BERMAIN dengan batu karang di laut.
BERMAIN dengan batu karang di laut.
AKIL memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menyelam.
AKIL memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menyelam.
AKIL bersama sebahagian pelatih program scuba orang pekak peringkat kebangsaan.
AKIL bersama sebahagian pelatih program scuba orang pekak peringkat kebangsaan.
PELBAGAI objek di dasar laut.
PELBAGAI objek di dasar laut.
Oleh Fatin Farhana Japre

“Ketika menyelam di Tiger Reef, Pulau Tioman, saya yang membawa tujuh penyelam terkejut besar apabila tiba-tiba muncul kelibat seekor ikan jerung paus sepanjang empat meter.

“Seorang penyelam membunyikan siren dan saya memberi isyarat kepada penyelam lain supaya jangan panik, tetapi berwaspada kerana ikan itu tidak akan mengganggu kami.

“Ikan jerung paus itu mengelilingi kami beberapa kali dan sempat mengambil gambar gergasi laut itu dari jarak dekat,” kata Mohamad Akil Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Akil.

Akil, 45, berpengalaman sebagai penyelam berlesen sejak 15 tahun lalu dan sejak tahun 2000, dia sudah me­nyelam lebih 2,000 kali di seluruh dunia.

Dia pernah menyelam sehingga kedalaman 56 meter kerana semakin dalam anda ke bawah laut, risikonya lebih tinggi kerana tekanan air semakin kuat dan oksigen semakin berkurangan.

“Walaupun rekod paling dalam selaman manusia di dasar laut ialah kira-kira 300 meter, tetapi ia seseorang penyelam perlu mengikut prosedur ketat dan tidak boleh berada terlalu lama di kedalaman itu kerana pelbagai perkara buruk boleh berlaku.

“Dalam tempoh beberapa minit, penyelam terbabit perlu naik ke atas dan proses untuk bergerak ke atas itu mengambil masa yang lama berikutan tekanan air dan kekurangan oksigen,” katanya.

Katanya, peluang melihat ikan jerung paus dari jarak dekat adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila walaupun tujuan mereka menyelam ketika itu untuk melihat terumbu karang yang indah di dasar laut.

Dia mengakui sebagai penyelam, mereka bertuah kerana dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah di dasar laut kerana bukan semua orang berpeluang melakukan sedemikian.

Menurutnya, setiap tempat me­nyelam memang berbeza, tetapi keindahan hidupan laut dan terumbu karang tetap sama, indah, unik, istimewa malah sukar diucap dengan kata-kata.

“Saya juga pernah menyelam di Pattaya Thailand pada 2003 bersama rakan-rakan dan melihat keunikan bangkai kapal yang tenggelam.

“Ketika itu, saya menyelam pada kedalaman 56 meter untuk mengelilingi bangkai kapal itu dan kini bangkai kapal berkenaan tenggelam sepenuhnya selepas di bom pihak berkuasa Thailand.

“Di Puerto Gallera, Filipina, saya terpesona menghayati karang keras yang cantik berada di dinding tembok kerana di sana ba­nyak kawasan air dalam,” katanya.

Minatnya dalam aktiviti selam skuba itu dipendam dilakukan sejak berusia 30 tahun dan menyelam di seluruh perairan negara ini, malah berpeluang melakukan selam skuba di luar negara.

Pengalaman beliau selama 15 tahun dalam bidang menyelam skuba amat menyeronokan kerana setiap kali menyelam, dia akan menemui sesuatu yang baru.

“Saya dulu bekerja sebagai juruteknik di Johor, tetapi minat dalam bidang selam skuba ini menyebabkan saya berhenti kerja pada tahun 2000 dan menyertai sebuah syarikat skuba di Singapura.

“Saya diberi tugas sebagai ‘dive master’ dan perlu membawa pelancong ke pulau-pulau di Malaysia setiap hujung minggu.

“Saya hanya bekerja selama setahun dengan syarikat skuba itu dan kembali ke Tioman untuk membuka sebuah pusat skuba sendiri,” katanya.

Katanya, dengan modal RM50,000, dia mendapat kepercayaan rakannya untuk mengambil alih sebuah kedai skuba di Kampung Salang, Pulau Tioman.

“Saya bertungkus-lumus memajukan perniagaan de­ngan berulang-alik ke Singapura untuk membawa pelancong ke Pulau Tioman setiap minggu,” katanya.

Pengalamannya menyelam di seluruh perairan Malaysia dan bercampur gaul dengan penyelam-penyelam lain memberi kesedaran betapa terdapat perbezaan lesen menyelam di seluruh dunia yang kurang diberi perhatian di Malaysia.

“Lesen menyelam ada dua jenis iaitu lesen menyelam rekreasi dan bekerja. Lesen rekreasi adalah lesen untuk menyelam santai seperti melihat hidupan laut dan terumbu karang di kedalaman 40 meter.

“Lesen bekerja pula memerlukan kita menyelam untuk tujuan bekerja di kedalaman 50 meter,” katanya.

Dia pernah bekerja selama tiga tahun sebagai pengajar kimpalan bawah air kepada anak muda Terengganu di bawah program International Technical Diving Academy Asia (ITDA ASIA) dari United Kingdom.

“Saya fikir apabila tamat latihan mereka diberi sijil selaman bekerja, tetapi sebaliknya hanya mendapat sijil selaman rekreasi.

“Justeru, saya cuba mewujudkan kesedaran kepada industri menyelam di Malaysia bahawa lesen menyelam rekreasi tidak boleh digunakan untuk tujuan bekerja.

“Dulu, saya terpaksa ke Australia untuk mendapatkan jurulatih bertauliah tetapi kini kita sudah memiliknya di Tasik Kenyir, Terenggnu,” katanya.

Trend di Malaysia, orang ramai lebih memilih lesen rekreasi kerana kosnya lebih murah berbanding terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM100,000 untuk mendapatkan lesen bekerja.

“Bagaiamanapun, ramai tidak tahu jika anda memiliki lesen menyelam bekerja, pendapatan yang diperoleh lebih lumayan, malah saya sendiri pernah menerima RM1,000 sehari bekerja dengan syarikat perkapalan minyak dan gas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 1:55 PM