama ada air tawar atau air masin.

Antara gua dasar laut yang diterokai ialah Cenote Orquidea, Cenote Angelita, Cenote Dreamgates, Cenote The Pit, Dos Ojos & The Bat Cave dan Cenote Zapote atau pun Kin Ha.

Trip yang mengambil masa 12 hari itu adalah pengalaman baharu dan berbeza berbanding di Malaysia.

Wan Azman berkata di Malaysia, aktiviti selam lebih tertumpu kepada keindahan dasar laut yang dipenuhi batu karang dan hidupan laut manakala di Playa del Carmen pula, selaman gua di dasar laut terdiri dari air masin dan juga air tawar.

"Keindahan gua di dasar laut cukup menakjubkan kerana ia menyajikan pembentukan stalagtit dan stalagmit serta pelbagai batuan gua di dalam air yang proses pembentukan mengambil masa jutaan tahun," katanya.

Selaman di dalam 'total darkness'

Untuk menikmati keindahan permata tersembunyi itu bukanlah sesuatu yang mudah dan banyak cabaran serta pengorbanan yang perlu di lakukan.

SELAMAN di dalam kegelapan total menuntut ketelitian penyelam.
SELAMAN di dalam kegelapan total menuntut ketelitian penyelam.

Kata Wan Azman, sebelum melakukan aktiviti selaman, mereka terlebih dahulu berhadapan perjalanan yang cukup panjang.

"Perjalanan ke Mexico atau tepatnya ke Kota Cancun dengan pesawat sehala mengambil masa selama 34 jam.

"Dari Kuala Lumpur, kami perlu transit di Istanbul sebelum ke Mexico City dan seterusnyak ke Cancun.

"Kemudian dari airport Cancun, kami perlu menaiki van ke Kota Playa del Carmen selama dua jam untuk sampai ke destinasi yang mana pusat selam 'dive center' beroperasi," katanya.

Untuk melakukan selaman gua dasar laut juga bukan semudah selam skuba biasa dilakukan di Malaysia.

Bisanya, apabila melakukan aktiviti selam di Malaysia, peralatan termasuk tangki selam hanya diangkat dari jarak dekat iaitu dari pantai ke bot.

Berbanding selaman gua dasar laut di Kota Cancun ini, penyelam terpaksa mengangkat tangki dan peralatan selaman menaiki bukit dan tangga sebelum menyelam.

"Selaman di dalam 'total darkness' yang langsung tidak ada cahaya dan hanya bergantung kepada cahaya lampu suluh juga antara cabaran utama dalam trip kami kali ini.

"Keadaan itu sememangnya menuntut kami untuk sentiasa berhati-hati dan perlu fokus sepenunya kerana kesilapan yang kecil boleh mengundang padah.

"Namun, semua itu terbayar dengan panorama indah gua bawah laut yang tidak tergambar dengan kata-kata. Keindahan alam ciptaan Allah itu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan,"katanya.

Penerokaan gua bawah laut di Playa del Carmen ini tidak hanya memperlihatkan keindahan dasar laut tetapi juga mencabar fizikal dan minda.

Oleh itu, nasihat Wan Azman, bagi mereka yang berminat untuk melakukan selaman ini perlu mempunyai pengalaman selam atau 'logged dive' yang banyak kerana selaman gua ini lebih berisiko berbanding selaman dasar laut.

Selain itu, penyelam juga perlu meningkatkan kecergasan diri, mempunyai kekuatan mental dan fizikal.

Playa del Carmen

Playa del Carmen itu, kata Wan Azman bukan hanya syurga buat mereka yang suka aktiviti menyelam tetapi juga pencinta alam semula jadi dan budaya.

"Kehidupan masyarakat kota ini yang didiami masyarakat asli Maya Mexico cukup unik.

"Masyarakat Maya ini bukan hanya penduduk asli negara Mexico, mereka juga pernah mempunyai peradaban hebat satu ketika dahulu.

WAN Azman (kanan) bergambar bersama rakan penyelam ketika membersihkan peralatan menyelam.
WAN Azman (kanan) bergambar bersama rakan penyelam ketika membersihkan peralatan menyelam.

"Penduduk setempat kebanyakan berbahasa Sepanyol dan kadangkala sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Namun begitu, mereka sangat ramah dan suka membantu," katanya.

Antara tarikan lain Playa del Carmen ini adalah keindahan pantai di daerah Tulum yang sangat terkenal dalam kalangan selebriti Hollywood yang sering bercuti di sana.

Walaupun pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh untuk menikmati keindahan gua bawah laut itu, namun ia memberikan pengalaman berharga dan sangat berbaloi.

Meneroka gua bawah laut Playa del Carmen itu sememangnya memberikan satu pengalaman indah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Justeru, walaupun pelbagai cabaran yang perlu dilalui untuk sampai ke kota ini, namun Wan Azman bersama rakan lain berhasrat untuk mengunjunginya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 7:01 AM